Hari ini ramai yang sudah mula bergerak meninggalkan kediaman masing-masing apabila Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran merentas negeri. Ramai yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bertemu dengan keluarga tersayang dan tak kurang juga yang keluar bercuti.
Walaupun merentas negeri telah dibenarkan namun kita mesti sentiasa patuh SOP dan menjalani langkah berjaga-jaga. Bagi yang tak tahu untuk bercuti ke mana, atau menunggu suasana reda sedikit mungkin boleh menghabiskan hujung minggu dengan melawat pantai-pantai indah yang terdapat di negeri Selangor.
1) Pantai Remis, Kuala Selangor
Pantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu, iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, ianya dikatakan ‘kembali bernyawa’ ekoran pengumuman kemasukan Negeri Selangor dalam Fasa 3. Pantai Remis merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin digemari oleh orang ramai. Pantai Remis sentiasa dibanjiri dengan pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
2) Pantai Kelanang, Banting
Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru. Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya anda membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!
3) Pantai Cunang, Kuala Langat
Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat. Pantai Cunang adalah pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau. Pantai Cunang adalah kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat peribumi Mah Meri. Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan Negeri Selangor, dimana ianya dihiasi dengan rumah-rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.
4) Pantai Bagan Lalang, Sepang
Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Daerah Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian pandai kegemaran seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir. Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut!
5) Pantai Redang, Sekinchan
Sekiranya anda berada di Daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula? Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.
6) Pantai Morib, Banting
Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira 3 kilometer? Pantai Morib ini terletak di Daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada 1 jam dari Daerah Klang. Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi yang amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!
Sumber: Tourism Selangor