Rajinnya FARAHDHIYA, Masak Hidangan Melayu Untuk Ibu Sepanjang Berada Di UK!

Sejuk perut ibu mengandung dapat anak rajin memasak macam Farahdhiya. Macam-macam jenis hidangan Melayu yang dimasak untuk ibu tersayang semasa pulang bertemu permata hatinya itu di Portsmouth, England. Ada kari ayam, sambal ikan bilis, masak lemak hijau dan banyak lagi. Kecur tengok air tangan penyanyi bersuara lunak ini.

Berangkat ke England pada pertengahan Disember lalu, kunjungan Farahdhiya yang disifatkan sebagai ‘balik kampung’ ini adalah kerana mahu bertemu ibu dan beberapa ahli keluarganya yang menetap di sana. Dengar khabar, ibu Farahdhiya bakal berusia 70 tahun Februari nanti. Walaupun sudah berusia namun masih aktif dan kuat.

Farahdhiya di samping ibu tersayang
Bersama kaum keluarga di England

Agak lama juga pemilik nama Farahdhiya Mohd Amin ini berada di Portsmouth. Kalau kebiasaannya di Malaysia, dia akan menyediakan makanan untuk bapa sebelum keluar bekerja atau memenuhi persembahan nyanyian… rutin sama juga dilakukan Farahdhiya ketika di Portsmouth. Iyalah, bukan selalu dapat sediakan hidangan untuk orang tersayang. Mesti mereka pun rindu dengan masakan Melayu.

Sampaikan, selebriti berusia 35 tahun ini sanggup membawa beberapa ramuan penting ke sana. “Gula CSR yang terbaru Better Brown rendah glisemik pun ku bawa sekali ke Portsmouth dan tak lupa juga Gula Masak ala Gula Melaka.

Memang dah tahu akan masak masakan Melayu untuk my mum and family dekat sini so dah bawa siap-siap gula, cili kering, ikan bilis dan sebagainya dari KL. Senang jadinya.”

Mengintai Instagram Farahdhiya, wanita cantik ini memang gemar memasak. Ada saja video masakan yang dikongsikannya setiap hari. Daripada hidangan tradisi, Barat dan sebagainya … macam-macam juadah pernah disediakan. Pendek kata, boleh jadi sumber rujukan masakan untuk kaum wanita.

Menyedari bakat memasak yang ada dalam diri Farahdhiya, ramai yang mengharapkan agar pelantun lagu Bertakhta di Hati ini membuka restoran kelak.

Berpeluang menyambut Tahun Baru 2019 di England, Naib Juara Gegar Vaganza Musim Kedua ini turut berkongsi azam tahun barunya bersama para peminat, “Selamat Tahun Baru! Apa yang saya harapkan pada tahun 2019 ini adalah untuk menjadi insan yang lebih baik, berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi atau bakal ceburi, bertemu dengan orang-orang yang baik, merancang untuk buka restoran, menjadi anak, kawan dan dapat bertemu dengan bakal suami.”

Semoga segala impian Farahdhiya menjadi kenyataan dan hasrat mencari suami dimakbulkan Allah SWT.

 

 

Kredit: Instagram Farahdhiya

 

Share
Published by
Suzi