Ramai Wanita Terguris Angkara SOALAN Ini, Jangan Sesekali Tanya Raya Nanti!

Tinggal empat hari saja lagi Aidilfitri bakal menjelma. Pastinya saat ini seluruh umat Islam sedang sibuk menyiapkan segala persiapan hari kemenangan. Sebelum berangkat ke kampung halaman dan bertemu sanak-saudara kelak, semat dalam diri agar tidak ‘terlepas’ bertanyakan soalan ini kepada wanita khususnya yang sudah bergelar isteri. Iyalah, kadang-kadang sebab terlalu ghairah berjumpa kenalan dan jiran tetangga, tak sedar pertanyaan kita sebenarnya boleh mengguris perasaan orang.

Tertarik dengan perkongsian Pakar Runding Obstetrik dan Sakit Puan, Profesor Dr Imelda Balchin yang membicarakan keprihatinannya tentang perasaan wanita berkahwin yang belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata membuatkan penulis terdetik untuk mengetengahkan isu tersebut buat perhatian semua. Tulis beliau di laman Facebooknya, “Masa Hari Raya inilah ramai di antara mereka meluahkan luka hati dan menahan sebak di hati bila ditegur saudara-mara dan ditanya-tanya ‘Bila lagi nak menimang anak’.

Apa yang pasti, luahan pengalaman Prof Dr Imelda yang menyaksikan sendiri peristiwa ngeri seorang wanita pada tahun 1999, 18 tahun lalu benar-benar menyentik emosi.

“Saya nak ceritakan kisah seorang wanita berumur 33 tahun yang setelah 10 tahun mencuba untuk menjadi hamil tetapi tidak berjaya. Kerana hendak sangat mendapat cahaya mata, pasangan ini telah menjalani rawatan IVF sebanyak 3 kali. Kali pertama dan kedua gugur. Mereka tersangat kecewa. Kali ketiga berjaya, kerana diberikan hormon yang berdos tinggi untuk menampung kehamilannya pada tiga bulan pertama.

Tetapi rawatan kesuburan dan IVF ada kesan sampingannya. Salah satu kesan sampingan ialah Ovarian Hyperstimulation Syndrome (OHSS) di mana hormon yang digunakan untuk merangsangkan ovari menyebabkan ovari menjadi besar dan terlalu bengkak. Ovari ini juga mengeluarkan kelebihan hormon yang membolehkan air dari dalam saluran darah meresap keluar daripada darah. Akibatnya darah menjadi lebih pekat daripada biasa dan lebih cenderung mendapat darah beku di bahagian kaki.

Ibu ini mendapat darah beku di kedua-dua belah kakinya (Deep Venous Thrombosis). Untuk mengelak masalah darah beku ini bertambah teruk. ibu ini mendapat rawatan injection heparin untuk mencairkan darahnya setiap hari. Tetapi nasib ibu ini tidak baik kerana darah beku itu bertambah teruk dan berlanjutan dari saluran darah di bahagian kedua-dua betis hingga ke saluran darah besar iliac di atas peha sampai ke paras pinggangnya. Ibu ini terpaksa tinggal di dalam wad untuk rawatan heparin setiap hari.

Pada satu hari, pada minggu 35 kehamilan ibu ini tiba-tiba tidak boleh bernafas dan tidak sedar diri. Kami semua bergegas mendengar loceng kecemasan dan memang kami semua sudah tahu yang bila ibu ini tidak boleh bernafas, ini bermakna terdapat ketulan darah beku yang sudah sampai ke dalam paru-parunya (pulmonary embolism).

Ini menjadi satu kecemasan. Jantung ibu sudah berhenti berdenyut, ibu sudah berhenti bernafas. Ini ialah keadaan yang dinamakan cardiac arrest. Kami tidak ada pilihan lagi, saya di dalam pasukan pertama terus membuat CPR, menekan dadanya bertubi-tubi untuk memaksa jantungnya untuk terus mengepam dan mengalirkan darah sambil pasukan kami kedua memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasannya untuk memaksa oksigen masuk ke dalam paru-parunya dan pasukan kami yang ketiga dengan serentak membuat pembedahan Caesar di atas katilnya di dalam wad juga.

Tidak ada masa untuk memindahkan ibu ke OT. Tidak ada masa untuk memberi ibu yang tak bernyawa ubat bius. Tidak ada masa untuk kami bertukar pakaian ke baju ‘scrub’, Tidak ada masa untuk kami mencuci tangan. Pasukan keempat kami memberi bayi bantuan pernafasan. Pasukan kelima membuat pembedahan dada ibu untuk mengeluarkan 4 ketulan darah yang besar dari dalam saluran darah paru-paru.

Bayi berjaya diselamatkan tetapi kami gagal menyelamatkan nyawa ibu. Suaminya berlinangan air mata bila menyambut bayinya. Saya tidak boleh bayangkan perasaan suami yang kehilangan isteri yang tersayang kerana terlalu sangat hendak mendapatkan cahaya mata. Sekarang dikurniakan cahaya mata, tetapi alangkah sedihnya bagi suami ini kerana pada setiap tahun menyambut hari jadi anaknya terkenangkan peristiwa yang meragut nyawa isteri.

Sejak hari itu, bila saja saya bertemu dengan wanita yang bersedih di klinik infertiliti untuk rawatan kesuburan, saya selalu menasihatkan mereka supaya bersabar dan bersyukur walaupun belum lagi hamil. Ramai yang tidak faham mengapa mereka patut bersyukur. Ada angin, ada pohonnya.

Tetapi saya pula tidak faham mengapa masyarakat kita selalu sangat melukakan hati dan perasaan pasangan yang belum lagi mendapat anak. Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang. Bila bertemu pasangan yang belum lagi ada anak, pantang bertanya ‘bila lagi nak menimang anak’. Kalau tak boleh juga buka topik lain, sila diam.”

Fuh, tepat sampai ke lubuk hati baca pesanan Prof Dr Imelda ni! Jangan kerana ‘gatal mulut’ bertanya soalan sensitif ini.. anda merosakkan mood Hari Raya orang lain. Simpatilah dengan nasib wanita yang sedang berjuang untuk memiliki zuriat.

Sumber: Facebook Imelda Balchin

Share
Published by
Suzi