Menggalas status sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 18 tahun yang lalu banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat penyampai berita ini. Orang hanya mampu melihat luaran saja tetapi kehidupan sebenar yang dilalui oleh Ras Adiba Radzi hanya tuan badan yang tahu.
Walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan kepadanya, tetapi wanita ini tetap teguh dan tidak pernah mengaku kalah. Hati siapa yang tidak terguris jika diperkatakan tanpa usul periksa namun Ras Adiba berjaya menghapuskan semuanya dan tampil memaafkan setiap bicara berkaitan dirinya. Menerusi coretannya di laman media sosialnya “Hari memaafkan”.
“Pada 2002 tika saya menjadi OKU, ramai yang mengatakan saya tidak sakit dan yang saya berpura-pura. Mereka berkata begitu kerana mungkin tidak faham keadaan saya dan apa yang sebenarnya melanda diri saya.
Saya ditohmah dan difitnah. Payah sungguh keadaan saya dan keluarga ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya hanya mendiamkan diri. Malas mahu menerangkan keadaan sebenar kerana ketika itu saya sedang sukar kerana terkejut, bergelut dengan apa yang berlaku pada badan saya. Saya menjadi tidak keruan. Justeru hari ini setelah sekian lama saya ingin memberi pencerahan mengenai keadaan fizikal saya.
Saya ingin memaafkan mereka yang berkata dan berfikiran buruk terhadap saya.
Saya seorang OKU yang lumpuh separuh badan atau seorang Paraplegic. Dengan fizioterapi, saya mampu membawa kereta dan berenang menggunakan tangan (kaki saya akan jatuh ke dalam air ketika berenang). Pergerakan saya terbatas dan saya berharap kepada kerusi roda untuk bergerak.
Jadi di saat ini, saya ingin maafkan kalian yang tidak tahu keadaan sebenar dan kalian yang berkata buruk terhadap saya dan menfitnah saya selama ini. Semoga selepas ini semua faham dan jelas. Saya maafkan dan sayang kalian semua,” coret Ras Adiba penuh ikhlas.
Dalam perkembangan lain, Ras Adiba turut bergiat aktif berbagi rezeki kepada mereka yang memerlukan di bawah persatuan Badan Bukan Kerajaan, OKU Sentral yang diasaskan olehnya. Walaupun berkerusi roda tetapi Ras Adiba tetap mahu membantu orang lain dan wajar dijadikan inspirasi. Semoga Ras Adiba terus kuat semangat dan terus berbakti kepada bangsa, agama dan negara.
This website uses cookies.