RAS ADIBA Umum Sertai Bersatu, Penampilan Anggun Berkebaya & Berselendang Curi Tumpuan!

Bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menerima watikah keahlian parti berkenaan pada Ahad.

Watikah berkenaan disampaikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di sini.

Turut menerima watikah ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dua lagi individu iaitu bekas Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang Keadilan Jelebu merangkap bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Yus Mazmi Ahmad Yusof pula menyerahkan borang keahlian Bersatu mereka.

Ras Adiba ketika ditemui berkata, beliau memilih menyertai BERSATU untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU dan percaya PN berupaya mengembalikan kecemerlangan dan kesejahteraan negara.

Ras Adiba mengakui sebelum ini beliau adalah ahli UMNO sehingga akhir tahun lalu tetapi memutuskan untuk menyertai BERSATU berikutan senario politik yang berubah.

Turut mencuti tumpuan ialah penampilan bekas wartawan penyiaran, pengacara televisyen dan pengulas sukan tersebut yang tampil anggun dan jelita menyarung kebaya berona biru dengan lilitan selendang menutupi sebahagian kepalanya.

Walaupun masih perlu bergantung pada kerusi roda elektrik untuk bergerak, namun aura dan personaliti Datuk Ras Adiba nyata cukup memukau dan masih berkarisma.

Untuk rekod, Ras Adiba pernah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 11 November 1995 di mana beliau mengalami kecederaan pada tulang belakangnya. Keadaan beliau bertambah teruk pada tahun 2001 apabila beliau diserang oleh sekumpulan lelaki di luar rumahnya. Pada tahun 2002 beliau tergelincir ketika menaiki tangga lalu tulang belakangnya cedera di tahap Thorasic 10 atau T10.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

IKLAN
Share