Suami yang penyayang dan bertanggungjawab, dua cahayamata yang sihat dan sempurna, keluarga yang baik, kesenangan hidup serta maju dalam perniagaan antara nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT buat usahawan muda berusia 26 tahun ini.
Puteri Emira atau mesra disapa sebagai Emira merupakan pemilik jenama fesyen modest moden, Losravelda. Wajar menjadi inspirasi khususnya buat golongan muda, Emira berjaya meletakkan Losravelda sebaris dengan jenama-jenama terkenal di Malaysia.
PERSIAPAN RAMADAN
“Persediaan tahun ini lebih kepada aktiviti ibadah bersama keluarga dan staf. Sepanjang bulan puasa ni saya mahu mereka tak terlalu fokus kepada kerja. Saya merancang untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama mereka di pejabat.
Kalau bukan bulan puasa pun selalunya dalam seminggu sekali kami akan solat berjemaah, keluar makan dan bersukan sama-sama.
Saya akan berbuka dengan makan kurma dan air kosong dulu kemudian barulah diikuti dengan makanan berat. Namun saya makan dalam kuantiti kecil saja agar fokus ketika solat berterawih tidak terjejas.
Sahur pula selalunya saya akan pilih bijirin, buah-buahan atau roti berserat bagi mengekalkan tenaga sepanjang berpuasa. Suami juga tak pernah cerewet soal makan.”
JIWA BISNES
Walaupun Emira memiliki kelulusan dalam bidang komunikasi tetapi minat yang terlalu mendalam terhadap perniagaan mengatasi segalanya. Emira juga bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada suami, Ajwad Khan.
“Suami banyak berkorban masa dan tenaga. Suami juga sanggup berhenti kerja untuk bersama-sama saya menguruskan perniagaan. Saya suka berniaga kerana ia memberi kepuasan kepada saya dan suami.
Lebih-lebih lagi hasil titik peluh sendiri tanpa bergantung kepada keluarga atau bekerja di bawah orang lain. Detik jatuh bangun kami jadikan sebaga pembakar semangat untuk terus buat yang terbaik dalam perniagaan.
Alhamdulillah setakat ini sambutan yang kami terima sangat bagus, permintaan pun semakin meningkat. Rezeki kami sampai ke Brunei.
Hasil jualan di Brunei kami berjaya membawa pulang keuntungan sebanyak RM100 ribu Dollar. Allah SWT mengurniakan rezeki itu kepada kami dalam masa yang cukup pantas dan tak terjangka.
Apatah lagi dengan kami yang masih baru dan kurang pengalaman dalam perniagaan. Alhamdulillah dengan hasil jualan itu kami berjaya membuka butik fizikal di Shah Alam.”
NASIHAT
“Nasihat saya buat golongan muda sebelum menceburkan diri dalam perniagaan jangan terlalu terburu-buru, paling penting kumpul duit dulu. Sebaiknya cari mentor atau penasihat yang benar-benar dapat membantu. Dunia perniagaan ni tak selalunya indah, banyak liku dan cabaran yang terpaksa ditempuh dengan sabar.
Saya juga menjadikan bapa mertua, Nasir Khan sebagai mentor. Beliau memang seorang business minded. Setiap kali rasa tertekan atau down dalam perniagaan saya akan dapatkan nasihat daripada beliau.”
Dapatkan Nona Mei 2019 untuk artikel penuh.
Kredit Foto: Emira Khan