Gaya Hidup

Raut Wajah Lembut & Cantik, CHE PUAN SOFIE Pamer Bakat Memasak & Menjahit!

19 April 2019 menjadi detik bersejarah bagi Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson apabila sah bergelar isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Kini selepas hampir empat bulan… Che Puan Sofie dilihat semakin selesa berdampingan dengan rakyat. Bahkan sejak awal perkahwinan bersama Tengku Mahkota Kelantan ini lagi, beliau sekalipun tidak kelihatan kekok bertemu khalayak dan sudah didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan.

Masih terbayang kelibat wanita kelahiran Sweden ini yang muncul di depan khalayak buat pertama kalinya ketika mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik. Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri namun beliau bijak menyesuaikan diri dan tampil menawan.

Lebih manis, penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos warna senada berjaya mencuri perhatian ramai.

Baru-baru ini bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, kelibat Che Puan Sofie kembali menjadi tumpuan masyarakat.

Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning. Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green yang digandingkan dengan selendang rona senada.

Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang ligat di dapur, aktif berbasikal dan pandai menjahit. Wah, beruntung Tengku Mahkota Kelantan!

Pada bulan Ramadan lalu, Che Puan Sofie menyantuni orang ramai semasa jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu. Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan selain tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta.

Tidak sekadar pandai memasak… Che Puan Sofie juga mempamer bakat menjahit sambil berkongsi melakukan aktiviti tersebut di media sosial. Menariknya, mesin jahit yang digunakan beliau adalah pemberian Raja Perempuan Kelantan, YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Che Puan Sofie juga rupa-rupanya seorang yang aktif bersukan. Selain hiking, beliau turut menyertai acara larian White Sand Color Run sejauh 6 kilometer dan terbaru… turut-serta dalam sukan berbasikal di Kota Bharu.

Tanggal 6 Jun lepas, Che Puan Sofie menyambut ulang tahun kelahirannya yang diraikan bersama keluarga diraja di Istana Mahkota Kelantan.

 

Sumber: Instagram Che Puan Sofie Louise Johansson

 

 

 

Share
Published by
Suzi