Rambut Mahkota Wanita, Atasi Masalah Kulit Kepala Agar Kekal Bersih & Sihat Sepanjang Duduk Di Rumah

Rambut menyempurnakan keindahan bentuk wajah setiap insan, terutama wanita. Helaian demi helaian memberi refleksi kemilau yang memukau seterusnya memudahkan penggayaan rambut yang diinginkan. Walaupun hanya duduk di rumah tak bermakna anda tidak perlu berdandan. Paling penting sentiasa menjaga kebersihan kulit kepala, barulah rambut yang cantik menjadi milik anda.

Tidak kira samada berhijab atau tidak, rambut perlu diberi penjagaan yang khusus. Jika berhijab, pastikan rambut berada dalam keadaan yang baik dan dijaga dengan penjagaan syampu secara berkala untuk mengelakkan masalah rambut kepam, gugur dan kelemumur secara berlebihan. Rambut bukan sahaja melindungi kulit kepala daripada terdedah kepada anasir luar seperti kotoran dan pencemaran malah boleh menyerlah penampilan seseorang. Namun, akibat stres, pengambilan makanan yang tidak berkhasiat, perubahan cuaca, penggunaan produk penjagaan rambut yang tidak sesuai merupakan punca masalah rambut.

Memang benar masalah rambut tidak menjejaskan keadaan fizikal tubuh tetapi boleh mencacatkan penampilan, menurunkan keyakinan diri dan prestasi kerjaya merosot. Oleh itu, sebaik-baiknya sebelum berlaku masalah rambut lebih baik mencegahnya dengan melakukan pemeriksaan rambut dan kulit kepala. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan setahun sekali, pemeriksaan kesihatan rambut begitu juga.

Secara purata, kulit kepala manusia mempunyai kira-kira 100,000 hingga 150,000 folikel rambut. Biasanya kita akan keguguran lebih kurang 100 helai rambut setiap hari. Apabila usia kita meningkat, pertumbuhan rambut kita mula menjadi perlahan. Bagaimanapun, sekiranya kita sentiasa keguguran lebih daripada 100 helai rambut sehari, kita perlu mendapatkan khidmat pakar rambut.

Bagi mengenal pasti keadaan rambut sebaik-baiknya jalani pemeriksaan rambut atau kulit kepala enam bulan sekali atau sekurang-kurangnya setahun sekali. Memandangkan kulit kepala boleh menimbulkan masalah kulit atau dermatologi, kesihatan kulit kepala penting untuk kesihatan rambut. Pemeriksaan rambut atau kulit kulit kepala membantu mengenal pasti isu berkaitan rambut seperti kecacatan umbi rambut, folikel tersumbat, penyahhidratan kulit kepala, longgokan natrium, daki, jangkitan kulat dan bakteria dan kekurangan pemakanan.

MASALAH-MASALAH RAMBUT

Rambut kering atau rapuh
Menandakan kekurangan protein, vitamin A, sulfur, silikon atau zink dan hormon tiroid tidak seimbang.

Rambut berminyak
Menandakan kekurangan asid lemak penting, zink, vitamin B6, riboflavin atau asid folik.

Keguguran tekstur atau sinar rambut
Menandakan kekurangan asid lemak penting, vitamin B6, magnesium atau zink dan pertumbuhan hormon yang tidak seimbang.

Rambut cepat beruban
Disebabkan oleh tekanan dan ketidak seimbangan testosteron, hormon pertumbuhan atau ACTH (hormon pituitari).

Masalah kulit kepala (contohnya kelemumur)
Menandakan jangkitan kulat, yang dipercepatkan oleh diet tinggi karbohidrat, gangguan keimunan sistemik, tahap tekanan yang tinggi dan kekurangan Vitamin B, zink, biotin, selenium atau kuprum (lebih-lebih lagi jika sensitif kepada matahari)

Keguguran rambut (bertompok-tompok)
Disebabkan oleh keracunan logam, kekurangan asid folik & zink, dan ACTH atau kortisol tidak seimbang.

Keguguran rambut (secara berlebihan)
Menandakan kekurangan pengaliran atau pengedaran darah ke kulit kepala. Ini juga boleh bermakna kekurangan protein, asid lemak penting, Vitamin B, silikon dan zink dan pertumbuhan tidak seimbang hormon tiroid dan hormon pertumbuhan (terutama sekali jika keguguran rambut berlaku secara menyeluruh).

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad