Rangkul Pingat Emas Sukan SEA, Ratu Gimnas FARAH ANN Ini Rupanya Pemalu & ‘Clumsy’!

16119
Farah Ann Abdul Hadi

Auranya cukup memukau. Setiap gerak tari Farah Ann Abdul Hadi di gelanggang gimnastik bukan hanya menggetarkan jiwa atlet yang bertanding bahkan membuatkan penonton bersorak gembira dengan aksinya yang mempesona. Semalam, selepas 10 pingat dirangkul dalam temasya Sukan SEA, Farah Ann mengulangi kejayaan sama meraih pingat emas kelimanya dalam sukan dwitahunan yang berlangsung di Filipina tersebut. Sekaligus melonjakkan kembali namanya hingga menjadi bualan dan kebanggaan negara. Kagum!

Mengumpul mata tertinggi 48.050 di Kompleks Sukan Rizal Memorial, Farah Ann berjaya memintas pesaing terdekat dari Indonesia iaitu Rifda Irfanaluthi yang mengutip 47.800 mata dalam acara individu keseluruhan. Lebih manis, selain Farah Ann… seorang lagi gimnas negara iaitu Tan Ing Yueh turut menaiki podium dan meraih gangsa dengan kutipan 46.900 mata. Difahamkan, Farah Ann sudah pun melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pernah memenangi dua emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan dan saingan senaman lantai.

IKLAN
IKLAN
Pingat Emas Farah Ann dalam Sukan SEA Filipina 2019
Kejayaan manis Farah Ann semalam

Membuka kembali lembaran temu ramah Nona bersama wanita cantik ini, Farah Ann yang berusia 25 tahun memberitahu dia dan adik-beradik sudah didedahkan dengan sukan ini sejak kecil oleh ibu bapanya, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon. Galakan berkenaan diberikan kepada mereka memandangkan kedua-dua ibu bapanya juga datang dari latar belakang yang sama dan berhasrat menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.

“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi. Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina sekarang merupakan atlet renang berirama negara.

Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Di samping keluarga tersayang

Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” ujar gadis kelahiran Subang Jaya ini.

Kenapa gimnastik… “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.”

 

Ditanya tentang kenangan pahit? “Saya pernah mengalami kecederaan di bahu dan tulang belakang sewaktu menjalani latihan. Ia memerlukan jangka masa lama untuk pulih sehingga menyebabkan saya terlantar di hospital hampir dua minggu serta terpaksa berehat di atas katil selama sebulan.”

Akui Farah Ann lagi, ada dua sisi lain tentang dirinya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya saya seorang yang pemalu dan clumsy,” katanya sambil tersenyum.

Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.

Tip Kecantikan Farah Ann

  • Minum air kosong secukupnya.
  • Amalkan diet sihat dan seimbang.
  • Jangan malas untuk bersenam untuk kekal awet muda.