Wow, tak sangka selain berbakat dalam sukan boling rupa-rupanya Syaidatul Afifah Badrul Hamid juga ada bakat sebagai pelakon dan pengacara! Selepas umumkan persaraan sebagai atlet boling pada September 2020, rezeki Fifah semakin melimpah ruah.
Bersandarkan rupa paras cantik dan bakat yang ada, Nona percaya dia mampu melangkah lebih jauh.
Dalam temu bual eksklusif bersama Nona, Fifah mendedahkan dia mula menceburi arena sukan boling sejak berusia sembilan tahun dan kini mahu terus mengasah bakat dalam industri seni pula.
“Saya seorang yang suka mencuba sebab itu bila dapat tawaran hosting dan berlakon saya ambil. Lagipun berlakon sebab drama tentang boling. Bayangkan dari umur 9 tahun saya dah aktif dengan sukan ini sampai satu tahap saya fikir sampai bila nak main boling.
Umur pun waktu tu dah 29 tahun dan kebetulan duduk rumah lama sebab PKP. Jadi saya beritahu parents ini masa terbaik untuk bersara dan peluang cuba benda baru. Dulu sibuk dengan training hampir setiap hari. Masa bersama family pun kurang. Tapi sekarang fleksibel dan paling penting saya boleh asah bakat dalam bidang lain pula.”
Jelas wanita kelahiran Perak ini, dia seorang yang aktif bersukan dan merupakan pemain harapan sekolah untuk sukan bola jaring. Namun atas saranan ayah untuk melibatkan diri secara serius dalam sukan boling, dia akur meninggalkan bola jaring.
Ketika awal pembabitannya, Fifah mendapat didikan daripada jurulatih Ismail Yahya yang merupakan bekas pemain boling kebangsaan. “Dari kecil saya suka sukan dan tanam azam main boling ni nak sampai Sukan SEA.
Kejohanan pertama yang saya dapat masuk ialah Sukan Asia Incheon 2014, Sukan SEA Singapura 2015, Kejohanan Asia 2015 di Bangkok yang menang pingat emas berpasangan wanita, Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas juga bawa pulang emas berpasukan wanita dan Sukan Asia 2018 di Palembang dengan pingat emas trio berpasukan wanita.
Alhamdulillah, semua kejohanan besar dapat pingat emas dan saya tak rasa sedih untuk bersara sebab dah capai apa yang saya impikan selama berada dalam sukan boling.”
Terbaharu, Fifah sekali lagi akan muncul dalam drama bersiri Ratu Tenpin 2 selepas lakonannya sebelum ini mendapat respon baik daripada penonton.
“Selama ni tak terfikir pun berlakon tapi bila Sheila Rusly DM (direct message) di IG dan call serta explain untuk tawaran, saya tak fikir panjang terus terima sebab jalan cerita drama ini 100 peratus berunsurkan boling yang mana sangat dekat dengan diri saya.
Dalam drama 16 episod tu saya bawa watak Sandra yang totally berbeza dengan personaliti diri saya sendiri. Memang susah pada mulanya sebab saya tak ada pengalaman langsung dalam bidang lakonan tapi Sheila Rusly banyak bantu. Selain berlakon saya juga ajar pelakon dalam drama tersebut main boling supaya mereka nampak seperti pemain profesional.”
Bercerita mengenai latar belakang keluarga, Fifah merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan. “Adik-beradik saya semua ada bakat sukan. Kakak saya pemain bola jaring untuk Perak tapi dia dah berhenti sukan sebab sambung belajar dan kerja. Adik pun pemain boling juga sampai peringkat negeri Perak. Lepas kahwin dengan pemain hoki Malaysia, dia berhenti main boling.
Masa kami masih sekolah dan aktif sukan, mama ambil keputusan untuk berhenti kerja dan korbankan kerjaya demi bawa kami adik-beradik pergi training. Lagipun papa minta mama fokus jaga anak sebab dia kerja di sebuah hotel di Koh Samui waktu tu. Jadi tak ada orang yang jaga dan hantar anak-anak. Itulah, sampai sekarang saya ingat jasa mama dan pengorbanan paling besar mama buat untuk kami adik-beradik.”
Mengulas rutin kecantikan, Fifah mengakui ‘ketagih’ untuk bersenam setiap hari. “Kalau tak work out, saya jadi gelisah. Dulu buat tiap hari tapi saya perasan badan jadi lemah, kurus dan kurang daripada berat badan ideal.
Mungkin sebab badan saya akan senang turun berat kalau terlebih work out. Sebagai atlet, memang ada belajar tentang nutrition dan dengan ketinggian saya 169 cm, berat badan kena sekurang-kurangnya 55-56 kg. Pernah berat saya 53 kg je dan rasa tak selesa.
Jujurnya, saya tak pernah diet tapi amalkan makanan seimbang. Dalam seminggu mungkin sekali cheat day. Mujur saya tak suka dessert dan makanan manis-manis termasuk snek. Mungkin dah terbiasa rutin dari dulu dan terikut-ikut sampai sekarang,” ujar Fifah yang turut memasang impian mempunyai sebuah akademi boling suatu hari nanti.
Semoga Fifah terus maju dalam lapangan yang diceburi dan perkongsian bekas atlet ini dapat dijadikan suntikan semangat serta inspirasi kepada semua.
Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah