Tahniah buat juara program seni mempertahankan diri ONE Championship Flyweight, Rodtang Jitmuangnon yang selamat bergelar suami awal Februari lepas. Ternyata berita perkahwinan Rodtang mendapat perhatian luas dan bualan di media sosial.
Mana tidaknya, selain gembira sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita cantik, atlet berwajah garang yang terkenal dengan seni mempertahankan diri Muay Thai ini juga mendedahkan dia kini bergelar ‘saudara baru’ selepas nekad memeluk agama Islam sama seperti isteri tercinta.
Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), Rodtang sebelum ini menjalin hubungan cinta dan bertunang dengan rakan seperjuangan beragama Islam iaitu Aida Looksaikongdin.
Pasangan ini memutuskan untuk bernikah selepas beberapa tahun menyulam ikatan cinta.
Foto perkahwinan mereka menjadi tatapan peminat yang menyaksikan ketika majlis ijab kabul, Rodtang tampil sejak berbusana tradisi masyarakat Muslim berwarna putih dan lengkap bersongkok.
Begitu juga Aida yang kelihatan cukup menawan dan sopan dalam persalinan tradisi serta bertudung litup. Rata-rata peminat memuji kecantikan isteri Rodtang ini.
Dalam pada itu, Rodtang mendedahkan kepada umum bahawa dia sudah pun berhijrah dengan memeluk Islam selepas mengucap dua kali syahadah. Sekaligus bergelar Muslim.
Yang pasti, berita gembira ini tidak hanya menambat perhatian di Thailand. Bahkan ia turut mendapat tumpuan luas dalam kalangan peminat ONE Championship di Malaysia.
Rodtang yang dikenali sebagai Raja Seni Mempertahankan Diri Muay Thai berusia 25 tahun yang sebelum ini merupakan bekas penganut Buddha mengesahkan telah bernikah dengan Aida di selatan Thailand.
View this post on Instagram
‘Iron Man’ itu berkata dia menunda misi jelajah ke Amerika Syarikat Februari ini untuk memberi perhatian kepada dua pertarungan pada Mac dan Mei depan.
Di sebalik kemeriahan dan keterujaan pasangan ini bergelar pengantin, beberapa foto dan video yang memaparkan keadaan Rodtang selepas berkhatan dengan menaiki kerusi roda nyata mencuit hati ramai.
Semoga rumah tangga yang dibina pasangan atlet muda ini terus berkekalan hingga ke akhir hayat.