Selain berbakat dalam bidang lakonan Rozita Che Wan atau Che Ta juga hebat dalam merencana empayar perniagaannya. Namun, ramai peminatnya sering salah anggap bahawa Che Ta merupakan anak sulung. Sebenarnya Rahimah Che Wan atau lebih mesra disapa Ema ini merupakan anak sulung. Namun, Ema tampil lebih low profile berbanding adik-adiknya yang lain dan juga seorang wanita yang tidak banyak cakap.
Ketika diajukan tentang peranan seorang kakak yang tersandar dibahunya sementelah mempunyai adik-adik yang cantik dan terkenal, tutur Ema lembut, “Sebagai kakak sulung, alhamdulillah, saya bersyukur punyai adik-adik yang cantik belaka. Bukan itu sahaja mereka juga terkenal namun sentiasa menyokong di antara satu sama lain. Selain itu saya turut rasa bangga melihat mereka berjaya dalam dunia masing-masing and I am happy for the
m.Sebagai kakak kepada Che Ta, sudah tentu saya sangat bangga dan gembira dengan siapa dirinya sekarang. Bukan senang untuk dia membina nama sehingga dikenali seperti hari ini. Saya melihat perjalanan hidupnya daripada mula sehingga sekarang, bukan suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi kami berasal daripada keluarga orang susah. Bapa meninggal ketika kami masih kecil, mak dan nenek yang menjaga dan membesarkan kami adik-beradik.
Che Ta ini seorang yang sangat bersemangat, rajin, mempunyai azam yang besar, disiplin diri yang tinggi dan sentiasa bekerja keras untuk mencapai keinginannya. Che Ta adalah orang yang paling banyak membantu keluarga kerana dia seorang yang sangat-sangat pemurah dan baik hati. Mungkin sebab itu rezekinya sangat murah.
Malah daripada sebelum saya kahwin hingga saya sudah pun berkahwin, dia masih lagi belikan baju-baju raya untuk saya dan anak saya. Bercuti ke mana sahaja pun dia tidak pernah lupa belikan buah tangan untuk kami semua. Appreciate sangat dengan ingatannya yang tidak pernah luntur terhadap keluarga besar kami,” ujar Ema sambil membetulkan tudungnya.
Kehangatan lebaran yang masih lagi membahang, keluarga Che Wan ini gembira apabila dapat berkumpul bersama. Sebagai kakak sulung, saya gembira apabila melihat adik-adiknya yang membesar di depan mata datang berkumpul di kediaman ibunda tercinta. Walaupun semua sudah berkahwin tetapi tidak pernah culas untuk pulang di hari raya. “Setiap tahun apabila tiba hari raya kami semua adik-beradik bersama anak masing-masing akan pulang ke Alor Star untuk menyambut raya bersama mak.
Kredit foto: Instagram @rozitachewan1
Walaupun adik-adik ada yang berkahwin dengan orang jauh tetapi mereka tetap pulang beraya pada hari kedua di rumah mak. Cuma kemeriahan malam raya seperti sebelum semua berkahwin dahulu hanya berlaku apabila tiba giliran beraya di Kedah. Sudah dua tahun kami adik-beradik tidak berkumpul malam raya namun Alhamdulillah, tahun ini tiba giliran menyambut Syawal bersama-sama. Riuh-rendah di malam raya usah cakap, masing-masing hendak bercerita dan selalunya kami lambat tidur di malam raya,” bicara wanita yang berusia 46 tahun ini.
“Selalunya Che Ta yang akan jadi tukang cerita, saya lebih banyak mendengar daripada bercerita. Seronok mendengar cerita masing-masing. Biasanya bicara kami lebih kepada kisah kehidupan kami yang telah berkeluarga.
Kredit gambar: Instagram @ayuraudhah_7
Kami berbicara tentang suami, anak-anak dan perasaan masing-masing. Ada masanya kita perlu bercerita untuk meluahkan isi hati yang tersimpan atau terbuku dalam hati. Sekurang-kurang kita tahu dengan siapa kita bercerita dan apabila sudah luahkan segala-galanya macam hilang segala stres yang ada. Setiap kali usai berjumpa adik-adik memang semua akan gembira umpama segala masalah telah hilang,” terang Rahimah.
Menurut Che Ta, kakaknya yang satu ini merupakan tempatnya dan adik-adik meluahkan perasaan. Ema merupakan pendengar setia ceritera adik-adiknya yang cantik bergaya.
This website uses cookies.