Arab Saudi pada Ahad mengumumkan penghantaran angkasawan wanita pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada suku kedua tahun ini, lapor Agensi Anadolu. Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Angkasa Saudi memaklumkan, Rayyanah Barnawi dan Ali AlQarni akan menyertai kru misi angkasa lepas AX-2 yang bertujuan untuk memperkasa keupayaan negara dalam penerbangan angkasa manusia dan memperoleh manfaat daripada peluang yang ditawarkan oleh industri angkasa lepas.
“Penerbangan ke angkasa lepas itu dijadual dilancarkan dari Amerika Syarikat ke Stesen Angkasa Antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Program Penerbangan Angkasa Manusia Arab Saudi turut melatih dua lagi angkasawan iaitu Mariam Fardous dan Ali AlGamdi -mengenai semua keperluan misi. Negara-negara Teluk baru-baru ini menunjukkan minat yang mendalam terhadap penerokaan angkasa lepas.
Pada Disember 2022, penjelajah angkasa, Emirati Rashid Rover berlepas ke bulan dengan kapal angkasa Jepun untuk perjalanan selama lima bulan.
Pada September tahun lepas, Suruhanjaya Angkasa Arab Saudi melancarkan program angkasawannya bagi melayakkan kader negara itu terbang ke angkasa dalam jangka pendek dan jangka panjang dan mengambil bahagian dalam eksperimen saintifik, penyelidikan antarabangsa dan misi berkaitan angkasa lepas. – Bernama
Berkat Kerja Keras & Dahulukan Orang Tua, HAFIZ MAHAMAD Hantar Ibu Bapa Tunai Haji Cetus Inspirasi
Siapa yang tidak kenal dengan usahawan dan pempengaruh popular Hafiz Mahamad bukan? Setiap kali hantaran dan perkongsian di media sosialnya, pastinya menjadi perhatian.
Dan baru-baru ini, Hafiz Mahamad berkongsikan detik-detik manis menghadiahkan pakej menunaikan haji buat ibu bapa tercinta, selepas kedua-dua ibu bapanya bersara.
Suami kepada Syafiqah Aina itu turut menulis kesyen yang menyentuh perasaan. “Mama Abah, jangan anggap ini “hadiah” dari Hafiz. Ini semua hasil dari kebaikan Mama & Abah buat selamani. Tak ada apa yg Hafiz boleh balas,” tulisnya.
Dalam pada itu, Hafiz juga berazam untuk menebus kesilapan lampau selagi nyawanya masih ada. Hafiz turut berazam untuk terus membahagiakan kedua ibu bapanya. Hafiz juga mengakui setiap kali saya ke Umrah, pasti dirinya tidak terlepas berdoa agar dirinya diizinkan kemampuan untuk menghantar ibu dan bapanya ke haji.
“Selepas mama dan abah pencen tahun lepas, saya selalu cakap dengan mereka. Tahun depan, haji tau. Doa banyak banyak,” tulis Hafiz lagi.
Di ruangan komen, ramai warga maya mengagumi dan memuji bagaimana Hafiz sentiasa mendahulukan kegembiraan ibu dan ayahnya, sekaligus mencetuskan inspirasi di kalangan pengikutnya.
Ada juga yang mengatakan padanlah rezeki Hafiz tak pernah surut berkat sentiasa mengembirakan kedua-dua syurganya itu.
Marilah sama-sama kita ambil iktibar dari kisah inspirasi Hafiz Mahamad ini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Ikhlas & ‘Humble’ Walau Bergelar Bos, Peribadi Baik & Kejayaan Pak Cik Shell Cetus Inspirasi!
Orangnya cukup merendah diri dan selalu mengukir senyuman. Selesa dikenali sebagai ‘Pak Cik Shell’, Shairan Huzani Husain nyata bukan calang-calang individu. Pernah viral di media sosial kerana kemuliaan hati dan mesra melayan pelanggan serta pekerjanya, anak kelahiran Kelantan ini merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd sejak September 2016.
Meniti usia 55 tahun, Shairan dilahirkan di Pasir Puteh dan anak kepada pasangan pendidik. Difahamkan dia pernah dibesarkan bersama datuk yang juga seorang nelayan di sebuah perkampungan nelayan di Sungai Kelantan.
‘Bos besar’ Shell ini kemudian tinggal bersama ibu bapanya dan memulakan persekolahan sehingga diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa. Berbekalkan keputusan akademik cemerlang yang diraih, dia berjaya melanjutkan pengajian di Grantham College di United Kingdom.
Seterusnya menyambung pengajian di Leeds University dalam jurusan Ekonomi. Memetik kenyataan Pak Cik Shell kepada Careta, ketika berada di sana dia sanggup kerja sambilan demi mencari duit poket dengan mencuci pinggan di sebuah restoran.
Shairan juga mendapat biasiswa daripada Shell. Pada tahun 1990, dia berjaya tamat pengajian di Leeds. Namun tidak terus pulang ke Malaysia sebaliknya bekerja dahulu di sebuah firma antarabangsa di KPMG di Leeds.
“Sebenarnya saya bekerja siang hari dan sebelah malam, saya belajar untuk mengambil peperiksaan profesional dari Institute of Chartered of Accountant of England and Wales.”
Setelah lulus peperiksaan dan bekerja di sana sehinggalah pada tahun 1993, dia terdetik kembali ke tanah air.
Di Malaysia, dia memohon pelbagai jawatan di Shell Malaysia dan diterima masuk di Shell Chemical yang menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox. Sepanjang bekerja di Shell, Shairan akui memperoleh pelbagai pengalaman baharu selain ditukarkan ke bahagian Kewangan Korporat, Forex Trading, dan upstream di Miri.
Bagaimana pun hatinya tertarik kepada bidang peruncitan dan ditugaskan menjaga beberapa stesen minyak Shell dan yang pertama ialah di Glenmarie. Malah akuinya, dia pernah mencuci tandas di stesen tersebut.
Tidak hanya itu, Shairan kemudian ditawarkan kerja di India oleh Royal Dutch Shell iaitu syarikat induk Shell.
“Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel.
Itulah permulaan Shell di India. Sehingga kini, nama di dalam lesen perniagaan Shell di India masih mempunyai nama saya.”
Empat tahun di negara asing, Shairan pulang ke Malaysia. Sepanjang kerja di India, dia berjaya membantu syarikat membuka 30 stesen minyak di negara itu sebelum memutuskan untuk pulang ke tanah air.
Atas kejayaan mengurus Shell di India, dia kemudian ditugaskan untuk menjaga rangkaian stesen minyak syarikat itu di serata dunia.
Kagum dengan keikhlasan Pak Cik Shell ini dalam bekerja dan melayan pekerja bawahan. Malah, dia juga menjadikan platform Instagram miliknya yang kini mempunyai hampir 150 ribu followers sebagai medan untuk berkongsi kebaikan dan menyampaikan pesanan khidmat masyarakat kepada umum. Terbaik dan moga terus menyebar inspirasi buat semua!
5 Tahun Menanti Zuriat, YNA SAKINAH Berjaya Hamil Walaupun Disahkan Rahim Terbalik
Sakinah Alfakhri atau Yna Sakinah, jurusolek profesional yang cukup dikenali di kalangan artis mahupun selebriti. Berita gembira tentang kehamilan anak pertamanya telah dikongsi beberapa hari lalu di Instagram. Namun perkongsian itu hanya dikongsi oleh Yna setelah usia kandungan memasuki lima bulan.
Bukan sekadar meluahkan keterujaannya yang bakal menimang cahayamata tak lama lagi, apa yang paling menyentuh hati ialah bagaimana dia dan suami melalui detik-detik sukar untuk mendapatkan zuriat. Lebih-lebih lagi Yna disahkan mengalami rahim terbalik. Segala ikhtiar dilakukan, akhirnya doa mereka dimakbulkan.
LIMA TAHUN MENANTI ZURIAT
“Alhamdulillah hampir lima tahun saya dan suami menunggu. Inilah detik paling membahagiakan kami. Sebenarnya tahun pertama perkahwinan kami merancang untuk lakukan natural planning. Masuk tahun kedua kononnya dah ready sampailah masuk tahun ketiga kami dah mula tersedar. Hati saya mula terdetik “Eh tak ada rezeki lagi..”
Bohonglah kalau kata saya tak tertekan. Mujurlah suami seorang yang tenang. Kami mula berikhtiar. Namun saya faham perasaan suami yang terpaksa mencuba dan menanti dalam keadaan tanda tanya serta bimbang. Saya bersyukur kerana keluarga kami tak pernah bertanya malah mendesak untuk dapatkan zuriat.
Cuma rasa bimbang dan keinginan untuk memiliki zuriat tu sangat tinggi termasuk bagaimana rasanya menjadi seorang ibu, sakit bersalin dan macam-macam lagi. Masuk tahun keempat saya dah tak banyak fikir tentang hamil. Suami kerap bagi tazkirah agar saya lebih bersabar dan redha. Saya percaya terlalu tertekan dan badan penat juga antara punca.
Atas nasihat sahabat-sahabat, saya pergi buat pemeriksaan kesuburan. Alhamdulillah kami tiada masalah kesuburan namun saya disahkan mengalami Retroverted Uterus atau rahim terbalik. Namun menurut doktor saya masih boleh mengandung walaupun tanpa rawatan IUI atau IVF. Sedikit sebanyak ia melegakan perasaan saya. Ada suplemen dan cara tertentu yang perlu diamalkan. Sesetengah orang yang nak cepat mungkin akan terus buat IUI atau IVF. Tapi saya ambil keputusan untuk ikut prosedur normal.”
IKHTIAR PELBAGAI CARA
“Untuk kesuburan doktor bagi tempoh 60 hari untuk saya dan suami amalkan suplemen seperti minyak ikan, kalsium, magnesium, multivitamin, asid folik dan ubat hormon. Hubungan kelamin juga penting seeloknya 3 kali seminggu namun untuk kes saya (rahim terbalik) ada caranya.
Lepas tu kami checkup lagi dengan doktor dan disahkan sihat. Doktor sarankan kami buat IUI tapi saya kata nak ikhtiar cara lain dulu. Kalau tak ada rezeki juga barulah saya proceed dengan IUI. Alhamdulillah saya disahkan hamil pada November 2018.
Saya turut ikhtiar cara rawatan Islam antaranya mengamalkan makanan dan minuman dengan surah-surah yang boleh saya amalkan termasuk mandian bunga yang dibacakan surah Ruqyah. Seterusnya saya amalkan minum air zam-zam.
Saya juga ada tukang urut peribadi yang memang pandai mengurut. Katanya urat saya bengkak dan bersimpul. Patutlah badan saya banyak angin dan mudah migrain. Tambah lagi wajah, tangan dan kaki juga pucat. Darah jadi tak lancar. Katanya dalaman tak cantik sebab tak dijaga dengan baik. Dalaman pun sejuk dan tak bagus untuk kesuburan.
Sebulan tiga kali saya mengurut. Kemudian jadi sebulan sekali. Ringannya badan…saya disuruh amalkan jamu. Mulanya saya cuba makan jamu yang diberi tapi tak serasi. Saya berhenti dan tukar kepada jamu Mutyara Beauty kerana kebetulan Tya Arifin bagi saya untuk cuba. Sedap sangat.
Saya amalkan 1 sudu pagi dan 1 sudu malam. Kesannya, hari pertama haid dari warna hitam dan berketul jadi merah dan cair. Senggugut pun makin kurang. Kitaran haid semakin teratur, keputihan makin kurang. Saya rasa lebih bertenaga.
Saya turut amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Lama-lama saya makin tenang sampailah disahkan hamil. Kesimpulannya, sebelum buat IUI atau IVF dalaman kita perlu sihat dulu.”
JANGAN PUTUS ASA
“Rezeki datang ketika kita mula redha di samping solat, doa, usaha dan tawakal. Amalkan juga sedekah kerana Allah SWT akan memberikan kita rezeki dengan pelbagai cara. Zuriat adalah rezeki paling nikmat.
Dahulukan memberi kepada keluarga. Berehatlah secukupnya bagi yang terlalu kuat bekerja, luangkan masa bersama pasangan. Suami isteri perlu saling bekerjasama, bukan sebelah pihak saja.
Buat pasangan yang masih menanti semoga dengan izinNya segera dikurniakan zuriat, tepat pada waktunya. Sabar, usaha dan tawakal itu paling utama. Jangan putus asa. Apa pun semua berbalik kepada rezeki Allah SWT.”
Kredit Foto: Instagram Yna Sakinah