Rezeki memang tidak pernah salah alamat. Jika sudah dinamakan rezeki tidak kira usia pasti akan menjadi hak milik kita. Begitu juga dengan rezeki Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta ini sentiasa melimpah ruah. Siapa Che Ta kalau bukan tanpa bulu mata kan? Baru-baru ini Che Ta telah dilantik sebagai duta produk ANAS Ultra Madness Super Volume Mascara.
Menghubungi Che Ta tentang pelantikannya sebagai duta maskara ini, “Relevan lagi dak jadi duta dah nak senja ni,” gurau Che Ta sambil mengucapkan rasa syukur atas kurniaan rezeki yang tidak pernah putus buat dirinya dan keluarga.
Bercerita lebih lanjut tentang persetujuannya sebagai duta produk tersebut, “Semua pun tahu yang saya ni memang cerewet especially berkaitan dengan bulu mata ke, lipstik ke, bedak dan macam-macam lagi berkaitan dengan produk kecantikan,” tutur Che Ta yang memang memastikan dirinya sentiasa tampil cantik dari hujung rambut sehingga hujung kaki.
Tambahnya lagi, “Anas yang merupakan pengasas Anas Cosmetics ada datang bertanya tentang hasratnya ingin menjadikan saya sebagai duta produknya. Kemudian Anas meminta saya cuba maskara tersebut terlebih dahulu walaupun masih belum lagi ada di pasaran itu. Lepas saya cuba maskara itu saya terus jatuh hati.
Memang cantik dan memenuhi kriteria maskara yang saya inginkan. Saya pun tidak fikir lama dan terus bersetuju untuk menjadi duta kepada ANAS Ultra Madness Super Volume Mascara,” bicara Che Ta yang biasanya akan memakai sendiri bulu matanya.
Menurut Che Ta maskara ini berbeza dengan maskara lain kerana kelihatan premium dan mengikuti standard antarabangsa. Malah Che Ta turut memuji packaging maskara tersebut yang tampil menarik dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Siapa kata kalau dah berusia sorotan lampu kehidupannya akan malap. Che Ta salah seorang selebriti yang membuktikannya dan masih kekal bertahan dalam kelasnya yang tersendiri. Mungkin rezeki Che Ta sentiasa murah kerana dia tidak pernah meninggalkan keluarga lebih-lebih lagi ibunya di kala senang. Che Ta sering kali dilihat akan membawa seluruh ahli keluarganya bercuti di dalam mahupun luar negara.
“Ibu banyak berjasa dan terlalu banyak berkorban untuk membesarkan kami adik-beradik selepas arwah bapa meninggal dunia. Tanpa pengalaman kerja ibu sanggup keluar merantau dari Kedah mencari rezeki untuk membesarkan kami adik-beradik yang masih kecil seramai 7 orang. Alhamdulillah, bila kami adik-beradik sudah besar dan mempunyai kesedaran untuk membalas balik kasih sayang ibu,” ucap Che Ta yang berusia 46 tahun.
This website uses cookies.