Pemergian yang dicemburui, kebaikannya disebut-sebut dan urusan wafatnya dipermudahkan. Mungkin itulah bahagian Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari ditidurkan akibat komplikasi jangkitan COVID-19.
Wafat dalam keadaan yang baik (husnul khatimah) menjadi impian setiap mukmin. Nona tertarik berkongsi pengalaman seorang pegawai perubatan kerajaan, Dr Mohammad Aiman Hazim yang terlibat secara langsung di unit COVID.
Pengalaman beliau yang berdepan pelbagai situasi melibatkan pesakit COVID-19 termasuk ramai ibu hamil benar-benar menyedarkan betapa kematian itu sangat pasti dan dekat dengan kita.
“Kisah Allahyarhamah Siti Sarah bukanlah yang pertama dan bukanlah yang terakhir. Kami yang bekerja di hospital terutama yang merawat secara terus pesakit COVID-19 telah melihat ratusan ibu mengandung yang dimasukkan ke hospital kerana wabak pandemik ini malah puluhan yang terpaksa dikejarkan ke ICU.
Cuma mungkin Allah ingin memuliakan beliau dengan mengangkat kisah ini tular sebagai satu peringatan kepada kita bahawa komplikasi COVID-19 itu benar.
COVID-19 di sebalik kehamilan ini sangat sukar. Sukar untuk diceritakan. Keluarga tidak boleh berjumpa. Komplikasi bayi pramatang sudah pasti akan berlaku apabila ibu hamil positif COVID-19 terpaksa menjalani pembedahan semasa proses melahirkan bagi mengelakkan risiko yang lebih serius.
Anak dan ibu diasingkan. Suami dipisahkan. Hanya dapat menelefon dari kejauhan bertanya… ‘Doktor, isteri saya bagaimana?’ Hanya suara anak-anak kecil kedengaran di corong telefon menangis bila boleh berjumpa dengan ibu?
Sukar, sangat sukar.
Banyak kisah yang tidak ditularkan tetapi kita di hospital tahu kisah ini bukan pertama. Ada yang kematian ibu dan ayah tercinta. Ada adik-beradik yang meninggal walaupun usia muda dan tiada penyakit.
Trend terkini ramai pesakit yang muda-muda bawah 40-an mula menempah masuk ke wad-wad memerlukan bantuan oksigen.
Berada di sebalik wad COVID-19 mengajar kepada diri ini, bahawa Allah adalah tempat kita berserah. Selain berusaha dengan beriktiar dengan cara yang ada.
Persiapan terhadap segala kemungkinan sangat perlu terutama yang mengejut sewaktu pandemik.
Beramal dan bertaqwalah. Cukuplah kematian itu sebagai peringatan buat kita bersama.
Kita pasti akan menyusul.
Alfatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita.
Semoga perkongsian Dr Aiman Hazim ini meningkatkan kewaspadaan kita terhadap betapa berisikonya penyakit COVID-19, sekaligus melindungi diri serta ahli keluarga daripada jangkitan.
This website uses cookies.