Sejak perhubungan cintanya bersama bekas penjaga gol kebangsaan dihidu ramai pihak sehinggalah perkahwinan mereka kini meniti usia 8 tahun dan dikurniakan 3 orang anak, kejelitaan Leuniey Natasha masih dikagumi. Raut wajah cantiknya ditambah pula dengan penampilan sopan Leuniey sejak berhijab menyerlahkan lagi keayuan suri hati Khairul Fahmi Che Mat ini.
Terpikat dengan kemulusan kulit wajah wanita berusia 29 tahun ini, lantas persoalan mengenai rahsia cantiknya diajukan. Dengan nada merendah diri, dia membuka rahsia. “Dari segi kesihatan dan kecantikan memang penting bagi Leuniey sejak zaman remaja lagi sebab galakan dari ibu Leuniey sendiri. Tak dinafikan memang Leuniey cukup menjaga diet, takutlah bila makin berumur ni kita senang naik berat badan sebab itu Leuniey ambil berat pasal diet seimbang.
Malah Leuniey suka minum wellness shot buatan sendiri iaitu campuran air kunyit, lemon dan juga halia untuk immune booster. Soal penjagaan wajah juga sangat penting bagi Leuniey. Pendek kata memang sangguplah berhabis untuk skin care.
Bagi Leuniey kalau kita kedekut dengan diri kita sendiri macam mana nak cantikkan?”Kecantikan pemilik nama Nur Eilunie Natasha Jaafar ini sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Dia bukan hanya dilahirkan sebagai seorang wanita yang cantik malah sangat menjaga kurniaan tersebut. Seperti kebanyakan wanita yang sinonim dengan kecantikan, Leuniey juga tidak terkecuali. Selain melakukan rutin penjagaan wajah secara konsisten, dia juga mementingkan kecantikan dalaman dengan melakukan aktiviti senaman sekerap mungkin. Iyalah, hendak nampak sentiasa cantik kena rajin!
Mengimbas kembali momen ijab kabul mereka pada 28 Disember 2012, Leuniey ketika itu baru mencecah usia 21 tahun. Selain berjaya menambat hati Apex yang sedang berada di puncak kerjaya, kecantikan Leuniey turut menarik perhatian ramai. Bahkan sehingga ke hari ini pun ibu kepada tiga anak ini masih kekal menawan. Ditanya resipi perkahwinan bahagia di samping suami tercinta, Leuniey ketika dihubungi menzahirkan rasa syukur.
“Alhamdulillah takdalah resipi sangat pun. Tahun ni merupakan tahun ke-8 perkahwinan kami, insyaAllah. Apa yang boleh Leuniey katakan, persefahaman yang baik antara pasangan itu adalah sangat penting. Begitu juga dengan sikap toleransi sesama suami isteri. Sebagai isteri, elakkan daripada buat benda yang suami tidak suka dan hormati suami adalah kunci utama dalam perkahwinan Leuniey dan Apex.”
Ujar wanita cantik ini lagi, “Sekarang kami menetap di Melaka, dah nak masuk tahun ketiga kami di sini sebab Apex main untuk Melaka United. Anak sulung dan nombor dua pun dah bersekolah tadika, masing-masing berusia 5 dan 6 tahun. Kebanyakan masa memang Leuniey bekerja dari rumah sebab office dan warehouse kami di Bangi. Setiap dua atau tiga kali seminggu Leuniey akan ke office di Bangi untuk jumpa team, jadi nak bahagikan masa di antara bisnes dan keluarga alhamdulillah tiada masalah buat kami.
Kalau Leuniey ke office belah pagi, Apex pula akan tolong jagakan anak sambil dibantu oleh maid sebab Apex training belah petang. Mujurlah kami ada maid yang sangat baik dan membantu dari segi kerja rumah dan anak-anak. Pada waktu lapang, Leuniey akan memenuhi waktu masa dengan anak-anak dan suami seperti bawa mereka keluar makan dan teman bermain. Kalau untuk diri sendiri pula Leuniey lebih suka pergi bersenam atau shopping bila ada masa terluang. Biasanya Leuniey buat rutin senaman pilates dan gym termasuk buat Live di Instagram untuk kongsi make up tutorial atau sekadar bersembang dengan rakan-rakan IG, ” ungkapnya.
Dalam kesibukan menguruskan keluarga sekalipun, Leuniey masih aktif mengembangkan empayar niaga. Jika dahulu fokusnya lebih kepada produk kosmetik, tetapi kini Leuniey ligat mengusahakan produk kecantikan terbaru, LadyVie. Difahamkan produk ini baru sahaja dilancarkan Mac lalu. “Idea untuk buat jamu modern LadyVie ni sebenarnya dah lama. Dari selepas melahirkan anak nombor dua lagi tapi Leuniey masih ragu-ragu untuk keluarkan. Sampailah bersalin anak nombor tiga. Ikutkan Leuniey sendiri pun memang ada amalkan jamu-jamu tradisional dan moden yang dibuat sendiri kat rumah.
Bila kita dah kahwin dan juga ada anak-anak, memang jamu adalah salah satu supplement yang penting bagi mengekalkan energy dan kesihatan dalaman Leuniey. Leuniey yakin jamu moden LadyVie ni memang boleh bantu ramai wanita-wanita kat luar sana sebab itulah Leuniey mengambil keputusan untuk keluarkan LadyVie selepas melakukan R&D lebih kurang 4 bulan lebih. Alhamdulillah Mac lepas kita dah buat online launching,” ulas Leuniey yang gemar membuat kerja seni, mengembara dan menari.
This website uses cookies.