Rasa Tenang, Hilang Penat, Datuk Azizulhasni Khatam Al-Quran Sehari Sebelum Beraksi Di Olimpik!

Bertanding dalam sebuah kejohanan dunia cabaran besar buat atlet negara. Lagi-lagi kalau menggalas harapan 32 juta rakyat Malaysia, seperti yang dikongsi jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang turut digelar ‘The Pocket Rocketman’.

Kejayaan meraih pingat perak Olimpik dalam acara Keirin pada Tokyo 2020 itu disifatkan sebagai bukan sesuatu yang mudah. Namun menariknya, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini berpegang kepada mukjizat Al-Quran untuk mendapat ketenangan.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang ekstrem ini? Jawapan saya adalah Al-Quran.” Datuk Azizulhasni

The Living Legend, Datuk Azizulhasni Awang

 

Dalam sebuah kajian saintifik yang dijalankan oleh Dr Ahmed Al-Qadhi dari Florida, Amerika Syarikat, bacaan Al-Quran sangat berpengaruh pada saraf, otak dan organ tubuh badan.

Tidak ada bacaan yang dapat menguatkan daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca Al-Quran.

Rahsia inilah yang membantu Datuk Azizulhasni menunjukkan prestasi terbaik, fokus dan tenang sepanjang perlumbaan yang disertainya.

Bercerita lebih lanjut tentang rahsia ini, wira Malaysia berusia 33 tahun itu turut mendedahkan ‘amalan’ membaca Al-Quran yang memberi kemenangan besar buatnya.

Panggilan video istimewa buat isteri tercinta, Athiah Ilyana

 

Perjuangan dalam sukan adalah amanah bangsa di atas bahu

 

“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan membaca Al-Quran.

Menteri Belia & Sukan yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian.

Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan dan apabila kita baca Al-Quran ini tidak mudah, banyak dugaan-dugaan serta bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita.

Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.

Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya, saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza dan dapat lupakan seketika kepenatan daripada latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah duniawi yang tersumbat di kepala.

Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila berdepan kejohanan terbesar dalam karier kita. Tetapi saya tidak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ini membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.” Datuk Azizulhasni

Jurulatih dan atlet-atlet berbasikal trek Malaysia sebelum bertolak ke Tokyo 2020

 

Pasukan Lumba Basikal Trek Malaysia ini adalah tulang belakang kejayaannya

 

Bapa kepada dua orang puteri, Amna Maryam dan Amna Khadeeja itu turut menyatakan beliau berjaya khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum memulakan perlumbaan dalam acara Keirin.

“Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepada-Nya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha Mengetahui segalanya.”

MasyaAllah inilah perkongsian Jumaat terbaik dari seseorang yang cukup kita kagumi dan sanjung sebagai idola. Sebagai seorang atlet, pastinya pasukan Datuk Azizulhasni sudah membuat sebaik-baik persiapan fizikal, mental dan ‘jentera’ lawan.

Namun pada akhirnya sebagai seorang Muslim, kita juga perlu berserah dan tawakal kepada Tuhan sebagai usaha terakhir.

 

Sumber: Facebook Azizulhasni Awang

Share
Published by
Norzalina