Ramai di kalangan saudara terdekat atau sahabat kita yang melalui tempoh pemulihan dengan rawatan kemoterapi akibat kanser melalui fasa rambut gugur dan menjadi botak. Benarkah rawatan kemoterapi ini menjadi punca keguguran rambut yang ekstrem?
Sebaik sahaja doktor mengesahkan seseorang pesakit mengidap kanser, kebiasaannya pesakit tersebut akan melalui proses rawatan iaitu kemoterapi. Kemoterapi adalah salah satu prosedur rawatan melalui ubat-ubatan khusus untuk menghentikan sel-sel kanser yang menyerang tubuh. Penghidap kanser biasanya akan mengalami keguguran rambut akibat terapi kemoterapi.
Keguguran rambut ini adalah disebabkan efek daripada kemoterapi kurang selektif. Secara dasarnya kesan kemoterapi adalah membunuh semua sel yang terdapat dalam tubuh untuk membunuh sel kanser. Sel folikel rambut mempunyai sifat tumbuh dengan cepat namun kesan daripada kemoterapi mengganggu perkembangannya. Rambut akan gugur pada hari ke-10 hingga 14 hari setelah penggunaan kemoterapi kali pertama. Rambut semakin lama akan gugur dan akhirnya menjadi botak.
Keguguran ini tidak hanya berlaku pada rambut malah bulu mata, kening dan rerambut di badan turut terkena kesan kemoterapi. Namun, keguguran rambut tidak berkekalan dan perlahan-lahan rambut akan tumbuh semula selepas tamat tempoh terapi tersebut.
Tip mengatasi masalah rambut gugur akibat kemoterapi
Gaya potongan rambut yang paling sesuai ketika menjalani rawatan kemoterapi adalah rambut pendek. Gaya rambut seperti ini mudah dikendalikan dan wajah akan kelihatan lebih berisi. Rambut pendek juga boleh mengurangkan beban akar rambut sehingga dapat memperkukuh helaian rambut dengan lebih baik.
Bersyampu adalah untuk menyingkirkan kotoran dan minyak yang berlebihan di atas kulit kepala. Tetapi, dalam tempoh ini gunakan syampu yang lembut seperti syampu bayi atau syampu organik.
Rambut perlu disikat rapi seperti biasa. Namun, bersikat sekarang tidak seperti waktu sihat dahulu. Sikat rambut dengan lembut dan perlahan-lahan menggunakan sikat yang jarang.
Mencuci rambut memang baik untuk menjaga kesihatan rambut. Tetapi, dalam keadaan menjalani rawatan kemoterapi sebaik-baiknya kurangkan frekuensi mencuci rambut. Mungkin sebelum ini mencuci rambut dua hari sekali, boleh kurangkan menjadi dua kali seminggu sahaja.
Sekarang bukan masa untuk memakai aksesori rambut. Fokus utama adalah menjalani gaya hidup yang sihat dan pulih dengan cepat.
Wap panas daripada pengering rambut akan membuat lebih cepat gugur kerana mengganggu folikel rambut kepala. Keringkan rambut secara semula jadi di bawah angin atau biarkan kering dengan sendiri.
Ketika tidur rambut banyak melekat pada sarung bantal. Bagi mengelakkan rambut terus-menerus melekat pada sarung bantal, gunakan sarung bantal yang lembut seperti material satin atau sutera.
Wanita yang berhijab beruntuk kerana boleh melindungi rambut daripada terkena sinar cahaya matahari. Bagi mereka yang tidak berhijab boleh menggunakan topi untuk melindungi rambut dan kulit kepala daripada sinar matahari.HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED
This website uses cookies.