Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Juma’ani Pavilion di Kuching, Sarawak kelmarin.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 8.15 malam disambut isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggas Embas serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan negeri Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Juma’ani Pavilion merupakan hab fesyen yang memasarkan produk warisan tempatan dihasilkan oleh anak tempatan Sarawak dalam usaha mempromosi kesenian dan kebudayaan negeri yang terkenal dengan jolokan Bumi Kenyalang itu.
Ia juga berperanan sebagai pusat latihan bagi pereka muda tempatan yang berbakat dalam bidang fesyen dan tekstil.
Juma’ani Pavilion turut menempatkan sebuah makmal untuk kegunaan pelatih dan pereka tempatan bagi merancang, mencipta, mereka bentuk dan melakar rekaan yang bakal dihasilkan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Uggah berkata melalui Juma’ani Pavilion, industri fesyen di Bumi Kenyalang secara tidak langsung sudah bersedia menempatkan diri di pasaran nasional dan global.
“Apa yang menarik minat patik, tempat ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti pengimbas badan 3D yang mampu mengukur badan seseorang tanpa perlu menggunakan pita ukur lagi.
“Selain itu, di sini juga terdapat mesin membuat kasut dan produk berkaitan dengan kulit. Jadi, sesiapa yang ingin menempah kasut selepas ini tidak perlu pergi jauh,” katanya.
Beliau berkata Juma’ani Pavilion turut menempatkan sebuah makmal untuk kegunaan pelatih dan pereka tempatan bagi merancang, mencipta, mereka bentuk dan melakar rekaan yang bakal dihasilkan.
“Dengan segala kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di hab fesyen ini, ia dijangka mampu memberi manfaat kepada ramai usahawan fesyen dan tekstil, memartabatkan seni warisan ke persada dunia melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif,” katanya.
Tunku Azizah, yang juga Penaung Pusat Pengeluaran Songket Kontemporari Yayasan Tuanku Nur Zahirah, meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat sendiri koleksi seperti pakaian moden dengan sentuhan tradisi Sarawak, beg tangan serta kasut yang dihasilkan pereka tempatan dan dipasarkan di Juma’ani Pavilion.– BERNAMA
“Abah Tegas, Peka Bab Agama & Suka Bersedekah,” DR SYAFIQA Dedah Peribadi Arwah MR OS
Tahun ini masuk tahun keempat Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os kembali ke rahmatullah. Meskipun Dr Syafiqa Hayra tidak lagi berpeluang untuk memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah masih berbekas hingga ke hari ini dan akan sentiasa segar di ingatan. Apa yang pasti kedatangan bulan April setiap tahun menerbitkan momen sayu di lubuk hati wanita berusia 26 tahun ini kerana pada tanggal 8 April 2016 dia telah kehilangan sosok bapa selama-lamanya. Apatah lagi tarikh 5 April pula merupakan hari lahir lelaki paling disayanginya itu.
Tak mampu menyembunyikan rasa rindu terhadap arwah bapa, Dr Syafiqa menzahirkan perasaan tersebut di laman media sosial miliknya. “Kalau masih hidup Allahyarham abah, hari ni hari jadi abah yang ke-59. I’m a doctor now abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat abah. Tak pernah lupa jasa abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup.
Seorang abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga abah syurgalah tempat abah. Moga abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.”
Ketika dihubungi Nona, Dr Syafiqa yang ketika itu sedang bertugas menyambut salam penulis dengan penuh mesra. Keterbukaan anak pelakon komedi ini berkongsi sisi peribadi arwah bapanya sangat dihargai. Dia yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendedahkan, “Jujurnya, saya sangat rindu saat saya balik bercuti dari Mesir setiap tahun dan abah akan bawa saya serta keluarga pulang ke kampung dan pergi memancing ikan. Dulu saya selalu ikut abah memancing ikan lampam berumpankan pisang di Sungai Perak.
Kenangan bersamanya terlalu banyak. Saya juga rindu nak belikan jubah dan souvenirs untuk abah setiap tahun bila saya balik ke Malaysia selama saya belajar di Mesir. Rindu nak makan lemang jagung masakan abah setiap kali tibanya hari raya dan juga rindu nak mendengar nasihat dan cerita abah. Kalau nak tahu, abah ni sangat suka bercerita dan mengimbau kehidupannya masa kecil di kampung. Dia akan bawa saya ke tempat-tempat tersebut.”
Ditanya mengenai peribadi dan perwatakan arwah bapanya yang tidak diketahui ramai, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini menjelaskan, “Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.
Salah satu perangai abah yang buat saya kagum ialah cara abah menghargai ibu bapanya. Walaupun ibu bapa abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Jelas nampak betapa abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse, abah masih letak gambar ibunya.”
Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapanya! Jelas terserlah betapa besar rasa kasih dan sayang Allahyarham Mr Os terhadap kedua-dua ibu bapa dan sentiasa meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi. Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni ini.
Malah arwah tidak pernah malu bekerja sebagai pemandu teksi dan menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga dan anak-anak tersayang. Kejayaan yang dikecapi Dr Syafiqa Hayra hari ini adalah bukti yang arwah mampu mendidik anak-anak dengan sempurna.
“Abah, sepanjang dia cari makan untuk family tak pernah sekali pun dia mengeluh walaupun saya tahu dia penat. Dia masih kerja walaupun dalam keadaan sakit tenat. Masih pergi ke sana sini, pergi ceramah dan masih cari nafkah dia untuk family. Last abah pergi ceramah dekat Kuang. Abah dah pakai wheelchair. Tetap juga dia gagahkan walaupun dalam keadaan tenat.
My mummy cerita, sehari sebelum abah masuk hospital masa dia tenat, masa tu waktu sarapan, abah cakap dia dah teruk (tenat sangat) tapi dia harap sangat dia dapat bertahan sampai saya grad. Lepas tu abah menangis. Abah masuk hospital hari Isnin. Hari Khamis, hari terakhir saya jumpa abah melalui skype video call. Tapi abah dah tak boleh bercakap, dah pakai bantuan oksigen. Hanya cakap through bahasa isyarat. Esoknya hari Jumaat abah meninggal.”
Ujar Dr Syafiqa lagi, walau kerjaya sebagai doktor bukanlah pilihannya namun dia bersyukur dapat memenuhi impian bapa. “Sejak kecil memang abah galakkan saya jadi doktor. I love medicine. If I don’t love medicine, mesti saya tak grad medical school. Pernah jadi pergolakan di Mesir beberapa tahun lepas dan keadaan sangat bahaya. Kebanyakan pelajar Malaysia balik tapi saya tetap teruskan belajar di Mesir. Abah pernah tanya saya nak balik Malaysia or continue study in Egypt. I still choose to continue study in Egypt. I still grad on time. Saya tak pernah kena extend tahun pun masa study. And sekarang I really love my job. Sometimes patient ucap terima kasih pun saya rasa gembira walaupun saya bekerja sangat letih everyday.
Saya kena selalu ingat pesan abah dulu, kerja doktor ni ibadah. Setiap kali saya kerja, saya ikhlaskan diri dan selalu ingat pekerjaan doktor adalah satu ibadah. Saya nak sedekahkan pahala saya bekerja untuk parents saya. Without them I’m nothing. I go through everything, dengan doa parents saya. Usaha saya mungkin sikit. Tapi saya percaya selebihnya semua sebenarnya datang daripada doa parents saya. Abah seorang bapa yang tegas terhadap anak-anak, suka memberi nasihat dan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran serta agama.”
Mengakui tidak berkesempatan membalas jasa bapa tersayang, Dr Syafiqa bagaimana berkata dia tetap sentiasa mengenang segala kebaikan arwah bapa. “Kalaulah masih berpeluang balas jasa saya takkan bagi abah kerja. Let me do the works and cari duit. Abah dulu pernah cakap dia teringin nak pergi all Arabs country Saya nak bawak abah pergi travel dan saya takkan suruh abah saya kerja. Biar dia berehat dan beribadat saja. Saya yang akan kerja cari duit and let him go travel dan untuk abah pergi Mekah setiap tahun. Dulu abah nak datang ke Egypt melawat saya study. Tapi tak sempat sebab abah dah sakit tenat masa tu. Dan abah pernah cakap dia nak duduk di kampung Kuala Kangsar semula. Dia nak duduk kawasan kampung sebab tenang daripada kawasan bandar. Saya akan buatkan abah rumah di kawasan kampung. Biar abah berehat dan beribadah saja. Tak perlu bekerja.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Your parents knows best. Kalau ada duit walaupun sedikit, berilah kepada mereka agar ada keberkatan dalam kehidupan. Sentiasa dahulukan ibu bapa anda lebih daripada orang lain.”
Sementara itu, berkongsi keadaan semasa negara yang sedang mengalami pandemik Covid-19, selaku doktor yang mungkin khidmatnya akan diperlukan untuk membantu menangani virus ini kelak Dr Syafiqa berkata, “Buat masa ini saya masih belum diberi arahan untuk merawat pesakit Covid-19. Namun bila tengok situasi yang melanda sekarang saya rasa sedih. All frontliners yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, ada yang perlu meninggalkan keluarga di rumah.
Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mematuhi arahan PKP. We have to be very concern pasal virus ni sebab it’s a new virus, hopefully akan ada vaccine or definitive treatment soon enough and hopefully situasi seluruh dunia especially negara kita akan cepat pulih.”
Semoga Dr Syafiqa dapat memanfaatkan segala kemahiran perubatan yang dimilikinya untuk kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang. Selain menjadi kebanggaan dan inspirasi buat seluruh wanita Malaysia.
Rezeki Awal Tahun 2023, AYDA JEBAT Dilantik sebagai Duta Kempen “Salam Taiwan”
Penularan pandemik COVID-19 merugikan hasil sektor pelancongan global sebanyak AS$2 trilion (RM8.5 trilion) pada tahun lalu menurut badan pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sektor pelancongan kini sedang dalam fasa kembali rancak dan pelbagai rangka promosi dijalankan untuk menarik lebih ramai pelancong ke serata dunia. Bagi merebut pasaran pelancongan Muslim bagi tahun 2023, Biro Pelancongan Taiwan hari ini telah melantik selebriti muslim Malaysia – Ayda Jebat sebagai Duta Salam Taiwan.
Sebuah video promosi “Salam Taiwan 2023” akan dilancarkan terlebih dahulu, dengan
harapan untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka, berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh Ayda sendiri.
Pada masa ini, hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan telah memperoleh pensijilan halal. Menurut “CrescentRating – Global Muslim Travel Index (GMTI)” bagi tahun 2022 oleh MasterCard, Taiwan berada di tempat ke-2 bagi kategori destinasi pelancongan mesra muslim terbaik di kalangan negara bukan Islam di dunia.
Berdasarkan fakta ini, Biro Pelancongan Taiwan telah melancarkan projek promosi baharu “SalamTaiwan 2023”, iaitu dengan meneruskan konsep berteraskan Taiwan sebagai negara mesra pelancong Muslim dari seluruh dunia, memperkenalkan logo promosi Salam Taiwan terbaharu, serta menambah sub-slogan “Destinasi Sensasi Mesra Muslim”, yang diharap dapat menyerlahkan dengan lebih jitu lagi akan keistimewaan Taiwan.
Pejabat Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur berkata “Salam Taiwan 2023 akan memberi tumpuan kepada empat tema utama -“Vibrant”, Mesra Muslim, Romantik dan “Trending”, serta akan mempromosikan sumber pelancongan unik Taiwan kepada rakan Muslim secara lebih spesifik dan mendalam.”
Sebuah video promosi berdasarkan konsep “Dengarkan Suara Taiwan” telah diterbitkan, dimana Ayda secara peribadi telah melawat Ladang Qin Jing, gunung Hehuan, Alishan, bersiar-siaran di Taipei, taman tema, ladang riadah dan puak orang asli serta tarikan istimewa lain.
Bunyi angin, air, kereta api, nyanyian orang asli, dan penyediaan makanan telah dirakam bagi mempersembahkan pelbagai daya tarikan apabila menikmati pengembaraan ke seluruh Taiwan.
Selain itu, suami Ayda, Nabil Mahir, turut membuat penampilan dalam video promosi tersebut, menyerlahkan detikdetik manis serta romantik.
Ketika ditemui, Ayda berkata “Saya sangat gembira kerana telah terpilih sebagai Duta Salam Taiwan. Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk melancong ke Taiwan, kerana Taiwan adalah sebuah negara yang terlalu asing bagi saya.
Tapi, kesudahannya, saya telah jatuh cinta sebaik sahaja menjelajah ke sebahagian besar Taiwan! Baik dari segi kemesraan warga Taiwan, keindahan, keseronokan membeli-belah hinggalah ke pelbagai pilihan makanan halal yang lazat dan mudah untuk dinikmati! Saya tidak sabar untuk berkongsi keistimewaan Taiwan yang cantik dan “vibrant” ini kepada peminat saya!
Di majlis pelancaran hari ini, Pengarah Encik Abe Chou dari Biro Pelancongan Taiwan telah berbesar hati untuk menyampaikan sijil pelantikan kepada Ayda sebagai Duta Salam Taiwan di Malaysia, dengan disaksikan oleh Cik Phoebe Yeh, wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.
Cik Phoebe Yeh juga menjelaskan bahawa pada masa ini, adalah amat mudah bagi pelancong Malaysia untuk pergi ke Taiwan kerana terdapat banyak syarikat penerbangan seperti China Airlines, EVA Airlines, dan STARLUX Airlines yang menawarkan penerbangan secara terus ke Taiwan.
Pelbagai video promosi telah dirancang untuk dimainkan di kaca TV Malaysia, slot iklan di pawagam tempatan, billboard elektronik dan internet dengan menyasarkan peningkatan sehingga dua angka bagi peratusan pelancong Muslim dari Malaysia yang berkunjung ke Taiwan setiap tahun.
Kali Kedua Bawa Bayi Dalam Perut ke Tanah Suci, DATIN SERI SHAHIDA Tunai Haji Tahun Ini!
Murah rezeki Datin Seri Shahida. Selain selebriti terkenal seperti Datin Paduka Seri Umie Aida, Erra Fazira dan Neelofa yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini… isteri usahawan ternama Datuk Seri Aliff Syukri ini juga berpeluang melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
Berangkat ke Tanah Suci Mekah pagi tadi, Datin Seri Shahida turut melahirkan rasa syukur menerima panggilan sebagai jemaah haji Malaysia tahun ini di samping memohon kemaafan dan mendoakan kesejahteraannya sepanjang berada di sana. Kongsinya, “Alhamdulillah tahun ini rezeki saya dijemput lagi mengerjakan haji menjadi tetamu Allah di Bumi Mekah. Tidak keseorangan bersama anak saya yang masih di alam rahim yang temankan saya sepanjang berada di sana.
Dulu tahun 2016 saya pergi pertama kali banyak pengalaman yang saya dapat hingga membuatkan saya berkobar-kobar tanamkan niat untuk sekali lagi menunaikan haji. Alhamdulillah tahun ni rezeki Allah makbulkan bersama anak di dalam kandungan saya ni.
Doakan saya dan bayi di dalam kandungan diberi kesihatan yang baik bagi mengerjakan ibadah haji tahun ni mudahan dikurniakan haji mabrur. Terima kasih suami beri saya izin walaupun agak berat sebab saya tengah hamil. Terima kasih sudi bagi peluang pada saya dan jagakan anak-anak. Jujur benda paling berat ialah tinggalkan anak-anak terutama Yusoff yang masih kecil. Tapi saya yakin inshaAllah anak-anak saya dalam perlindungan yang Maha Esa.
Kepada semua sahabat sama ada yang mengenali saya secara peribadi atau di media sosial saya memohon kemaafan jika ada terguris rasa atau terkasar yang membuatkan anda tersinggung.”
Ini bukanlah kali pertama Datin Seri Shahida berada di Mekah dalam keadaan hamil kerana kira-kira dua tahun lepas sekitar tahun 2017, beliau yang mengerjakan umrah bersama kenalan rapat yang juga penyanyi Bienda dilaporkan sedang berbadan dua ketika itu. Beberapa hari selepas pulang dari Mekah… barulah ibu berusia 34 tahun ini memaklumkan berita gembira tersebut kepada umum.
Sebaik melahirkan Yusoff Al Qardawi pada 25 Jun 2018, Datin Seri Shahida sekali lagi menunaikan umrah bukan sahaja di samping ibu dan bapanya bahkan beliau turut membawa anak keempatnya bersama. Waktu itu Yusoff berusia lima bulan.
Mengimbas kembali momen berkenaan… kongsinya, “Waktu mama baru pregnant Yusoff tahun lepas 2017. Kebetulan dah daftar umrah. Berbelah bahagi antara nak pergi atau tidak sebab nak tunggu Yusoff Al Qardawi lama baru dapat. Lepas last bersalinkan Abang Baem 6 tahun lepas.
Tapikan mama fikir kalau Tuhan nak bagi rezeki inshaAllah ada. Kadang kalau kita terlalu risau dan terlalu berjaga-jaga, kalau dah Allah kata bukan rezeki kita tak dapat juga. So pergilah mama ke sini dengan pening mabuk, muntah dan macam-macam simptom mama bawa ke Mekah dan Madinah ni. Sekarang mama datang lagi bawa Yusoff pula kan… dalam keadaan sihat ceria.”
Beruntung Datin Seri Shahida kerana dilimpahkan rezeki meruah dan diizinkan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci. Sebelum ini, Datin Seri Shahida pernah menjadi tetamu Allah dan mengerjakan haji pada tahun 2016 bersama arwah bapa mentuanya meskipun bertolak pada hari berbeza.
Kredit: Instagram Datin Seri Shahida