Penampilan gadis berhijab, Azreen Nabila Alias di atas trek balapan sekali lagi menambat perhatian dunia. Wajahnya fokus dan tenang, sekali imbas bagai tak percaya atlet olahraga Muslimah berusia 22 tahun ini mampu menandingi pesaing bertubuh lebih besar di sebelahnya.
Namun sangkaan tersebut jelas meleset. Sesaat tembakan dilepaskan, pecutan anak Terengganu ini bagai peluru membelah angin. Laju langkahnya meninggalkan atlet lain, mencipta rekod baru dan meraih emas sekaligus membuktikan kepada dunia agar tidak memandang rendah pada wanita berhijab.
Kehebatan Azreen Nabila Alias bukan calang-calang. Biarpun pernah terkandas sekadar di pusingan pertama 100m wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini beliau bangkit semula dengan semangat luar biasa.
EMAS UNTUK AZREEN
Gelaran ratu pecut temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 menjadi milik pelari pecut negara, Azreen Nabila Alias selepas beliau memenangi acara 100m wanita yang berlangsung di Stadium Sisaket City, Thailand.
Azreen pada acara itu merekodkan catatan masa 11:88s menewaskan seorang lagi wakil negara, Nor Sarah Adi yang menamatkan saingan dengan meraih perak dengan catatan 11:97s.
Manakala gangsa diraih atlet tuan rumah Thailand, On-Uma Chattha yang menamatkan saingan dengan catatan masa 12:41s.
Azreen Nabila raih EMAS 100 meter Sukan Universiti ASEAN! Tahniah! pic.twitter.com/j7iEx8M72r
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) July 27, 2022
Azreen berkata kemenangan ini dalam masa sama menebus kekalahannya pada atlet Thailand berkenaan pada Sukan SEA Vietnam 2021.
“Saya tak jangka saya dapat menang hari ini kerana saya tak berapa sihat dari semalam. Saya cuma nak lakukan yang terbaik dan pegang kata-kata jurulatih.” Azreen Nabila
Dengan ketinggian sekitar 152cm, bekas juara MSSM empat kali berturut-turut itu mula mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sukan olahraga sejak remaja. Beliau sebelum itu pernah diketepikan dalam skuad olahraga Terengganu pada usia 14 tahun kerana bertubuh kecil.
Siapa sangka, berkat keazaman dan usaha berterusan bekas pelajar Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN) itu kini membuahkan hasil. Dikenali sebagai pelajar pintar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Azreen merupakan seorang atlet yang bersemangat tinggi serta tidak banyak karenah.
Syabas Azreen Nabila!
******************************
Kita yang bukan atlet negara ni entah masa bila la dapat pakai medal emas macam Azreen Nabila. Tapi yang kemaruk nak rantai emas mungkin sesuai pakai macam rantai Nona suka ni. Loket emas punya cantik, paling best dapat beli harga diskaun dengan kod promo NONGSP5. Dapat buat reward diri sendiri, jadilah! Tekan je sini (klik).
******************************