Gelaran wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004 telah membuka mata masyarakat tentang kemampuan Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai seorang wanita.
Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
16 tahun telah berlalu kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.
Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibunya adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya selama ini. Namun apa yang paling menyentuh hati ialah arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’deritanya depan anak-anak.
“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.
Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.
Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak.
Arwah menyiapkan kain kapannya sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memberitahu saya tentang beg itu.
GELARAN
“Pengalaman pertama kali ke Antartika, balik dari sana tulang pinggang saya cedera teruk sampai terpaksa masuk MRI. Buku lali juga cedera teruk tapi saya langsung tak berputus asa kerana i’m a fighter. Enam bulan selepas itu saya umumkan mahu ke kutub utara pula.
Hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya. Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara.
Selain ditaja badan-badan korporat saya juga banyak melakukan tugas atas inisiatif sendiri. Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain.
IMPIAN
Tiba masanya untuk saya mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero. Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi tetapi dalam masa sama saya mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini.
Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Walaupun keadaan ekomoni sekarang kurang baik namun tak semestinya modal insan pun terhapus. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”
Kredit Foto: Instagram Sharifah Mazlina
This website uses cookies.