Walau ke mana juga kaki melangkah, masakan air tangan ibu sendiri sememangnya tiada tandingan. Walaupun hanya telur goreng namun masakan ibu tetap paling sedap di dunia. begitu juga dengan selebriti tinggi lampai ini, setiap kali tibanya Ramadan pasti terkenangkan masakan arwah ibunya. Siti Elizad memuji masakan arwah ibu memang super sedap, terutamanya bila masak lemak cili padi dan rendang.
“Ada sesuatu yang istimewa dalam masakan mama, sebab setiap masakan lauk pauknya, mama mesti tambah ulam-ulaman, tak kisahlah ulam apa, kebiasaanya Pucuk Ubi. Sebab itulah di keliling rumah di kampung dulu, mama tanam macam-macam jenis ulam-ulaman ditamannya. Paling Elizat suka bila mak masak rendang atau gulai lemak dicampur dengan ulam-ulaman. Rasanya sedap tak terkata,” katanya.
Apabila sudah mempunyai keluarga sendiri, menu yang wajib ada di bulan puasa buat pelakon ini ialah Rendang Campur (campuran pelbagai organ dalaman), Rendang Daging Ayam Tua Campur Pucuk Ubi, Masak Lemak Cili Padi Daging Salai dan Kuah Kacang dengan nasi impit.
“Kalau nak tau kuah kacang saya lain sikit dari kuah kacang biasa sebab saya tambah dengan paru yang saya dadu kecil dan kacangnya saya tubuk kasar. Sebab saya suka, kuah tu pekat likat, dan terasa kacangnya ditambah pula dengan tekstur kenyal paru tu, “cerita Elizad lagi.
GULAI LEMAK DAGING SALAI BERSAMA PUCUK UBI
(Resipi: Datuk Chef Wan)
BAHAN-BAHAN:
Pucuk ubi (daun lembut sahaja)
1kg daging salai | hiris nipis
3 batang serai | titik
1 helai daun kunyit | siat-siatkannya
1kg santan pekat
Garam dan gula
4-5 biji belimbing buluh
1 keping asam gelugor
BAHAN KISAR:
30 biji cili padi
1cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
1. Masukkan hirisan daging salai dalam periuk bersama bahan kisar, serai dan separuh dari santan.
2. Masak sekejap sehingga daging empuk.
3. Setelah kuah agak kering, masukkan kesemua lebihan santan dan kacau rata. Guna api dapur yang agak sederhana agar santan tak pecah.
4. Masak hingga kuah benar-benar masak dan perasakan garam dengan secukupnya. Masukkan belimbing buluh dan daun pucuk ubi yang telah dibersihkan.
5. Setelah daun agak layu sedikit, dalam 10 min bolehlah tutup api. Sedia untuk dinikmati.
Sumber: Majalah RASA