Memang rambang mata tengok koleksi beg tangan Hermes selebriti cantik Indonesia, Syahrini. Ibarat kehidupan seorang puteri diraja, Syahrini sering dilihat mengenakan persalinan dan aksesori berjenama mewah from head to toe!
Bahkan jika ingin bercuti ke luar negara pun, dia dilihat menaiki jet peribadi.
Menjengah media sosial Syahrini, ternyata figura ini memiliki cita rasa eksklusif dan mahal! Lebih-lebih lagi himpunan beg tangan berjenama Hermes miliknya yang pelbagai rekaan, bentuk dan warna.
Umum mengetahui, label Hermes ini dikategorikan sebagai jenama mewah dan antara yang paling mahal di dunia. Sebuah beg tangan Hermes Birkin saja dianggarkan bernilai lebih RM30,000 hingga boleh mencecah jutaan ringgit!
Patutlah kebanyakan orang cakap, umpama menjinjit ‘banglo’ di tangan.
Sememangnya Syahrini merupakan penggemar jenama Hermes. Bukan sekadar memiliki koleksi Birkin, dia turut mempunyai koleksi Constance, Kelly dan Haut A Courroies (HAC).
Itu belum kira lagi jenama beg tangan mewah lain seperti Chanel, Louis Vuitton dan sebagainya.
27 Februari lalu, genap empat tahun usia perkahwinan Syahrini dan suami kacaknya, Reino Barack. Empat tahun melayari hidup berumah tangga, suami isteri romantis ini makin akrab dan mesra seperti pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.
Meskipun sudah empat tahun majlis persandingan selebriti ini berlalu namun kegemilangan resepsi Syahrini dan Reino masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, busana perkahwinan Syahrini dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa yang juga pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.
Pereka fesyen profesional ini mampu merealisasikan gaun impian Syahrini dengan cukup mewah, anggun dan berjaya memukau pandangan tetamu yang hadir.
Tampil lebih eksklusif daripada rekaan persalinan yang pernah dihasilkan untuk Syahrini sebelum ini, gaun mewah kembang yang dipakai suri hati Reino tersebut merupakan gaun dari koleksi Sebastian Gunawan Sposa yang dicipta khusus untuk perkahwinan.