Hari ini, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2023.
Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi meluangkan masa mendengar bacaan surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.
World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ini merupakan kemunculan kedua Tunku Azizah yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.
Program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.
Memetik kenyataan Pengarah Bahagian Program TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdull Hadi Mohd Yusoff kepada Sinar Harian, usaha ini dapat menarik minat generasi muda dalam mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci Al-Quran.
“Sudah tentu dalam mendepani cabaran pada masa akan datang, kita perlu memanfaatkan teknologi dalam usaha menyebarkan serta mengimarahkan lagi program ilmuwan seperti World #QuranHour terutamanya pada bulan Ramadan.
“Insya-ALLAH dengan kerjasama daripada semua pihak, ia dapat melahirkan generasi muda yang memahami dan menggunakan al- Quran untuk menjadi panduan hidup.”
Corat Coret Program World #QuranHour 2023
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Sumber: Sinar Harian
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona