Kehidupan sebagai anggota kerabat diraja sering kali digambarkan sebagai kehidupan yang indah dan sering mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia. Baik dari segi protokol gaya hidup sehinggakan kisah-kisah peribadi menjadi sajian di media massa.
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan keputusan yang dibuat oleh Ratu Margrethe II yang melucutkan gelaran monarki terhadap empat orang cucunya iaitu Nikolai, Felix, Henrik dan Athena. Mulai 1 Januari 2023, empat anakanda Putera Joachim. dan Countess Alexandra tidak lagi akan dirujuk sebagai Yang Teramat Mulia.
Baginda membuat keputusan itu dengan harapan empat beradik itu dapat membentuk kehidupan mereka tanpa rasa tertekan oleh tugas atau peraturan rasmi diraja.
Malah, keputusan yang diambil oleh Ratu Margrethe itu dilihat mengejutkan tetapi menurut sumber ia dibuat untuk membebaskan keturunannya daripada pemerintahan atau tugas diraja.
Putera Joachim dan isteri pertamanya iaitu Alexandra, Countess of Frederiksborg mempunyai dua orang putera, Nikolai dan Felix yang merupakan pewaris ketujuh serta kelapan dalam barisan perwarisan takhta Denmark.
Pasangan Diraja tersebut bercerai pada 2005 dan berkongsi hak penjagaan kedua-dua putera itu. Nikolai dan Felix mempunyai dua lagi adik – Putera Henrik, 12 dan Puteri Athena, 10 hasil perkahwinan kedua bapanya.
Putera Nikolai dari Denmark yang dilucutkan semua gelaran monarkinya menyuarakan rasa terkejut, sedih dan keliru berhubung keputusan tersebut yang dibuat oleh nendanya, Putera yang turut dikenali sebagai seorang model ini melahirkan rasa terkejut dan keliru walaupun mereka masih akan menerima gelaran Tuan Yang Terutama Count daripada Monpexat dan memasuki takhta monarki Denmark.
Nikolai, 23, tidak lagi boleh menggunakan semua gelaran monarki selepas beliau dan tiga adik-beradiknya diberitahu oleh Ratu Margrethe bahawa pelucutan gelaran itu adalah untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.
“Seluruh keluarga saya dan saya sendiri berasa sangat sedih. Kami, seperti yang dinyatakan oleh ibu bapa saya, terkejut dengan keputusan ini dan betapa cepatnya keputusan ini dibuat,” katanya yang merupakan anak sulung Putera Joachim.
Sementara itu, Countess Alexandra iaitu ibu kepada Putera Nikolai dan Putera Felix, 20, juga mempersoalkan keputusan Ratu Margrethe yang didakwa dibuat dalam tempoh singkat.
“Mereka tentunya akan kehilangan gelaran diraja apabila mereka berkahwin suatu hari nanti.
“Countess Alexandra tidak memahami mengapa pihak Istana enggan menunggu sehingga hari tersebut di mana gelaran monarki mereka akan hilang secara automatik”, kata setiausaha akhbar Alexandra, Helle von Wildenrath Løvgreen.
Malah, Putera Joachim hanya dimaklumkan mengenai keputusan itu lima hari lalu dan merasakan bahawa ini telah menyakiti anak-anaknya walaupun Ratu menyatakan keputusan itu untuk kebaikan cucu-cucunya.
Istana Denmark berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa terdapat banyak emosi susulan pengumuman itu tetapi keputusan mengenainya sudah lama dibincangkan dan diputuskan bagi menjamin masa depan monarki.
Empat cucu Ratu Margrethe yang lain iaitu Putera Christian, 16, Puteri Isabella, 15, dan kembar Putera Vincent dan Puteri Josephine yang berusia 11 tahun dan merupakan anak kepada putera sulung dan pewaris takhta, Putera Mahkota Frederik akan mengekalkan gelaran mereka.
Untuk info, selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II baru-baru ini, Ratu Margrethe II memegang gelaran monarki paling lama bertakhta di Eropah. Margrethe, 82 menaiki takhta pada tahun 1972 dan telah menerajui Denmark sebagai Ratu selama 50 tahun.– Agensi
This website uses cookies.