Akhirnya tertunai hasrat seorang pesakit leukemia apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menziarahinya di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Selain ingin bertemu dengan Seri Paduka baginda berdua, Mya Zara Damia Faizal yang berusia 15 tahun ini juga berhasrat untuk merasa ‘air tangan’ Raja Permaisuri Agong.
Ketika keberangkatan tiba Seti Paduka berdua, Mya Zara kelihatan amat gembira dan meminta untuk memakai baju kurung yang dipinjam daripada jururawat.
Terdahulu, kunjungan tersebut merupakan usaha bersama perkhidmatan Pediatrik Hematologi dan Onkologi HPKK serta Make-A-Wish Malaysia bagi merealisasikan impian Mya Zara yang mengidap leukemia akut berisiko tinggi untuk bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sejak dari kecil.
Sebagai Raja Permaisuri yang kasih dan sayang akan rakyatnya, baginda berkenan untuk menunaikan impian Mya Zara merasai masakan baginda.
Manakala Agong pula bertitah agar Mya Zara menjaga pemakanan, berehat secukupnya serta mendoakan Mya Zara sembuh seperti sedia kala seterusnya dapat kembali bersekolah dan bertemu rakan-rakan.
Memetik laporan Bernama, Mya Zara menyatakan, pada awalnya dia berhasrat untuk melawat dan melihat sendiri Istana Negara namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan kerana masih dalam rawatan.
“Walau tidak dapat masuk Istana Negara, Permaisuri Agong titah akan masak makanan untuk saya.
“Saya amat teruja kerana sebelum ini sering melihat di televisyen Permaisuri Agong masak makanan orang lain. Selepas ini saya pula dapat rasa air tangan Tunku Azizah.”
Semoga Mya Zara terus kuat dan Allah SWT memberi kesembuhan buatnya agar dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.
This website uses cookies.