KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program ‘Back To Nature di Pavilion Bukit Jalil pada 19 Jun 2022.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 11.00 pagi disambut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) Puan Fully Chye Goet Lee dan Penasihat PSJKM yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai jualan dan pameran serta melakukan sendiri proses mengekstrak tumbuhan di atas fabrik yang dinamakan sebagai ‘eco-printing’.
Program ‘Back To Nature’ anjuran PSJKM diadakan bagi memupuk penggunaan sumber semula jadi iaitu daripada tumbuh-tumbuhan dalam penghasilan produk, fabrik dan corak rekaan sekali gus mengurangkan penggunaan pewarna sintetik dalam industri.
Program bertemakan ‘Vaksinasi Cegah COVID-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’ itu diadakan bertujuan melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam menghasilkan produk mesra alam.
Sebanyak 50 gerai jualan dalam kalangan peserta PSJKM dan Koperasi Dagang Seni Malaysia yang terdiri daripada suri rumah, asnaf, Orang Kelainan Upaya, Orang Asli turut serta dalam program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 18 Jun 2022.
Sumber: Instagram Istana Negara
Agong, Permaisuri Berangkat Ke Singapura Bagi Lawatan Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Singapura bagi memulakan lawatan negara sehingga Jumaat ini.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada kira-kira 9.45 pagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.
Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.
Keberangkatan Seri Paduka berdua akan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan pegawai daripada Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, lawatan negara itu dijadualkan berlangsung pada September lepas tetapi ditangguhkan susulan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London, United Kingdom pada 16 hingga 21 September lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.
Dalam rangka lawatan ke Singapura, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua dijadual berangkat melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada sebelah petang hari ini.
Pada keesokannya, Seri Paduka berdua dijadual menerima menghadap Perdana Menteri, Singapura Lee Hsien Long dan isteri di Shangri-La Hotel Singapura, disusuli dengan majlis santapan tengah hari.
“Pertemuan ini merupakan kali kedua antara kedua-dua pemimpin dengan pertemuan kali pertama ketika Seri Paduka berangkat menyaksikan Formula 1 Singapore Grand Prix 2022 pada 2 Oktober 2022, atas persilaan rasmi Hsien Long.
“Pada 5 petang hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road,” katanya.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka berdua turut dijadualkan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob, disusuli dengan Majlis Santapan Negara.
“Pertemuan ini juga merupakan yang kedua antara kedua-dua pemimpin. Pada 18 September 2022, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Halimah di London, United Kingdom.
“Pada ketika itu, kedua-dua pemimpin berada di London bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Baginda Ratu Elizabeth Il,” katanya.
Pada Khamis (27 Oktober), Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat loji NEWater, disusuli dengan lawatan ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris manakala Raja Permaisuri Agong dijadual melawat, antaranya National Library dan National Museum of Singapore.
“Pada sebelah malam hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
“Seri Paduka berdua dijadual mengakhiri lawatan negara ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 28 Oktober (Jumaat),” katanya.
Ahmad Fadil berkata, lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa di antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.
Dari segi dagangan dua hala, dari Januari hingga Ogos 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan Singapura ialah sebanyak AS$55.77 bilion, iaitu 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia, menjadikan Singapura sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selepas China.
Singapura merupakan destinasi kedua terbesar eksport Malaysia selepas China dengan nilai AS$34.51 bilion. Singapura juga sumber kedua terbesar import Malaysia selepas China dengan nilai AS$21.26 bilion.
Sumber & Kredit Foto: Bernama
Johan Qariah Negara Terima Anugerah Khas, Ini Senarai Penuh Nona Superwoman Award 2022
Majlis Nona Superwoman Award 2022 membuka tirai tahun baharu dengan semangat luar biasa. Sebanyak 48 kategori anugerah disampaikan kepada 50 individu daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pencapaian mengagumkan sepanjang tahun 2022. Antara yang paling membanggakan, pengiktirafan kepada Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 tahun 2022, Sofizah Mousin.
Selain berjasa dan mengharumkan nama Malaysia, barisan penerima Nona Superwoman Award 2022 juga berjaya mengharungi fasa pandemik dengan cemerlang.
Bagi menyempurnakan upacara penuh bersejarah, penyampai-penyampai anugerah terdiri tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi, Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad; YAM Tengku Puteri Dato’ Seri Hajjah Zahariah; Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari; serta YTM Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra.
Semak senarai penuh barisan penerima anugerah yang cukup menginspirasikan ini:
1. YM Tengku Asra Jehan : Nona Royal Award
2. Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib : Nona VIP Award
3. Che Puan Juliana Evans : Nona Beauty Award
4. Dato’ Sri Siti Nurhaliza : Nona Celebrity Business Award
5. Datuk Nora A Manaf : Nona Professional Award
6. Datuk Faridah Hanim : Nona Business Strategist Award
7. Datuk Leong Mun Yee : Nona Active Award
8. Dato’ Dr Hartini Zainudin : Nona Charity Award
9. Dr Malar Santhi : Nona Health Influencer Award
10. Ustazah Asma’ Harun : Nona Motivator Award
11. Dzuleira Abu Bakar : Nona Corporate Award
12. Ifa Raziah : Nona Entrepreneur Award
13. Nur Fazura : Nona Hijab Business Award
14. Ziana Zain : Nona Legend Award
15. Wawa Zainal : Nona Online Entrepreneur Award
16. Marion Caunter : Nona Fashionista Award
17. Christy Ng : Nona Fashion Brand Award
18. Sofizah Mousin : Nona Outstanding Achievement Award
19. Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan (USANITA) : Nona Best Business Development SME Award
20. Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan (USANITA) : Nona Best Emerging CEO Award
21. IDr Rabiatul Adawiyah Rasol: Nona Interior Designer of Distinction Award
22. Datin Sri Dr Yetti Murni Zamris : Nona Best Entrepreneur In Healthcare Industry Award
23. Datin Dr Nik Sarina Hashim : Nona Best Professional Beauty Award
24. Datin Amelia Hassan : Nona Best Fashion & Emerging Healthcare Award
25. Datin Rauzawani Abdul Hadi : Nona Best Beauty Brand Award
26. Tengku Norhanim Tengku Othman : Nona Best Crispy Chocotub Brand Award
27. Dr Che Fatimah Dinna & Datuk Wan Azmir Wan Majid: Nona Inspirational ‘Mom & Son’ Award
28. Dr Adibah Abd Bari & Julia Lah : Nona Best Halal Skincare Award
29. Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal : Nona Best Homegrown F&B Award
30. Ain Fatin Liyana : Nona Best Cosmetic Brand Award
31. Ernayanee Nur Julaimi : Nona Best Fragrance Entrepreneur Award
32. Erna Elliyana : Nona Trusted Beauty & Health Brand Award
33. Farah Nadhirah Ibrahim : Nona Best Hair Care Award
34. Mas Haryati Baharudin : Nona Best Halal Slimming Supplement Award
35. Nazrin Shahnaz Peer Mohamed : Nona Best Healthcare Interior Design Award
36. Nik Amirah Syamimi : Nona Best Local Cosmetics & Skincare Award
37. Nor Farahiyah Kamal Bharin : Nona Best Natural Skincare Award
38. Norzira Syarini Mohammed Pauzi : Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award
39. Nur Adila Manshor : Nona Best International Organic Honey Award
40. Nur Aini Zolkepeli : Nona Best Halal Cosmetics Award
41. Nur Bashirah Hussin : Nona Best Effective & Scientifically Researched Skincare Award
42. Ony Nurhusni : Nona Best Trusted Beauty & Pharmacy Products Brand Award
43. Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi : Nona Top Trusted OEM Factory Award
44. Ros Liza Yaziz : Nona Best Mom’s Choice Award
45. Sharifah Nur Fakhirah Syed Muhsin : Nona Best Supplement Product Award
46. Shariffah Asdahlina Habib Ahmad : Nona Best Playschool Award
47. Siti Fatimah Adnan : Nona Best Halal Ice Cream Award
48. Syarifah Furaiha Sha’are : Nona Best Halal Henna Award
Zaman Dah Berubah! 3 HERO REMAJA Ini Jelaskan Kenapa Mereka Tertarik Dengan Wanita Berusia
Berkelulusan tinggi, memiliki profesion terjamin dan kewangan yang stabil membuatkan wanita masa kini selesa berdiri di atas kaki sendiri. Meskipun berharta dan mampu menyara hidup sendirian namun naluri untuk berumah tangga dan bergelar ibu masih menebal dalam diri seorang wanita. Sehinggakan kebanyakan daripada mereka yang sudah dianggap ‘berusia’ ini sanggup mengenepikan soal umur mahupun kebendaan, semata-mata untuk mencari kebahagiaan hidup berkeluarga.
Melihat kepada senario hari ini perkahwinan di antara wanita lebih berusia dengan lelaki muda bukan lagi perkara asing. Memang masih terdapat segelintir pihak yang memandang serong dan mempersoalkan keputusan pasangan terbabit. Tapi siapalah kita untuk menilai kebahagiaan mereka, bukan?
Terpanggil untuk menyelami jiwa lelaki muda, Nona sempat mendapatkan pandangan berkaitan ‘fenomena’ tersebut daripada pemenang Hero Remaja 2017. Dan, jawapan daripada ketiga-tiga mereka memang di luar jangkaan!
WANITA BERUSIA VS WANITA MUDA
Ini antara luahan hati Alif Muhamin, Farhan Asri dan Harris Annuar.
“Sebenarnya saya sendiri pun pernah menjalin hubungan dengan wanita lebih berusia. Waktu itu saya 23 tahun dan dia pula sudah 35 tahun. Bagi saya, trend lelaki muda dengan wanita berusia ini makin menjadi mungkin wanita ini lebih matang dan memahami. Ada wanita yang berumur 20 hingga 24 tahun saya tengok mereka tak berapa hendak serius lagi. Malah tak begitu memahami jiwa lelaki. Jadi, saya sendiri pun memang lebih selesa berkawan dengan wanita sebegini,” telus Alif yang kini berumur 23 tahun.
“Dua-dua pun ok, berusia atau yang muda. Tapi kalau dapat wanita lebih berusia, saya tahu mereka ini ada lebih pengalaman yang membuatkan kita berasa selesa. Mungkin dari segi menjaga hati dan juga bijak mengatur kewangan. Salah satu perkara yang boleh membuatkan saya tertarik kepada wanita berusia adalah pengalaman mereka,” ungkap Harris jujur.
“Saya juga sama seperti Harris. Tak kisah sama ada muda mahupun berusia. Tapi realitinya saya lebih suka wanita berusia sebab orang macam saya susah hendak handle sebab suka main-main. Bila dapat partner yang lebih berusia, mungkin akan timbul rasa segan dan hormat. Jadi, benda-benda seperti itu yang boleh buatkan kita matang dan lebih menjaga kelakuan. Saya juga jujur katakan yang saya pun ada pengalaman bercinta dengan wanita yang usianya dua tahun lebih tua daripada saya,” cerita Farhan.
Mengambil kira pandangan dan luahan ketiga-tiga wakil remaja lelaki ini dapat disimpulkan ‘saham’ wanita lebih berusia sememangnya lebih tinggi zaman sekarang. Jika wanita berumur lebih mendambakan kasih sayang lelaki mengatasi kebendaan dan sebagainya, persepsi lelaki muda hari ini pula lebih tertarik kepada sikap tolerasi dan saling memahami yang ada dalam diri wanita matang.
PERANCANGAN SELEPAS MENANG
Dalam pertemuan sama, Juara Hero Remaja 2017, Alif Muhamin yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini turut merancang untuk meneruskan minatnya dalam bidang lakonan selain membawa isu kesedaran tentang penyakit berbahaya kepada para pelajar di sekolah rendah mahupun menengah. Antara perkara yang ingin diketengahkan Alif adalah berkaitan kes buli di kalangan pelajar di samping masalah obesiti.
Naib Juara Hero Remaja 2017, Farhan Asri juga selepas ini mahu menonjolkan bakat dalam dunia lakonan meskipun hobinya adalah menyanyi. Terangnya, dia akan lakukan yang terbaik dalam pentas seni lakonan yang diimpikannya selama ini agar hasil yang bakal dipersembahkan nampak nyata dan bersahaja. Begitu juga Harris Annuar yang mahu mencuba bidang pengacaraan dan lakonan kerana ingin keluar dari zon selesanya, peragaan. Menurut jejaka berusia 24 tahun ini, dia mengharapkan agar tawaran mengacara dan berlakon datang seiring supaya khalayak dapat menghargai bakat yang dimilikinya.
Walau apa pun perancangan kalian, Nona ucapkan semoga maju jaya! SUZIANA ABU DAUD