Hampir dua tahun namanya terpalit kontroversi, apabila beliau dikatakan sebagai punca keretakan rumah tangga suaminya dengan bekas isteri ketika itu. Pelbagai tohmahan terpaksa dilalui dengan sabar dan menganggap ia sebagai dugaan dalam lipatan sejarah hidupnya.
Akhirnya Datin Maria Farida atau nama sebenarnya, Maria Farida Atienza, 47, kini boleh menarik nafas lega apabila kes saman yang difailkan terhadap bekas isteri suaminya, Hadijah Mokhtar atas tuduhan mengganggu privasi mereka sekitar penghujung tahun lalu, berpihak kepadanya.
Menurut beliau, kemenangan tersebut akhirnya membuktikan bahawa dirinya berada di pihak yang benar. “Alhamdulillah, segalanya telah selesai.
Selama dua tahun, saya menjadi mangsa tuduhan tidak berasas daripada pihak bekas isteri suami. Saya dituduh sebagai perampas dan banyak pihak menganggap semua tuduhan yang dilemparkan olehnya adalah benar.
Bukan setakat menghantar beribu pesanan di telefon bimbit, malah saya pernah diganggu semasa di lokasi penggambaran. Suami juga pernah cuba dilanggar serta menerima ugutan bunuh. Sudah pasti saya tidak boleh berdiam diri apabila maruah dan keselamatan keluarga terancam. Malah demi menjaga keselamatan, saya terpaksa mengupah bodyguard,” jelas Maria.
Walaupun kebenaran berpihak pada dirinya, Maria masih belum menentukan jumlah tuntutan yang akan dibuat daripada Hadijah. “Saya dan peguam akan menentukan jumlah kerugian dalam masa terdekat. Kami akan berbincang mengenai perkara itu dalam tempoh dua minggu ini,” kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.
Datin Maria Farida telah memfailkan saman terhadap Hadijah kerana wanita tersebut berterusan membuat pelbagai tuduhan terhadapnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan media sosial seperti Facebook dan Instagram. Gangguan yang dilakukan sejak tahun 2015 itu berterusan walaupun Maria telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Rahman Shakur pada November 2015.
“Bayangkan waktu berbulan madu, kami berdua dihujani beribu SMS daripadanya. Dia tetap mengganggu kami sekeluarga walaupun setelah bercerai,” ujar Maria menceritakan bagaimana dia dan keluarga terpaksa berhadapan dengan situasi ini selama dua tahun.
Maria berharap dengan selesainya kes tersebut akan dapat menjernihkan keadaan selain kembali membersihkan namanya. Tegas beliau, fitnah yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak benar dan kehidupannya kini amat bahagia bersama suami dan keluarga tersayang. “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua,” ujar Maria. Rosmah Idayu Abu Samah
This website uses cookies.