Rajin Bersenam & Jaga Makan Rahsia MAZUIN HAMZAH Kekal Cantik Di Usia 56 Tahun

Mempunyai sahabat baik yang boleh berkongsi kisah suka dan duka adalah rezeki yang berharga. Penyanyi popular era 80an, Salwa Abdul Rahman antara insan yang bertuah memiliki hubungan sahabat yang terjalin sekian lama dengan rakan artis Mazuin Hamzah.

Walaupun sudah lama meninggalkan dunia seni tanah air sejak mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Brunei dahulu namun sebutir bintang yang bernama Mazuin Hamzah tetap meniti di bibir peminatnya. Kejelitaan penyanyi dan pemain drum kumpulan Quinary M ini di zaman kegemilangannya menjadi bualan ramai.

Foto: Koleksi Salwa Abd Rahman

Persahabatan di antara Mazuin Hamzah yang kini berusia 56 tahun dan penyanyi Salwa Abd Rahman bukan suatu perkara baharu. Sahabat baik ini sudah mula kenal sejak mereka bergiat aktif di pentas Mekar Sejambak, program terbitan RTM yang popular suatu ketika dahulu.

Walaupun jarak memisahkan hubungan persahabatan Mazuin Hamzah dan Salwa namun bukan bermakna kedua-dua penyanyi jelita ini terputus hubungan.

Foto: Koleksi Salwa Abd Rahman

Kalau dah nama sahabat mesti banyak perkara yang diketahui oleh Salwa tentang Mazuin Hamzah. Cuba mengorek petua awet muda Mazuin Hamzah melalui sahabat baiknya, Salwa, “Mazuin ni susah sikit. Dia bukan jenis yang suka bercerita. Dia sangat privacy!

Tapi saya tahu dia selalu exercise. Ada hari dia makan pulun habis, dalam seminggu. Ada hari dia swimming

, badminton dan aktiviti lasak juga. Nampak je lembut tapi hati cekal. Semua demi anak-anak,” ungkap isteri kepada mantan pemain bola sepak negara, Subadron Abdul Aziz ini.
Foto: Koleksi Salwa Abd Rahman

Ketika ditanya bagaimana hubungan baik mereka berkekalan sehingga kini, jawab Salwa, “Kami masih berhubung. Kami berdua selalu jumpa bila saya ada undangan persembahan Diraja Brunei. Mazuin ada bersama anak-anaknya,” tutur Salwa yang kini berusia 55 tahun serta sering mendapat undangan nyanyian oleh keluarga Diraja Brunei sebelum pandemik melanda dunia.

Hubungan baik di antara sahabat sama juga seperti bercinta. Tentu ada ‘spark’ yang membuatkan best friend forever ini boleh kekal sehingga puluhan tahun. “Mazuin merupakan idola saya.

Saya suka dengan kecantikan dan aura yang ada pada Mazuin. Cara dia berpakaian, pergaulan dan sifatnya yang lemah lembut. Peminat akhirnya menjadi kawan,” jelas Salwa bila ditanya tentang keistimewaan hubungan mereka berdua.

Tiga orang anak Mazuin Hamzah. Foto: Koleksi Salwa Abd Rahman

Menurut Salwa, Mazuin bahagia di samping tiga orang cahayamatanya. Beliau memiliki dua puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raafiah Amalul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Khaaliq.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed