Majlis penyatuan dua jiwa menjadi saksi termeterai ikatan cinta sejati. Busana yang digayakan menjadi perhatian dek status mereka sebagai seorang selebriti. Pastinya masing-masing memiliki pereka fesyen pilihan, ada yang selesa dengan stail barat dan ada yang suka menyuntik elemen tradisi. Jom kita lihat busana hari bahagia selebriti-selebriti terkenal Malaysia ini.
EMMA MAEMBONG
Warna putih memang sinonim dengan busana perkahwinan. Busana anggun rekaan Ezuwan Ismail untuk Emma Maembong ini digayakan sewaktu majlis pernikahan. Penulis suka dengan busana ini kerana ia berpotongan ringkas dan menampilkan siluet yang cantik.
Baju untuk majlis resepsi pula Emma Maembong memilih rekaan jenama fesyen Rizman Ruzaini. Kedua-dua rekaan rekaan busana ini cukup menarik dengan suntikan elemen songket dan dres labuh. Busana Kurung Teluk Belanga songket bunga penuh lengkap berselendang begitu sinonim di negeri Terengganu. Dress labuh inspirasi Ballgown ini pula jelas menyerlahkan pesona bak seorang puteri ditata rias pula dengan indah dan gaya rambut menawan.
TASHA SHILLA
Seperti yang digayakan oleh Emma Maembong di hari pernikahannya, Tasha Shilla juga memilih rona putih. Wanita ini memilih untuk mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat. Busana rona putih ini diserikan dengan kemewahan sulaman dan juga perincian labuci. Leretan layah menyerlahkan lagi keserian ratu sehari ini.
Tasha Shilla mengadakan majlis resepsi dengan memilih rekaan dari Hatta Dolmat. Mungkin ada yang tidak gemar dengan keringkasan busana ini namun bagi penulis itu adalah kekuatan busana ini. Tasha Shilla kelihatan bak puteri dalam persalinan dress labuh ini. Diserikan dengan taburan batu mutiara memberikan efek yang cukup menawan.
ZAHIRAH MACWILSON
Majlis pernikahan di antara Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson memang dinanti-nantikan oleh peminatnya. Di majlis pernikahan Zahirah Macwilson mengenakan gaun labuh rekaan Teh Firdaus yang terkenal dengan rekaan simple serta mempunyai signature tersendiri. Perletakan sulaman yang tidak menyeluruh juga seolah-olah menyeimbangkan siluet busana yang sudah gah. Memang cantik.
Fairy tale dress. Zahirah Macwilson memilih gaun rekaan Rizman Ruzaini untuk majlis resepsinya. Rekaan gaun ini cukup sempurna dengan aura bagaikan seorang puteri apabila digayakan oleh Zahirah. Kekuatan gaun ini terletak kepada potongan dan juga penggunaan fabrik yang menjadikan ia nampak ringan, segar dan cantik.
ELLY MAZLEIN
Akhir sekali, tidak sah kalau penulis tidak sertakan busana pilihan selebriti Elly Mazlein. Memilih rekaan pereka Jimmy Couture untuk majlis pernikahannya. Busana ini kelihatan ringkas namun perincian yang diletakkan pada busana ini cukup mewah dan menyerlahkan nilai eksklusiviti yang sangat tinggi.
Sekali lagi Elly Mazlein memilih rekaan Jimmy Couture untuk majlis resepsinya. Pemilihan rona ungu lembut menyerlahkan stail yang cukup feminin. Perletakan sulaman yang tidak menyeluruh juga seolah-olah menyeimbangkan siluet busana yang sudah gah. Memang cantik.
Jadi busana mana yang menjadi pilihan pembaca Nona?