Ratu Pop Latin, SHAKIRA Cekal Jalani Hidup Sebagai Ibu Tunggal & Aktivis Kemanusiaan

Suaranya bertenaga, padu dan mengalirkan energi luar biasa. Apatah lagi saat melantunkan lagu Waka Waka (This Time for Africa) yang pernah bergema ketika Piala Dunia 2010. Shakira, wanita Colombia yang mesra dengan gelaran Ratu Pop Latin kini berusia 45 tahun.

Memulakan kerjaya nyanyiannya sejak remaja, debut pertama Shakira Isabel Mebarak Ripoll bersama Sony Music Colombia bermula seawal usia 13 tahun. Album pertamanya berjudul Magia (1991), namun album yang benar-benar berjaya menjulang namanya adalah Pies Descalzos (1995).

Nama Shakira mula menembusi pasaran lagu-lagu Inggeris pada tahun 2001 melalui albumnya, Laundry Service. Siapa sangka, sejak itu suara gemersik Shakira mula mendunia dan terjual lebih 13 juta salinan di seluruh dunia.

Wanita kelahiran Barranquilla, Colombia dan mempunyai warisan darah Lebanon itu juga kerap menerima pelbagai anugerah penghargaan menerusi Grammy dan Billboard.

 

 

Bermula daripada kejayaan itu, kerjaya Shakira terus melonjak melalui album-album terkenal seperti La Tortura (2005), Hips Don’t Lie (2006), Beautiful Liar (2007), Waka Waka (This Time for Africa) (2010), Loca (2010), dan Chantaje (2016). Beliau juga sering menduduki carta tertinggi dalam barisan lagu-lagu hit global.

Pun begitu, kemasyhuran dan populariti yang meniti hidup Shakira sama sekali tidak menjadikan ibu anak dua itu alpa. Sebagai ibu tunggal, kehidupan Shakira sering berputar di sekeliling anak-anaknya, Sasha dan Milan yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan pemain bola sepak, Gerard Pique.

Shakira dan anak-anak

Pasangan tersebut dikatakan berpisah selepas Pique menjalin hubungan sulit dengan wanita lain. Walau bagaimanapun, kini Shakira terus cekal menjalani kehidupan bersama anak-anak sambil menjaga bapanya yang sakit.

Malahan, Shakira tekad bergelar aktivis kemanusiaan melalui yayasan miliknya, Pies Descalzos Foundation atau Barefoot Foundation yang didirikan pada tahun 1997.

 

AKTIVIS

Yayasan ini merupakan sebuah badan amal yang bertujuan menyalurkan bantuan pendidikan bagi kanak-kanak kurang kemampuan di Colombia dan Amerika Latin. Barefoot Foundation memiliki lima buah sekolah yang menyediakan pendidikan dan makanan untuk lebih 4,000 kanak-kanak.

IShakira merupakan seorang individu yang sangat mementingkan pendidikan. Lebih-lebih lagi melihatkan situasi negara Colombia yang mencatatkan kadar kemiskinan tegar yang tinggi. Keadaan hidup yang sukar turut mendesak banyak kanak-kanak ketinggalan dalam pelajaran.

 

“Percayalah, dapat melihat seorang anak diberi peluang untuk terus belajar dan melanjutkan pendidikannya adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Lebih hebat dari mendapatkan anugerah Grammy.” Shakira

Shakira juga sering melakukan advokasi pendidikan kerana baginya, ia merupakan kekuatan transformasi yang dapat mengubah bukan hanya pada orang yang belajar, tetapi juga orang di sekelilingnya.

“Dengan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak, banyak kesan positif yang akan dilahirkan. Antaranya pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kestabilan hidup.

Jika kita mahukan sebuah dunia yang damai, kita harus meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan.” Shakira

 

Selain itu, Shakira juga merupakan seorang Goodwill Ambassador dari UNICEF sejak tahun 2003. Beliau membantu meningkatkan kesedaran dunia terhadap kanak-kanak yang rentan.

Pada tahun 2017, Shakira mendapat penghargaan kehormat dari World Economic Forum, yakni Crystal Award atas kerja-kerja kemanusiaannya.

Penghargaan tersebut lazimnya diberikan kepada tokoh-tokoh terkemuka yang memberi inspirasi dalam bidang kepimpinan atau membawa perubahan yang inklusif dan berkelanjutan.

Share
Published by
Norzalina