Diam tak diam hampir empat bulan Fasha Sandha menjadi isteri kepada pelakon kacak, Aidil Aziz. Sah bergelar isteri pada hujung Mac lalu, selebriti cantik ini tidak terlepas daripada bualan ramai. Bermula dengan kisah cuci periuk selepas bersanding, cerita nasi goreng yang dijamu kepada keluarga mertua ketika majlis bertandang… sehinggalah berita keguguran Fasha pada Hari Raya yang lalu, memang peminat ternanti-nantikan perkembangan pelakon pujaan ini.
Pendek kata, apa saja yang dilakukan Fasha mesti jadi tumpuan.
Salah satu perkara yang cukup disenangi ramai sejak aktres drama Semua Salahku ini berkahwin ialah sikapnya yang rajin masuk ke dapur. Iyalah, orang tua-tua pesan kalau hendak rumah tangga bahagia, isteri kena pandai jaga perut suami!
Memang komited sangat Fasha ni dalam menjaga keperluan suami dan anak-anak. Tidak kira sesibuk mana pun, mesti ‘curi’ masa memasak dengan air tangan sendiri. Walau pun bukan juadah mahal yang pelbagai jenis, lauk-pauk kampung pun sudah memadai buat suami tersayang.
“Kisah siang semalam sebelum keluar bekerja. Memenuhi permintaan anak nak kuey teow, encik suami nak bendi. Baru ja dia bagitau semalam dia paling suka kangkung dan bendi.
Campak apa sempat selagi boleh, nanti bila dah busy masuk set, dah tak dapat nak kerap-kerap masak macam-macam menu,” kongsinya di IG.
Paling tak sangka, Fasha turut berkongsi masakan lauk bajet bawah RM20 saja. Yang penting, sedap dan membuka selera! Suri rumah tangga lain pun boleh cuba.
“Kos memasak bawah RM20 ni boleh makan untuk 8 orang. Syukur sebab dapat suami yang tak macam-macam. Tekak dia pun sama ja, dia kata kering-kering pun boleh makan. Tak wajib berkuah untuk dia.
Senang kerja isteri. Masak simple-simple ja pun dia kata sedap (ambil hati kot). Apa pun kita semua kena bersyukur.”
Dalam pada itu, Fasha turut mengucapkan terima kasih kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri Datin Seri Shahida kerana menghadiahkan periuk dan kuali kepadanya. Untung empunya badan… mungkin Datuk Seri Aliff dan Datin Seri Shahida tahu minat pelakon jelita ini yang suka memasak dan menjamu keluarga.
Selain aktif sebagai pelakon, Fasha Sandha turut mengusahakan salun rambut miliknya, Chinta.
Kredit: Instagram Fasha Sandha
This website uses cookies.