Pada hari Isnin hadapan seluruh rakyat Malaysia bakal menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dicintai.
Bersempena sambutan tersebut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yaasin dan doa selamat, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis tersebut.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 7.20 malam di Masjid Negara disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Yang turut hadir, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yaasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah. Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah di situ sebelum berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.10 malam.
Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.
Seri Paduka dijadual berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat yang akan berlangsung sebentar lagi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca Surah Yaasin ketika berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku pada Isnin depan di Masjid Negara.
Sumber: BERNAMA
Foto: Instagram @drwanazizah