Pilih kawan
Di bulan yang mulia ni, kita digalakkan mengejar pahala. Sekcil-kecil perkara baik yang dilakukan pun akan mendapat ganjaran pahala yang berganda. Jadi, untuk terus mengumpul saham akhirat, apakata tinggalkan kawan-kawan yang tidak ‘bermanfaat’ dalam kehidupan.
Berwawasan tinggi
Jika anda sedang menyimpan impian u tuk lebih maju dalam hidup, tak kiralah dari segi kerjaya, perniagaan atau kehidupan, pilihlah teman yang boleh membantu anda ‘mendaki’ tangga yang ingin dituju. Anda perlukan orang yang positif dan sentiasa berfikiran terbuka.
Anda juga perlu menerima kehadiran teman baru ini dengan hati terbuka. Mungkin anda sudah biasa bersama teman yang ‘sama’ dan inilah masanya untuk anda keluar dari zon selesa.
Mempunyai nilai sama
Kata orang, jika pasangan berlainan pemikiran, dia pelengkap hidup kita. Tetapi berbeza pula jika hendak memilih kawan. Lebih baik pilih teman yang mempunyai nilai dan kepercayaan sama kerana anda boleh mendapatkan penghormatan dari segi pandangan. Malah, mereka juga lebih lantang menyuarakan pendapat.
Matlamat sama
Mungkin kita boleh gelarkan mereka ‘purpose partners’. Bila kita mempunyai teman dengan misi serupa, anda boleh bekerjasama dengan lebih baik dan mendorong di antara satu sama lain dengan lebih kuat untuk mencapai matlamat.
Teman ‘seimbang’
Kita semua ada kekuatan dan kelemahan. Itu normal kan? Memilih kawan dengan betul, anda sebenarnya berkongsi bakat, skil dan keupayaan mereka untuk menyuntik kekuatan kepada diri anda juga. Begitu juga sebaliknya.
Teman memberi motivasi dan mendorong
Tentu kita tak mahu memilih teman yang asyik murung dan berfikiran negatif setiap masa. Lebih kuat semangat seseorang, lebih tinggi harapan untuk anda juga mengecapi impian dan berfikiran lebih terbuka dan positif. Jangan kekang hidup anda dengan memilih kawan yang tak membantu kehidupan!
Teman rai kejayaan
Bukan saja anda perlukan teman yang menyokong perjalanan anda, tetapi teman yang turut meraikan kejayaan anda. Teman yang baik akan meraikan setiap pencapaian dan kejayaan yang dikecapi.
Malah, Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin turut berkongsi di dalam sebuah video di laman Instagram.
“Delete kawan-kawan yang melalaikan kita. Di dalam hadis Nabi sebut, seorang akan terpengaruh dengan akhlak kawan-kawannya. Delete atau left group yang send benda-benda tak baik pada kita. Biar kawan tak ramai tapi berkualiti,”katanya.
View this post on InstagramA post shared by Muhamad Abdullah (@ustazamin) on
Malu-malu sayang… Kata Tun Dr. Siti Hasmah, “Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Itu Akan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu”
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
BELLE AL-YAHYA Ajak Isteri Hargai Pengorbanan Suami, Dedah Rahsia Kemanisan Rumah Tangga Bersama Carl Samsudin!
Indahnya alam rumah tangga bila suami isteri saling memahami dan menghormati di antara satu sama lain. Terasa nikmat perkahwinan itu cukup indah dan membahagiakan. Itulah perasaan yang sedang berbunga-bunga di hati pengasas jenama muslimah popular Bella Ammara, Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Shah sekarang.
Sedang hamil anak kedua dan bakal melahirkan cahaya mata lelaki, isteri kepada Muhammad Khalif Samsudin atau lebih dikenali dengan panggilan Carl Samsudin ini meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang begitu penyayang dan bertanggungjawab.
Melalui ungkapan romantis yang dikongsikan Belle dalam laman Instagramnya, ibu kepada puteri sulung, Nur Nabila Ammara nyata sedang meniti saat indah di samping keluarga tercinta. Selain memiliki perusahaan yang maju dan terkenal, kehadiran seorang insan bernama suami seperti Carl melengkapkan lagi kehidupan usahawan jelita berusia 29 tahun ini.
“Tugasan seorang suami bukan senang. Sangat berat. Dialah pemimpin dan imam kepada keluarga, dialah yang bertanggungjawab mencari rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak, dialah yang bertanggungjawab untuk mendidik isteri dan anak ke jalan Allah SWT dan dialah yang membentuk sebuah keluarga.
Belle sangat terharu tengok macam mana Carl Samsudin bekerja keras untuk menggembirakan keluarga tanpa kisah penat, makan or sakit. Apa yang dia happy, bila tengok keluarga dia happy.
Dan paling Belle tersentuh macam mana dia menunjukkan contoh dan mendidik Belle untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Yela, mungkin dulu Belle banyak lakukan kesilapan, tapi Carl tetap sabar mendidik Belle menjadi yang lebih baik dan macam mana dia terima kekurangan Belle seadanya.
Sebab tu setiap hari tak pernah sikit pun rasa sayang berkurang terhadap dia kerana akhlak dan prinsip yang ditunjukkan membuat Belle rasa bersyukur sangat ditemukan dengan insan yang sangat istimewa ini.”
Sweet sangatkan?
Moga dengan kehadiran cahaya mata baru yang bakal lahir nanti mengeratkan lagi kasih sayang di antara Belle dan Carl kelak.
Tiada Seorang Ibu Pun Mahu Lihat Anaknya ‘Pergi’ Dulu, Linda Kongsi Detik Pemergian Anaknya
Tidak ada seorang ibu pun yang hidup di dunia ini akan membayangkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan bulan akan ‘pergi’ terlebih dahulu daripada dirinya buat selama-lamanya.
Rasa kasih seorang ibu tidak pernah bertepi dan akan tetap mengalir walaupun jasad sudah berpisah. Ramai yang sudah maklum Linda Rafar telah kehilangan anak tersayangnya, Rezaimen Kiflin Kifli sekitar tahun 2014 akibat penyakit kanser perut.
Linda telah berkongsi bersama pengikutnya di laman Instagram tentang perasaannya buat pertama kali dikhabarkan anak kesayangannya didiagnos kanser. “Saya bagi ubat-ubat, sayur dan ubat yang boleh mempercepatkan sel kanser tu mati. Kita percaya semua tu sampai kita sanggup bayar RM23,000 untuk ubat tu sahaja selama sebulan.
Lepas sebulan, ubat belum habis lagi Memen (nama panggilan – Rezaimen Kiflin Kifli) kena attact balik. Dia tak boleh bernafas, dada dia macam ada tumbuh kelenjar. Tiba-tiba ada bonggol.
Kita rasa macam biji angin tapi sebenarnya itu adalah kanser. So bila kita ke hospital balik doktor kata dah terlambat dan tak boleh diselamatkan, tapi kita try buat chemo.
Bila chemo pertama tu, dah darah dekat hidung, darah dekat telinga. So macam-macam dugaan la. Chemo kedua dia terus drop, buah pinggang rosak,” cerita kakak kepada Diana Rafar ini.
Namun Linda reda dan positif apabila anaknya ‘dijemput’ lebih awal darinya. ”
Ajal maut semua di tangan Allah SWT. Kanser tak semestinya mati dan hidup, tak semestinya yang sihat ni akan hidup lama. Kalau kita keluar rumah pun, kena langgar kereta, kita akan meninggal juga. Kita tidur pun, kalau Allah SWT nak ambil nyawa kita, kita akan pergi juga.
So kena ingat, kanser ni bukanlah penyebab untuk Memen pergi. Allah SWT lebih sayangkan Memen,” kongsi isteri kepada Syed Aiman ini.
Tambah Linda lagi, “Memen punya kanser ni tak kuat, biasa je. Saya bagi semangat dan dia dengar, dia ok. Dia positif dan dia sihat balik. Dia boleh berjalan, ketawa, bawa kawan-kawan datang hospital borak dengan dia.
Saya bawa dia pergi picnic, camping tepi laut bersama famili. Dia enjoy, apa dia nak semua saya bagi. Sebab saya tahu dia macam dah ‘tak lama’,” tutur Linda lembut.
Bercerita tentang kelainan yang berlaku pada anaknya sebelum pemergiannya, ”
Ada sebuah charity yang sering memberi hadiah buat para pesakit. Setiap katil dia akan tanya nak apa. Mereka akan datang setiap Khamis untuk hiburkan kanak-kanak di wad.
Tapi Memen akan ambil present semua yang underage. Dia akan ambil play doh dan lego. Dia ambil dan simpan belakang katil dia. Saya hairan dan tanya kenapa, dia hanya jawab sebab nak lego dan simpan.
Hari dia nak meninggal tu, dia panggil adik-beradik dia datang, dia bagi wasiat dan serahkan barang-barang yang dia simpan untuk adik-adiknya,” cerita Linda lagi.
“Dia memang anak yang tak pernah ada signal sakit, tak pernah admitted pun. Bila doktor cakap Memen ada ketumbuhan dalam perut. Itu yang buatkan saya bertanya ketumbuhan apa,” ujar salah seorang penyanyi kumpulan Elite ini.
Cerita Linda lagi, “Memen tak pernah sakit dan bila dia cakap sakit perut, macam maybe angin. Bila jumpa doktor, doktor cakap angin.
Dalam masa sebulan, Memen makin teruk, makin teruk tu bukan tak boleh bangun tapi dari segi dia muntah, makan tak boleh terima. Itu yang buatkan saya pergi ke hospital swasta nak tengok MRI.
Bila tengok melalui MRI memang ternyata ada ketumbuhan sebesar satu kilogram dalam perut dia. Itu yang buatkan Linda rasa macam Allah SWT nak bagi ujian yang besar. Linda cakap dengan doktor apa yang perlu dilakukan, doktor kata kena cepat operation untuk buang ketumbuhan tersebut,” kongsi Linda tentang anaknya itu.