Rakyat Malaysia Pertama Ada 7 Juta ‘Followers’ Di IG, DS SITI NURHALIZA Masih Unggul!

Walau sudah lebih dua dekad bergelar anak seni namun aura dan pesona penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza masih kekal unggul. Terbaru, anak seni kelahiran Kuala Lipis ini mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memiliki 7 juta pengikut di Instagram miliknya @ctdk sejak semalam. Luar biasa penangan ibu Siti Aafiyah!

Tidak menyangka populariti dirinya masih diterima peminat hingga ke hari ini, isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini bagaimana pun bersyukur menerima khabar gembira tersebut. Ujar Datuk Seri Siti, “Alhamdulillah, terima kasih ‘followers’ kesayangan saya. Saya gembira mendapat tahu perkara ini. Ia bermakna peminat sayangkan saya dan sentiasa mahu mengambil tahu perkembangan diri.

Akaun Instagram @ctdk seperti ‘one stop centre’ untuk saya memuat naik berita mengenai kerjaya seni, perniagaan, kehidupan peribadi dan keluarga serta hobi saya. Saya juga mahu menjadikan Instagram ini sebagai sesuatu yang memberi manfaat kepada pengikut.”

Dikurniakan rupa paras cantik dan bakat yang besar dalam industri muzik, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin cukup bertuah kerana dikurniakan pakej lengkap sebagai seorang penghibur. Malah, personalitinya yang ramah dan penuh kelembutan terus menarik minat ramai hingga ke hari ini.

Menghampiri Datuk Seri Siti dengan jumlah pengikut seramai 6,876,532 orang ialah pelawak terkenal tanah air, Zizan Razak. Sementara usahawan, pengacara dan pelakon cantik, Noor Neelofa Mohd Noor mengekori rapat dengan 6,842,346 orang pengikut.

Antara selebriti lain yang turut memiliki pengikut yang ramai di laman Instagram termasuk Nora Danish, Mira Filzah, Janna Nick, Hanis Zalikha, Scha Alyahya dan Amyra Rosli.

Share
Published by
Suzi