Akhirnya Pertubuhan Kesihatan Dunia atau WHO mengisytiharkan pandemik COVID-19 sudah berakhir.
Tiga tahun yang panjang, akhirnya pandemik COVID-19 diisytiharkan telah berakhir dan tidak menjadi kondisi darurat kesihatan global.
Memetik Reuters, penyakit akut pernafasan yang membawa maut di seluruh dunia itu selesai hari ini, setelah pertemuan jawatankuasa darurat WHO pada Khamis, 4 Mei 2023.
“Dengan harapan yang sangat besar, saya dengan ini mengisytiharkan bahawa COVID-19 berakhir sebagai darurat kesihatan global.” Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus
Beliau juga menegaskan meskipun pandemik berakhir tidak bererti COVID-19 tidak lagi mengancam kesihatan sebaliknya bertujuan agar pemimpin di seluruh dunia fokus terhadap usaha pemulihan, pengembangan vaksin dan rawatan.
Maksudnya COVID-19 akan terus ada hanya kita yang harus berjaga-jaga melindungi diri sendiri. Praktis gaya hidup normal baharu, pakai pelitup muka dan selalu membersihkan tangan.
“COVID-19 telah mengubah dunia, mengubah kita. Seperti apa yang seharusnya terjadi. Jika kita kembali seperti dulu sebelum COVID-19, kita gagal untuk belajar dan bersalah pada generasi masa depan.”
“Ibu Lebiuu..’ WANY HASRITA Selamat Melahirkan Anak Perempuan
Penyanyi Wany Hasrita yang cukup dikenali menerusi lagu Menahan Rindu dan Canggung selamat melahirkan bayi perempuan secara normal di sebuah pusat perubatan pada petang Sabtu.
Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, berkongsi khabar gembira itu menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad dengan sebuah foto menyaksikan gambar anak perempuannya yang sedang mengenggam tangan Wany.
Walau bagaimanapun wajah dan nama anak masih belum ditunjuk dan dimaklumkan kepada umum.
Menerusi kepsyen berkenaan, Wany berharap agar anak sulungnya menjadi pengikat kasih sayang antara dia dan suami iaitu Muhd Al-Adib Fahmi Harun, 31.
Anak ibu semoga jadi anak solehah penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapa.
“Membesar dgn sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat pada yang lain kelak. Ibu lebiu,” tulisnya. Untuk rekod, Wany dan suami mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022.
Di ruangan komen pula gambar berkenaan sudah mula dibanjiri dengan ucapan-ucapan dari rakan-rakan artis dan peminat Wany.
Tahniah NONA ucapkan kepada Wany dan suami. Semoga anak membesar sihat dan menjadi insan yang boleh dibanggakan.
Berjiwa Ikhlas & Penuh Kelembutan, Patutlah DAYANG NURFAIZAH Jadi Kawan Baik DATUK RIZALMAN Berpuluh Tahun!
Sebut sahaja Dayang Nurfaizah pasti ramai yang mengenali pesona penyanyi bersuara lunak ini. Berada dalam kelas tersendiri dan eksklusif, Dayang antara selebriti tanah air berbakat besar namun bebas daripada sebarang kontroversi. Berpeluang mendekati anak seni kelahiran Sarawak ini, baru penulis faham mengapa Dayang mampu bertapak kukuh dalam industri muzik negara dan diminati ramai hingga sekarang. Malah, persahabatan yang terjalin di antara Dayang dan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim sejak bertahun-tahun lamanya tersimpul erat sampai hari ini.
Berjaya menggegarkan pentas Istana Budaya menerusi Kesuma Jiwa malam tadi, Datuk Rizalman secara terbuka mendedahkan sisi sebenar pelantun lagu Dayang Sayang Kamu ini kepada peminat. Tak sangka, dengan kejayaan dan vokal mantap yang dimiliki… Dayang masih berpegang kepada resam padi, ‘Makin berisi makin tunduk’.
Kongsi Datuk Rizalman di Instagram miliknya, “Saya nak pecahkan satu rahsia kat sini. Walaupun kos produksi Kesuma Jiwa sudah mencecah jutaan ringgit untuk hanya persembahan satu malam sahaja namun, ianya tidak termasuk bayaran nyanyian kepada artis utama kita pada malam itu Dayang yang tidak mengenakan bayaran satu sen pun tidak berkira untuk sama-sama berhempas pulas tanpa rasa mengeluh dan menyesal untuk menyumbangkan suara beliau demi sebuah silaturrahim.
Beliau berkata, tiada nilai wang ringgit yang dapat menggantikan persahabatan kami berdua. Kerana beliau tidak mahu memperdagangkan anugerah Allah itu atas sesuatu yang tidak terungkap keagungan manfaatnya ke atas orang lain.
Bagi membalas budi beliau dek kerana cabaran yang saya berikan untuk beliau menyampaikan lagu-lagu dalam bentuk irama asli yg bukannya sesuatu di dalam zon selesanya. Saya hadiahkan sebuah pentas untuk sekalian jiwa melihat bakat dan keupayaan beliau di dalam bidang nyanyian supaya insyaAllah dunia akan menjadi saksi dan senantiasa Dayang menjadi KESUMA kita semua.”
Ketika diminta mengulas tentang penganjuran Kesuma Jiwa, ini reaksi jujur Dayang. “Saya rasa bertanggungjawab untuk buat yang terbaik. Lagu-lagu yang saya nyanyi pun lain daripada lagu yang saya biasa nyanyi. Memang sebelum ini saya pernah simpan niat yang one day saya nak nyanyi lagu macam ni… selalu imagine dan teringin sangat.
Alhamdulillah diberi peluang ini dan saya nak make sure beri the best untuk hari tu. Dayang taknaklah hampakan team. Tipulah tak nervous tambahan pula lagu klasik ini dibuat dengan arrangement baru. Selain teringin nak nyanyi lagu-lagu klasik ini, sebab utama saya terima pelawaan ini kerana saya nak ambil peluang terlibat dalam ‘konsert’ yang menggabungkan fesyen dan muzik.
Saya rasa rugi kalau tak terlibat sebab bukan senang dapat. Rasa nervous dan teruja tu memang lain macam. Lagi-lagi Datuk sendiri yang ajak untuk celebrate penglibatannya
selama 20 tahun dalam bidang fesyen. Saya sifatkan ia satu penghargaan bukan saja buat Datuk tetapi bagi saya juga,” ujar Dayang yang mengakui agak mencabar membawakan
lenggok lagu-lagu klasik.
Buat Tuntutan Hadhanah Terhadap Adik Bongsu, IRDIENA HAKIM Setahun Tidak Berjumpa Adik
‘Kehilangan’ adik tersayang sejak kehilangan ibu tersayang dalam kemalangan jalan raya sememangnya sesuatu yang pahit untuk ditelan. Namun itulah yang dilalui oleh anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare, Irdiena Hakim Jasman dan keluarganya sejak pemergian ibu tersayang, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad tiga tahun yang lalu.
Anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ini telah memfailkan tuntutan hadhanah ke atas adik bongsunya di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.
Tuntutan tersebut dibuat oleh, Irdiena Hakim Jasman, 20, neneknya, Khatijah Mirdin, 71, dan ibu saudaranya, Faradilla Rohban Ahmad, 36, sebagai plaintif yang diwakili peguam, Naimah Saupi dan Shaharuddin Mohamed, manakala Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, sebagai defendan.
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk
menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh
perkahwinan atau selepas perceraian.
Mereka memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) terhadap Qaseh Khadija Ahmad Shah Rizal, 10, yang juga adik bongsu kepada Irdiena Hakim.
Memetik Sinar Harian, Irdiena Hakim mendakwa kali terakhir berjumpa adik bongsu daripada empat beradik itu adalah pada Aidilfitri yang lalu iaitu di kubur Allahyarhamah ibunya, Faziani Rohban Ahmad, 43.
Katanya, perjumpaan itu hanya beberapa jam sahaja dan selepas ibunya meninggal dunia, adiknya itu terus tinggal dengan bapa tirinya, Ahmad Shah Rizal.
“Sejak ibu tiada, adik tidak dapat bermalam dengan kami. Begitu juga ketika abang sulung, Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 23, berkahwin tahun lalu tetapi adik tidak dapat datang.
“Saya tahu adik rindukan kami, namun dia tidak dapat datang kerana disyaki dihalang daripada berjumpa. Saya membuat tuntutan ini (hadhanah) kerana mahu berjumpa dengan adik, di samping nenek juga selalu sakit dan teringin berjumpa dengan cucunya.
“Dengan permohonan ini, saya berharap keputusan dapat dibuat oleh adik melalui mahkamah sama ada mahu tinggal bersama saya dan adik beradik yang lain atau bapa tiri,” katanya.
Irdiena Hakim berkata, dia amat terkesan apabila tidak dibenarkan berjumpa dengan adik bongsunya itu, sedangkan ketika ibunya masih hidup mereka tinggal bersama dan amat rapat.
Beliau berkata, akibat perkara itu dia juga perlu berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Naimah berkata, pihaknya memfailkan permohonan mengikut Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002 iaitu anak itu diberikan peluang untuk memilih sama ada tinggal bersama plaintif atau defendan berdasarkan hukum syarak dan Seksyen 85(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002.
Katanya, prosiding ‘sulh‘ pada hari ini yang membabitkan kedua-dua pihak yang terbabit dalam pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan gagal dicapai ekoran defendan tidak hadir.
Al-Sulh di dalam bahasa Arab bererti `putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi manakala pengertian syarak membawa maksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan / pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam. Di dalam amalan perundangan sivil ianya disebut mediation.
Dengan kata lain, para ulama fiqh mentakrifkan al-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham / bertikai.
Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Thailand pada Mei 2019. Ahli keluarga terdekat pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada Mei 2019 lalu, mengesyaki terdapat terdapat unsur meragukan berhubung kematian usahawan produk kecantikan itu.
SUMBER: SINAR HARIAN.