Semalam seluruh warganegara Malaysia menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu. Pengisytiharan berlangsung dengan penuh adat istiadat, pertabalan Agong ke-16, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Raja Permaisuri Agong kelihatan anggun dan berseri mengenakan baju kurung rona biru muda lengkap bertudung rona senada.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah amat disayangi dan disenangi oleh rakyat Pahang. Siapa sangka, Tunku Aminah mempunyai minat menjahit & memasak. Bahkan, baginda juga pernah menghasilkan t3 buah buku masakan! #majalahnona #inspirasinona #nonasuperwoman #realitiimpianwanita #tengkuampuanpahang #tunkuazizah
Posted by Nona on Tuesday, 29 January 2019
Ramai wanita yang mengetahui dan mengagumi kecekalan serta ketabahan Raja Permaisuri Agong berusaha untuk mendapatkan zuriat. Sikap baginda yang tidak mengenal putus asa ini telah mencetus inspirasi kepada ibu-ibu seluruh Malaysia untuk berusaha mendapatkan zuriat.
Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.
Menurut laporan Bernama yang berjaya menemu ramah Saerah Ali, 85 tahun, wanita yang telah berkhidmat dengan Tunku Azizah sejak tahun 1986 sehingga kini. Saerah berkata Tunku Azizah tidak pernah mempamerkan sikap putus asa walaupun berdepan dengan dugaan untuk mendapatkan zuriat.
Tambahnya lagi, “Keguguran pertama berlaku ketika kandungan sudah berusia dua atau tiga bulan. Tuanku kuat menghadapi ujian itu sehingga kami yang bekerja di samping baginda yang bimbang bagaimana caranya hendak menceriakan baginda.
Baginda menyibukkan diri dan tidak mahu duduk sahaja semasa dalam pantang. Memandangkan baginda tidak boleh banyak bergerak, baginda menitahkan supaya kerja yang perlu dilakukan, dibawa kepada baginda supaya boleh dilakukan di katil,” katanya.
Menempuh ujian dengan sabar dan tawakal dalam mendapatkan zuriat serta melalui pengalaman menjalani rawatan kesuburan telah menyuntik idea kepada baginda untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF). Penubuhan TAFF pada Ogos 2004 ini adalah selaras dengan keluhuran budi baginda yang mahu bagi membantu wanita-wanita yang diuji sukar mendapatkan zuriat.
Menurut Setiausaha Agung TAFF, Datuk Hamimah Abdul Karim, 69, setakat ini, TAFF sudah ‘melahirkan’ 115 anak yang digelar baginda ‘sebagai cucu baginda’. Hamimah berkongsi cerita bahawa Tunku Azizah pernah berjanji akan mencurahkan jiwa dan raga baginda dalam aktiviti kebajikan kepada rakyat Pahang selepas mendapat zuriat, yang kemudian baginda dikurniakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada 1995.
Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri.
Sumber: Berita Harian