RAISUDDIN HAMZAH Jadi Wakil Jurucakap Pinang Watie Untuk Menantunya. Anggap Shuib Seperti Anak Sendiri

Hujung minggu lalu, terjawab sudah kisah perjalanan cinta di antara Shuib dan pasangannya Wanite Hanafiah. Mereka selamat menjalani adat bertunang dan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 23 Jun ini.

Di sebalik keceriaan sepanjang majlis pertunangan itu berlangsung, kehadiran bapa kepada Allahyarhamah Siti Sarah iaitu Raissuddin Hamzah bersama isterinya sebagai wakil pihak Shuib mendapat pujian ramai. Menerusi video yang dikongsi Siti Fatimah Suberi atau biasa disapa Makder, suaminya telah meminangkan sendiri Watie buat Shuib untuk menjadi suri hati penyampai radio Suria FM itu.

Ramai memuji ukhwah yang dijalinkan oleh keluarga ini di mana Raisuddin dan keluarganya menjadi tulang belakang Shuib sejak Allahyarhamah Siti Sarah meninggal dunia dua tahun lalu. Tidak hairanlah mengapa Shuib meletakkan amanah dan tanggungjawab meminang Watie di tangan bapa mentuanya itu yang disifatkan sebagai mentua terbaik.

Siti Fatimah Suberi atau biasa disapa Makder bersama suami tersayang, Raisuddin Hamzah

“Alhamdulillah kami sekeluarga bersyukur dan tumpang bahagia dengan pertunangan ini.
Kami mengharapkan ada yang dapat menjaga Shuib dan anak-anak dengan baik selepas ini,” ujar Mak Der ketika dihubungi oleh NONA sebentar tadi.

Menurut Mak Der yang sememangnya amat rapat dengan Allahyarhamah Siti Sarah, dia mengagumi keperibadian dan sifat yang dimiliki oleh suaminya, Raisuddin Hamzah yang berlapang dada dan menerima dengan hati yang terbuka pelawaan Shuib untuk menjadi wakil pihaknya untuk upacara peminangan tersebut.

“Saya kagum dengan sifat suami yang  menerima pelawaan Shuib untuk menjadi wakil di pihaknya untuk pinangan ini. Bagi mereka,  tiada istilah bekas mertua dalam kamus keluarga ini. Shuib  sememangnya menganggap abah (Raissuddin Hamzah)  seperti bapa kandungnya sendiri,” ujar Mak Der yang mendoakan semoga ukhwah keluarga ini terus erat selamanya.

“Terima kasihhh makderr,terima kasih abah. Semoga ikatan keluarga kita makin erat dunia dan akhirat.”-Shuib

Untuk rekod, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan 4 orang cahaya mata.

Pada Ogos 2021, penyanyi lagu Kesetiaan itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat wabak Covid-19.

Share
Published by
Rosmah Idayu