Siapa yang tidak kenal dengan ikon hebat negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004.
Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
Hampir 20 tahun berlalu, kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar.
Kejayaan juga tidak datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.
Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibu adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya. Paling menyentuh hati, arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’ deritanya depan anak-anak.
“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.
“Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.
“Katanya, Ummi bersama saya. Buatlah yang terbaik sampai berjaya. Arwah banyak memberi semangat dan kekuatan kepada saya.
“Sejujurnya, saya tak pernah melihat arwah ibu menangis dek kerana sikapnya yang sangat positif, saya kagum! Arwah melihat kanser sebagai satu rezeki dan menganggap dirinya sangat beruntung kerana diuji.
“Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak,” ujar Dr Sharifah Mazlina.
Kongsi Dr Sharifah Mazlina lagi, arwah ibunya turut menyiapkan kain kapan sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memaklumkan kepadanya tentang beg tersebut.
“Katanya, kapankan Ummi dengan kain itu. Beg yang berisi 36 helai kain batik itu pula khas untuk orang yang menolong mengendalikan jenazahnya.
“Cukup sempurna persiapannya itu. Semua wang yang ditinggalkan pula, arwah minta digunakan untuk membina masjid,” kongsi Dr SHARIFAH Mazlina.
GELARAN IKON NEGARA
Bagi Dr Mazlina, gelaran ikon negara adalah satu rezeki dan penghargaan besar.
“Saya tak kejar gelaran kerana saya percaya jika kita buat sesuatu dengan ikhlas, gelaran itu menjadi satu bonus.
“Tahun 2004 saya menjejaki Antartika hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya.
“Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara,” jelas Dr Mazlina.
“Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain,” ungkapnya.
Kini, tiba masanya untuk beliau mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero.
“Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi dan pada masa sama mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini. Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”
Kredit Foto: Instagram Dr Sharifah Mazlina
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.