Rata-rata sekarang ini semua bidang begitu terkesan dengan perubahan ekonomi dunia. Dengan wabak pandemik yang mengganas, ramai memilih untuk bertukar kerjaya demi kelangsungan hidup. Bagi jurusolek selebriti, Sheila Mohamad, dia mendapat hikmah terbaik dari aturan Allah buatnya.
Kalender Sheila Mohamad sentiasa padat dengan tawaran menyolek selebriti malah dia juga ligat menyolek pengantin untuk hari bahagia. Namun, tersebarnya wabak Covid-19 ini menyebabkan mata pencariannya selama ini tergendala.
Mengakui begitu terkesan dengan situasi ini, Sheila Mohamad menerima dengan hati terbuka malah dia redha dengan apa yang telah ditentukan.
“Kita sebagai manusia tak boleh nak buat apa-apa. Bahayanya wabak ini bukan sahaja mengganggu kesihatan malah boleh meragut nyawa. Saya redha. Iyalah, selama ini sibuk bekerja tetiba terpaksa duduk di rumah tak boleh teruskan bidang yang paling diminati,”katanya.
Tetapi, bagi Sheila itu bukan penamat. Ada peluang bisnes yang sedang giat diusahakan kini.
“Bila tak boleh makeup, saya akan buat live memasak. Selera Melayu macam saya ni suka pedas jadi saya akan buat sambal belacan sendiri sampaikan ada orang bertanya kalau-kalau sambal tu boleh dibeli.
Sejak PKP lagi saya dah mula buat delivery dan hantar melalui pos sambal belacan resipi warisan mak saya. Alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan! Sambal Cik Midah ni bukan calang-calang tau, sekali cuba mesti nak lagi!”katanya.
Bagi Sheila,walaupun tak banyak rezeki dari penjualan sambal ini, sekurang-kurangnya bolehlah digunakan untuk membayar rumah, bil-bil dan beberapa perkara lain.
“Cili dan bahan sambal belacan semuanya saya order dan mereka hantar ke rumah. begitu juga dengan botol dan container yang diperlukan. Jadi waktu siang tu banyaklah masa untuk buat sambal. Sebelum ni asyik sibuk bekerja sampai nak tengok lantai rumah pun payah!”
Menurut Sheila, dia tahu kemungkinan sukar untuknya meneruskan kerjaya sebagai jurusolek kerana atas saranan kerajaan, beberapa bulan akan datang majlis keramaian tidak boleh diadakan. Jadi sebagai persediaan, saya akan lebih fokus pada penjualan sambal Cik Midah dan bakal mengeluarkan produk face mist, satu kolaborasi bersama jenama produk penjagaan kulit DoctoX. Face mist DoctoX + Sheila M ini akan berada di pasaran sebelum Hari Raya nanti.
Hikmah PKP terlalu banyak. Saat ini Allah beri idea kepada saya dan membuka mata yang banyak lagi perniagaan boleh dijalankan. InsyaAllah semoga lepas ni lebih banyak lagi yang boleh saya ceburi. Dan saya berharap juga agar wabak Covid-19 ini akan terus hilang supaya kita boleh mulakan hidup dengan lebih baik. Tak sabar nak balik kampung jumpa Cik Midah dan ayah!”katanya.