Kagum dengan semangat Ozlynn. Walau pun sedang berbadan dua, tetap gigih memenuhi selera anak-anak dan suami. Pantang saja dengar anak-anak teringin makan masakannya, terus bergegas masuk ke dapur. Salute!
Mengakui berdepan morning sickness pada awal kehamilan, Ozlynn juga pernah berkongsi luahan hatinya yang enggan dilayan seperti bayi ketika sedang mengandung. Dalam erti kata lain, tidak mahu semua benda sudah tersedia di depan mata. Sebagai anak sulung dalam keluarga, isteri kepada pelawak Johan ini menjelaskan dia sudah terbiasa hidup berdikari dan tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lebih-lebih lagi ibu bapanya.
Kalau jenguk Instagram pasangan suami isteri ini memang penuh dengan foto-foto aktiviti harian. Sama ada ketika memasak, melayan karenah anak-anak mahupun semasa bersantai, semuanya dikongsikan bersama 3 juta pengikut mereka. Sikap Ozlynn yang cukup prihatin menjaga pemakanan ahli keluarga juga wajar diberi pujian.
Tiap hari ada saja gambar masakan yang dimuat naik ibu kepada empat orang anak ini. Nasi ayam, nasi goreng, sayur buncis, kue tiau goreng, ikan cencaru sumbat kelapa dan bermacam-macam lagi jenis masakan yang disediakan Ozlynn. Kecur jugalah tengok hidangan isteri kesayangan Johan ini.
Selain upload gambar-gambar masakan, Ozlynn juga rajin selit tip dan nasihat rumah tangga. “Sian anak-anak dah berapa minggu minta nasi ayam. Sempat juga buat hari ni. Terharu bila tengok dorang makan anak-beranak. Banyak kali bertambah-tambah. Kadang kita ni sibuk kerja janganlah alpa dengan anak-anak. Kena luangkan masa dengar apa masalah dorang, keinginan dorang, cerita dorang.
Bukan anak-anak je, kena dengar juga dari pihak suami kita dan begitu juga dengan suami kena dengar luahan isteri. Baru boleh kekal bahagia. Bergaduh kecil hati normal tapi macam mana kita atasi perkara tu supaya tak jadi lebih besar kalau pendam perasaan? Uishh, tak bagus ok. Luahkan. Biarlah masa luah tu nak mengalir air mata pun tak apa. Biar terasa sampai ulu hati sebak tu.”
Bukan mudah bagi ibu yang tengah sarat mengandung hendak lakukan semua ini. Tapi Ozlynn membuktikan semuanya tidak mustahil. Iyalah, bila sudah bergelar ibu, waktu sakit atau sibuk pun tetap gagahkan diri juga untuk keluarga. Tak sampai hati buat mereka kecewa, kan?
Apa-apa pun, semoga Ozlynn dikurniakan kesihatan yang baik dan segala urusan kelahiran anak kelima ini dipermudahkan kelak. Ambil ilmu rumah tangga yang dikongsikan Ozlynn dan Johan sebagai rujukan agar perkahwinan yang dibina terus bahagia hingga ke syurga.
Sumber: Instagram @jozlynnhanania
Datin SHAHIDA DHERBS Tegaskan Kesihatan ‘Mental’ Penting, Refleks ‘Kecantikan’ Sebenar Wanita!
Kemurungan akibat tekanan perasaan, merupakan tanda-tanda yang menunjukkan seseorang individu itu mempunyai masalah kesihatan mental pada peringkat awal. Malah, hari ini ramai wanita diluar sana yang menghidap depresi, anxiety kerana dihimpit pelbagai tekanan dalam kehidupan.
Sehubungan itu, NONA berkesempatan bertanyakan pandangan bidadari kepada Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Nur Shahida Mohd Rashid tentang bertapa pentingnya kesihatan mental ini kepada wanita di luar sana.
Kecantikan Dan Kesihatan Mental Mana Lebih Penting?
Ketika ditanya, adakah penting bagi wanita mengekalkan keterampilan sentiasa cantik meskipun sebenarnya dia sedang dying inside kerana terbeban dek tekanan hidup, ini penjelasan Datin Shahida.
“Bagi saya sebenarnya kesihatan mental lah lebih penting, kalau cantik pun tapi mental tak betul tak berguna juga kan? Sebab serius zaman-zaman sekarang ni banyak orang yang mengalami masalah mental.
“Bukan sebab diorang gila, tapi kerana tekanan mungkin kadang-kadang mereka, khususnya wanita depress sebab kita penat kerja, jaga anak lagi, nak masak lagi, jaga rumah tangga lagi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, wanita sering dibebani dengan pelbagai tugasan harian. Itu belum masuk menguruskan kerjaya dan sebagainya. Lebih buruk lagi, apabila seorang wanita mula dihimpit tekanan tiada support system yang membantu meredakan tekanan ini.
“Kadang-kadang mungkin suami tak sedar kita (isteri) kemurungan. Kadang-kadang kita pun tak sedar yang kita sebenarnya ada masalah mental seperti kemurungan, depresi, suka bersendirian melayan rasa sedih,” katanya lagi.
Bila Depresi, Cari ‘Support System’ Untuk Luahkan Rasa!
Oleh itu, adalah penting bagi wanita diluar sana, sekiranya ada mula merasa tekanan atau depresi. Jangan simpan atau pendam seorang diri
“Jadi sebenarnya kepada orang-orang terdekat seperti ahli keluarga, suami kalau nampak isteri-isteri tu kemurungan ataupun nampak dia macam tiba-tiba sedih.
“Ataupun kita sendiri yang rasa macam tu. Kena ambil tindakan sewajarnya. Mungkin boleh bawa pergi bercuti ke. Kena mendengar masalah dia ke dan sebenarnya kesihatan mental penting.
“Sebab pada saya, bila mental sihat automatik kita punya badan pun sihat, muka pun cantik, macam tu lah. Kiranya, kecantikan itu akan datang from within. Sihat mental, maka terserlahlah kecantikan seoramg wanita itu,” jelasnya.
Betul kata Datin tu, kalau kita depresi jangan bertangguh lagi, segera cari tempat atau orang yang dipercayai untuk luahkan perasaan. Biar rasa lega dan tenang je nak jalani kehidupan ni. Baru lah Nonarians dapat kekalkan kecantikan luar dan dalam sebagai seorang wanita!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
DATUK DIRA ABU ZAHAR Selebriti Pertama Bergelar YB, Ligat Berpolitik Sambil Sambung MASTER
Sejak melangkah ke dunia politik, Datuk Dira Abu Zahar perlahan-lahan meninggalkan industri seni. Niatnya untuk membantu anak seni tanah air merupakan titik-tolak mengapa bekas pelakon dan pengacara popular itu berjuang mahu mengukuhkan tapak dalam gelanggang politik.
“Kalau imbas kembali ketika saya dalam industri seni, memang hidup glamor dan dilambung pujian. Tapi saya sedar yang anak seni menghadapi masalah terutama keselamatan dan kebajikan tenaga kerja. Mungkin hidup serba glamor tetapi ia belum menjamin masa depan atau duit simpanan yang mencukupi.
Kadar pembayaran anak seni juga tiada sistem khusus. Jadi saya mula mengambil inisiatif untuk menjadi sebahagian daripada pengurusan industri seni dengan menyertai NGO dan sebagainya. Tapi saya dapati tidak banyak yang boleh dilakukan.
Dengan menyertai dunia politik, saya mempunyai peluang walaupun peluangnya sangat tipis untuk masuk ke dalam sistem pembuat dasar atau polisi,” terdengar ketegasan di hujung suara wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.
Pemilik nama sebenar Khaidirah Dato’ Seri Abu Zahar ini mula aktif dalam politik sehingga dilantik Exco Puteri Umno pada 2015 dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sejak 2018.
Datuk Dira Abu Zahar juga turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi selebriti pertama bergelar Wakil Rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim.
Mewarisi ketokohan bapa, karakter Datuk Dira cukup disenangi sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat. Apa yang mahu diperjuangkan wanita cekal ini adalah usaha membantu rakyat sedaya mampu, biar dalam apa keadaan sekalipun.
“Sudah tentu saya bangga menurut jejak langkah arwah bapa. Tapi pada masa yang sama, saya harap boleh memberi inspirasi yang baik kepada orang lain.
Sebab bagi saya penglibatan artis dalam dunia politik adalah sesuatu yang baru tapi sekarang dah semakin meluas. Ramai yang berani tampil ke depan mewakili kepercayaan masing-masing dalam politik.
Bagi saya menjadi YB lebih merujuk kepada Yang Berkhidmat bukan Yang Berhormat. Ia bukan untuk glamor tapi tanggungjawab itu besar sebenarnya. Apa yang mampu saya kongsikan adalah dugaan dan cabaran yang menanti, sangat banyak.
Sebagai contoh, kita berpolitik sudah tentu perlukan parti, dalam parti yang kita pilih sendiri ada banyak dugaannya. Apalagi berhadapan dengan masyarakat dan parti lawan.
Sebagai ahli politik kita perlu bijak menguruskan cabaran tersebut. Dalam dunia politik kita tak boleh jangka semua orang akan faham dengan apa yang diperjuangkan.
Berkecimpung dalam dunia politik ini buat saya sedar bukan semua perkara kita boleh betulkan. Ada benda-benda yang hanya masa dapat menentukan atau membetulkan keadaan itu,” ucap Datuk Dira yang dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rostam pada tahun 2020.
SUPERPOWER
Mendengar sahaja jadual harian wanita berusia 38 tahun ini, sukar dibayangkan seperti tidak cukup 24 jam sehari. Datuk Dira menjadi ahli politik, isteri, ibu kepada lima orang anak dan dalam masa yang sama menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang dasar awam (Master of Public Policy) di Universiti Malaya (UM). Umpama ada ‘Superpower’ dalam diri anak bongsu daripada enam beradik ini.
“Kalau ikut penat, memang penat. Saya pun tak tahu, bila orang tanya macam mana saya boleh lakukan semua perkara, saya pun tak tahu macam mana saya uruskannya.
Kalau nak kata saya pandai uruskan masa, saya pun macam orang lain juga yang kadang-kadang terlajak. Seperti apabila dah sampai waktu tidur tapi kadang-kadang teralit tengok telefon bimbit dan sebagainya.
Cuma yang saya tahu, saya hanya ada satu semangat yang hebat. Bersungguh-sungguh melakukan sesuatu sampai terlaksana. Dengan semangat ini sahaja yang buat saya kuat untuk terus mencapai apa yang diinginkan,” ujar anak kepada Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka kelapan dan pernah berkhidmat kepada rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Sungai Rambai ini.
KELUARGA
Tergambar bahagia pada raut wajah isteri kepada ahli perniagaan, Syfik Idzywan Sidek, 48, ini saat berbicara tentang kehidupan keluarga. Datuk Dira bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat menyokong aktiviti politiknya.
“Kalau nak tahu, suami saya tak kenal saya sebagai seorang artis pun sebenarnya. Kami telah diperkenalkan oleh seorang kawan dan akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri. Suami sangat menyokong saya bergerak aktif dalam dunia politik kerana faham bahwa platform saya sekarang adalah untuk membantu orang Melayu. Sebenarnya masih ramai lagi orang Melayu yang perlukan bantuan, sokongan dan dorongan.
Sokongan suami membuatkan saya lebih kuat untuk mengharungi dunia politik. Ramai juga wanita yang terbantut niat menceburi politik sebab tidak mendapat sokongan suami.
Saya berharap agar suami-suami lain boleh terima hakikat bahawa isterinya tiada niat lain semata-mata mahu membantu mereka yang memerlukan sokongan dan dorongan,” tutur Datuk Dira yang telah melangsungkan perkahwinan pada 21 Jun 2020 lalu.
Bahagia hidup bersama lima cahaya mata iaitu Tengku Anggun Deandra, 15 tahun dan Waris Iskandar, 4 tahun serta tiga orang anak suaminya hasil perkahwinan terdahulu, beliau terkadang berasa sedikit ‘cemburu’ dengan wanita lain yang bergelar ibu.
“Saya tak ada peluang tiap-tiap minggu duduk bersama anak-anak atau keluar jalan-jalan bersama. Tapi itu tidaklah bermakna saya lepas semua. Saya sentiasa akan cari masa untuk luangkan masa bersama keluarga,” ungkap Datuk Dira Abu Zahar yang menjadikan Jacinda Ardern dan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai sumber inspirasi pemimpin wanita berwibawa.
Penulis: Hamizatul Maizan
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan & Hijab Stylist: Bee Ramza
Busana: Ezuwan Ismail
Baca juga; Datuk Dira Abu Zahar Pegang Amanah Sebagai Wakil Rakyat
Pengusaha Makanan Mesti Mahir Online, Farrah Adeeba Kongsi Hikmah PKP Untuk Majukan Bisnes Restoran
Perniagaan berasaskan makanan merupakan antara industri paling terjejas sewaktu pandemik COVID-19 menular.
Bersama pengacara selebriti yang juga pengusaha restoran Padangs On Wheel (POW), Farrah Adeeba, Nona mengupas cabaran selepas PKP ini bagi pemilik bisnes seperti beliau.
Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 42, merupakan bekas pengacara TV3 dan kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Masters dalam jurusan undang-undang di UITM.
Perkongsian yang hebat dan benar-benar membuka mata, ayuh sama-sama support bisnes orang kita!
Nona: Hikmah PKP kepada peniaga makanan seperti Farrah? Dari sudut positif, apa yang anda rasa sekarang?
Farrah: Antara hikmah PKP ialah ia memaksa para peniaga bergerak cepat ke hadapan, khususnya melalui sistem online. Walaupun sistem talian sebelum ini sudah wujud, namun dengan kekangan COVID-19, kemahiran sistem talian ‘terpaksa’ dikuasai dengan pantas, baik sistem e-platform sedia ada mahupun sistem dalaman POW.
Banyak kolaborasi baru juga digerakkan. Sebagai contoh bersama rider dan business support group komuniti perniagaan, persatuan dan daerah. Ia juga mewujudkan satu sistem rangkaian lebih tersusun di kalangan ahli masyarakat.
Nona: Ada penambahbaikan atau menu baru yang wujud lepas dibuka semula?
Sepanjang PKP, POW lebih menumpukan kepada menu best seller kerana demand delivery pada ketika itu meningkat melangkaui kawasan Shah Alam, iaitu meliputi Ampang, Cheras, Cyberjaya dan Bangi.
Malah ada yang menempah secara all month long khususnya expatriats di sekitar Lembah Klang.
Restoran kini sudah dibuka sepenuhnya untuk walk-ins dan kini menambahkan beberapa menu baru seperti ayam masak asam, daging berlado (daging dendeng versi lembut), tempe goreng tepung, tauhu bergedil goreng serta pelbagai dessert mampu beli.
Mini katering untuk majlis skala kecil juga sudah mula pick-up selain tempahan delivery, party pack atau katering mini (perkahwinan, pertunangan, ulang tahun, aqiqah).
Nona: Ada pelajaran atau research yang Farrah buat untuk kepentingan bisnes waktu arahan duduk di rumah dulu?
Farrah: PKP adalah satu keadaan yang tidak pernah kita alami dan satu keadaan yang tidak pernah terlintas dek akal fikiran. Keadaan ini melangkaui cabaran krisis kewangan dilalui dunia sebelum ini.
Mana tidaknya, bukan sahaja keadaan ini memberi impak kepada nilai mata wang dan prestasi ekonomi dunia, malah untuk memajukan kembali perniagaan, pergerakan para peniaga turut terjejas. Malah ada sektor perniagaan yang berhadapan dengan zero profit sepanjang PKP.
POW turut terkesan. Bayangkan Ramadan dan Syawal lah musim kami membuat jualan melalui jualan berbuka, bazar Ramadan serta katering.
Namun saya bersyukur POW terdiri daripada pasukan yang mempunyai pelbagai latar belakang ilmu serta pengalaman dalam perniagaan, pengurusan, kewangan, perundangan dan jualan. Pengalaman adalah key dan cukup penting khususnya dalam kita mencari dan mengenal pasti kaedah untuk troubleshoot dalam menangani krisis.
Dalam keadaan sebegini, paling penting ialah setiap orang harus fokus mencari jalan untuk sustain syarikat: baik dari segi mengurus costing, overhead, manpower, negosiasi mengurangkan diskaun atau flexi-payment dengan pelbagai pihak termasuk landlord dan pembekal, kolaborasi, pemasaran tersasar, kaedah atau platform jualan alternatif, target sasaran pelanggan baru dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, penyesuaian diri dengan keadaan baru harus pantas dan terancang. Inilah yang banyak saya pelajari sepanjang PKP.
Namun apa yang banyak saya baca melalui penulisan akademik, ialah berkenaan food security yang melibatkan tiga perkara asas: negara harus serius bergerak ke arah kemampuan untuk self-sustain melalui penghasilan supply makanan asas dari dalam negara, menghasilkan bahan mentah yang mampu milik dan akhir sekali mempunyai sistem menyampaikan makanan kepada golongan paling vulnerable dalam masyarakat secara tersusun.
Dari bacaan, Malaysia masih banyak bergantung kepada import. Contoh 30% beras, 70% daging diimport. Malah import daging, didapati, ia didominasikan oleh beberapa syarikat sahaja yang menyebabkan nilai serta harga daging cukup tinggi kerana berlakunya monopoli.
Malaysia harus meningkatkan teknologi tinggi pertanian (seperti smart farming) dan penternakan kerana didapati walaupun negara banyak melabur dari segi latihan, sokongan dan subsidi kepada petani dan penternak, namun kita masih lemah dari segi R&D dalam kedua sektor ini.
Akhirnya kesemua ini ada domino effect dengan harga barangan di pasaran. Kesannya juga terpaksa pembeli tanggung. Apabila berlakunya krisis, ada kebarangkalian harga barangan akan meningkat secara mendadak.
Nona: Cara anda sebagai peniaga mensyukuri rezeki yang Allah SWT bagi?
Farrah: Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa apa sahaja yang berlaku ada hikmah dan baik untuk kita. Allah juga berjanji akan menambah rezeki seseorang itu apabila dia memberi atau menginfaq kerana Allah. Justeru dalam keadaan seperti sekarang, POW tetap meneruskan aktiviti mingguan bersedekah.
Malah POW memberi subsidi sebanyak 10% – 15% untuk setiap kolaborasi bersama NGO serta orang ramai memberi packed-food kepada asnaf, orang miskin, anak yatim dan front liners. Ini sememangnya polisi yang telah kami aplikasikan sepanjang POW beroperasi sejak 2015.
Satu perkara yang amat saya syukuri, dalam keadaan yang dimana kita lihat banyak syarikat kecil mahupun besar terpaksa memberhentikan operasi, kami masih lagi mampu berdiri dan berkongsi rezeki dengan team. Itu adalah satu nikmat Allah yang jangan sekali-kali kita kufuri.
Nona: Harapan dan impian anda dalam bisnes?
Farrah: Harapan 2020 sebenarnya adalah untuk POW menambah 3 lagi cawangan. Namun dengan keadaan yang berlaku kami terpaksa menukar, menangguh dan menyesuaikan strategi perniagaan.
Namun perancangan untuk menghasilkan produk segera POW sudah berada pada peringkat R&D. Ini akan ditumpukan kepada jualan melalui pengedar dan pasar raya. InsyaAllah doakan agar POW, sebuah syarikat 100% milik Bumiputera, mampu terus kukuh dan berjaya mengembangkan sayap dalam perniagaan F&B.
Nona: Perubahan hidup yang ketara lepas PKP?
Farrah: Paling ketara ialah, PKP memaksa saya dan kita semua slow-down. Pada fasa tersebut, saya dan suami sedar ianya satu fasa yang Allah berikan untuk seketika kepada kami sebagai sebuah keluarga. Setelah hampir 18 tahun mendirikan rumah tangga, kami sudah terbiasa menghabiskan masa apabila ‘ada masa’ dan sentiasa berpegang kepada prinsip make the best of what we have.
Kami berdua terlibat dalam perniagaan. Malah kami juga sudah menjalankan syarikat guaman ‘The Law Practice of Rafique’ bersama yang menumpukan kepada litigasi (sivil dan jenayah) serta korporat sejak 14 tahun lalu.
Kami sepatutnya berpindah ke premis baru sewaktu PKP. Namun segala pengubahsuaian pejabat baru terpaksa ditangguhkan dan bermula kembali dua minggu lepas.
COVID-19 mengizinkan kami sekeluarga, anak-beranak menghabiskan masa sepuas-puasnya bersama.
Namun kini, aktiviti sudah kembali seperti sedia kala. Alhamdulillah Allah izinkan kami menikmati momen tersebut walaupun seketika.
View this post on InstagramA post shared by Farrah Adeeba: TV personality (@farrahadeeba) on
PENGURUSAN MASA
Ditanya tentang pengurusan masa Farrah sepanjang bergelar isteri, ibu dan pengusaha POW, ini jawapan beliau.
“Paling mencabar sekarang, tentunya menguruskan pendidikan anak-anak sehingga ke hujung tahun. Tugasan ini cukup mencabar namun tidak boleh diabaikan.
Ini waktu paling kritikal untuk anak-anak di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah sejak merdeka atau Perang Dunia II, anak-anak tidak ke sekolah pada jangka waktu yang begitu panjang.
Minda dan masa anak-anak harus diisi dengan perkara yang berfaedah. Sekira tidak, ia pasti diisi dengan perkara lain. Ini satu isu yang harus kita sebagai ibu bapa ambil perhatian.
Tentang cara menguruskan masa sebagai entrepreneur, POW melantik pengurus dalam menguruskan tugasan harian. Namun segala laporan perbelanjaan, jualan serta isu berbangkit dimaklumkan kepada saya dan rakan kongsi setiap hari. Maka segala isu berbangkit day to day dapat dikenal pasti dan troubleshoot segera.”
Cara Farrah uruskan anak-anak pula? “Anak-anak saya, Muhammad dan Harith sebelum ini semuanya ke sekolah, maka saya akan uruskan tugasan bisnes pada waktu itu. Namun di dalam waktu kini (sekolah ditangguhkan) walaupun mempunyai pembantu, saya jarang sekali meninggalkan mereka bersendirian. Maka kalau ke pejabat, saya akan membawa mereka sekali.
Pengurusan masa terletak di tangan kita. Selalunya lebih banyak boleh diselesaikan apabila kita mempunyai banyak tanggung jawab berbanding waktu kurang tugasan. Pertama ialah mengenal pasti prioriti dan perlu ada time line. Kedua saya gemar menjanjikan diri reward kalau berjaya siapkan tugasan.
Reward pun bukanlah semestinya sesuatu yang luarbiasa. Ia mungkin sekadar keluar beriadah bersama anak-anak, berlari di taman atau minum kopi bersama suami sekiranya tugasan selesai,” akhirinya.