Rasa Nikmat Hamil Hanya 3 Bulan, DATIN AIDA YUSOF Tak Kesal Jalani IVF Berkali-Kali!

Selama ini, beliau ‘menutup’ kemas rahsia hati. Sepanjang melayari alam perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada aktor popular, Dato’ Adi Putra.

Di sebalik kegembiraan Datin Aida dan Dato’ Adi Putra melalui fasa hidup bahagia sebagai suami isteri, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang cukup mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak. Dalam temubual bersama wanita berjiwa
kental ini ketika sesi fotografi bersama Nona Mei 2018 iaitu kira-kira dua tahun lalu, Datin Aida terbuka berkongsi sisi peribadi.

“Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet.

Insha Allah, akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan baru selesai buat pembedahan dua tahun lepas. Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedahnya yang mengaku hanya sempat merasai nikmat hamil kira-kira tiga bulan.

Mengulas perjalanan Datin Aida untuk hamil menerusi kaedah in-vitro fertilization atau IVF, sambil tersenyum beliau menyusun bicara. “Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak.

Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”

Mengambil semangat dan kekuatan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata selepas 11 tahun berkahwin, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah penyanyi tersohor negara tersebut menjalani rawatan IVF demi menimang zuriat sendiri.

“Datuk Seri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi.

Saya percaya kalau ditakdirkan tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.

Alhamdulillah, saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.

Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, tak boleh bercakap dan dengar. Kami dapat tahu keistimewaan Adelia masa masih bayi apabila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” luah Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.

Yang pasti, pendedahan eksklusif ini dibuat untuk dijadikan inspirasi kepada ramai lagi wanita bergelar isteri di luar sana yang masih menanti rezeki anak. Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Aida berharap agar pengakuan ini tidak disalah erti dan sempat menitipkan pesanan ini.

“Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”

 

Kredit foto: Instagram Datin Aida Yusof

Share
Published by
Suzi