Beberapa negeri di Semenanjung Malaysia kini sedang diuji dengan banjir termasuk negeri Pahang. Situasi yang dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan banjir ini turut mendapat perhatian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengadakan lawatan mengejut kepada mereka yang terlibat dengan banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Lebih istimewa apabila Raja Permaisuri Agong yang memang terkenal kehebatan memasak di dapur telah menyediakan makanan kepada mereka yang terlibat dengan banjir di negeri Pahang.
Pada hari ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Seri Damai, Kuantan dan meluangkan masa memasak bersama para petugas di PPS tersebut. Walaupun mereka yang terlibat dengan banjir ini sedang diuji tetapi beruntung kerana dapat menikmati air tangan Raja Permaisuri Agong.
Seramai 128 orang daripada 49 keluarga telah dipindahkan di PPS ini setelah kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak hari Sabtu lalu. Keberangkatan mengejut Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mereka yang terlibat dengan banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.
Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.
This website uses cookies.