Selain terkenal dengan sejarah peradaban dan tempat tinggalan para penjajah zaman dahulukala, Melaka juga terkenal dengan masakannya yang pedas dan menyelerakan.
Salah satu juadah yang sering menjadi tarikan ketika melawat bandar bersejarah ini tidak lain tidak bukan tentulah hidangan Asam Pedas.
Resipi yang kami kongsikan kali ini memang asli sebab dihasilkan sendiri selebriti yang berdarah keturunan Melaka iaitu Asmidar.
Meniti usia 31 tahun, Asmidar yang merupakan bekas juara program nyanyian ‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’ ini juga sering membantu bapanya berniaga makanan di Wangsa Maju.
Terima kasih Asmidar sebab sudi berkongsi resipi!
ASAM PEDAS MELAKA ASLI
Bahan-bahan:
- 4 ketul ikan parang
- 3 biji bawang merah
- 1 ulas bawang putih
- 2 cm halia
- 1 mangkuk cili kering (dikisar)
- 3 cm belacan
- 2 cm kunyit hidup
- 1 sudu besar lada hitam
- 3 batang serai (dititik)
- 1 sudu teh halba
- Daun kesum
- Bunga kantan
- Bendi
- Terung
- Air asam jawa
- Garam
- Gula
- Minyak masak
Cara membuat:
Kisar bawang merah, bawang putih, halia, cili, belacan, kunyit dan lada hitam. Panaskan minyak dan tumis halba sehingga kekuningan. Masukkan bahan yang telah dikisar tadi bersama serai. Tumis hingga garing dan pecah minyak.
Apabila sudah garing, masukkan gula diikuti daun kesum dan bunga kantan. Kemudian, masukkan ikan. Kacau perlahan sebelum memasukkan air asam jawa mengikut kepekatan kuah yang diinginkan. Sesudah itu, masukkan bendi atau terung. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula. Biarkan ia mendidih sebelum dinikmati. Suziana Abu Daud
Dua Bahan Ini Jadikan Scrambled Egg Lebih Sedap. Patutlah Ia Jadi Kegemaran Mendiang Ratu Elizabeth II
Sarapan adalah sajian awal perlu diambil setiap hari. Pengambilannya satu kemestian yang tidak boleh dipandang mudah. Sajian ini membekalkan tenaga sepanjang hari untuk lebih cergas dan produktif.
Ramai tidak menyedari kepentingan sarapan kepada kesihatan. Apabila kita bangun tidur, paras glukosa dalam darah agak rendah. Jadi, dengan pengambilan makanan berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan membekalkan tenaga mencukupi bagi memulakan hari dengan lebih cergas.
Kali ini, NONA kongsikan hidangan sarapan pagi yang menjadi kegemaran mendiang Ratu Elizabeth II. Mendiang Ratu Elizabeth II amat menggemari scrambled eggs sebagai hidangan di waktu pagi.
Namun begitu, scrambled egg kegemaran mendiang Ratu Elizabeth mempunyai campuran dua bahan yang jarang ditemui di dalam pembikinan scrambled egg ini.
Pakar Pemakanan, Lee Holmes mendedahkan, dia mendapat tahu mengenai resepi ‘rahsia’ mendiang Ratu selepas rakannya yang pernah bekerja dengan mendiang Ratu berkongsi mengenai resipi berkenaan beberapa tahun lalu.
“Baginda suka memulakan harinya dengan sarapan yang kaya protein, dan hidangan telur berkenaan juga dibuat dengan cara yang baginda gemari,” ujar Lee.
Katanya lagi Lee menambah, sejak mendapat tahu tentang resipi tersebut, dia selalu menyediakan scrambled eggs dengan menambahkan lemon dan serbuk buah pala ke dalamnya.
Berikut disertakan cara-cara untuk memasak scrambled eggs mengikut resipi kegemaran mendiang Ratu Elizabeth.
1.Masukkan tiga biji telur dan satu sudu makan susu ke dalam sebuah mangkuk, kemudian pukul kesemua bahan.
2. Tuangkan campuran telur dan susu ke dalam kuali panas.
3. Tambahkan satu sudu mentega. Sebelum telur masak sepenuhnya, masukkan perahan lemon dan buah pala.
4. Kemudian kacau dengan api kecil. Setelah telur masak, angkat dan tambahkan lada putih serta bawang daun sebagai hiasan. Seterusnya boleh dihidangkan.
Difahamkan, mendiang Ratu Elizabeth jarang mengubah menu makanan sihatnya, dan kadang-kala, baginda amat mementingkan pengambilan sarapan pagi.
Bagaimanapun, baginda selalunya menikmati bijirin dengan teh jenis earl grey sebagai hidangan sarapan pagi. Bagi menu makan tengah hari pula, Ratu Elizabeth biasanya memilih hidangan berasaskan ikan dengan sayuran yang dikukus.
Ratu Elizabeth juga dikenali sebagai individu yang amat menggemari hidangan ikan salmon, dan kerap menikmatinya sebagai hidangan makan malam.
Tidak lengkap pola pemakanan tanpa menikmati pencuci mulut. Kebiasaannya, baginda akan menikmati buah pic yang ditanam di dalam rumah kaca yang terdapat di kawasan Istana Windsor.
Sumber: Gempak
Banyak Resipi Pasta Boleh Dicuba. Sedap Pulak Tu!
Sajian pasta barat pastinya menjadi kegemaran ramai. Namun ramai yang tidak berani mencuba kerana menyangka hidangan ini susah untuk disediakan dan menggunakan bahan-bahan yang sangat mahal. Seleksi sajian pasta barat yang mudah, sedap dan boleh dihasilkan sendiri di rumah tanpa menggunakan kos yang terlalu mahal. Dalam situasi Perintah Kawalan terhad ni banyak menu baharu yang boleh diterokai. Apa salahnya sekali sekala ubah selera dari pasta yang biasa dinikmati kan!
FETUCCINE DAGING PANGGANG
BAHAN-BAHAN:
200gm daging
200gm pasta fettucine | direbus lembut
3 ulas bawang putih | cincang
1/2 biji bawang besar | cincang
1 sudu makan tepung gandum
2 cawan susu segar
3 keping keju cheddar
1/2 cawan keju parmesan
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
1/2 sudu teh oregano
Sedikit air jika perlu
Sedikit daun parsli
2 sudu makan mentega
2 sudu makan minyak zaitun
CARA MEMBUAT: Perapkan daging dengan serbuk lada hitam dan garam. Kemudian panggang hingga masak. Panaskan minyak zaitun dan mentega. Tumis bawang besar serta bawang putih hingga keperangan. Kemudian masukkan tepung gandum. Gaul sebati. Seterusnya masukkan susu. Kacau hingga semua bahan tidak berketul. Biarkan mendidih. Masukkan keju cheddar, keju parmesan, oregano, serbuk lada hitam dan garam secukup rasa. Kacau sebati dan pastikan sos mempunyai kepekatan yang sederhana. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air atau susu. Hidangkan bersama spageti, kepingan daging panggang, sedikit keju parmesan dan parsli sebelum dinikmati.
FUSSILI AYAM CENDAWAN
BAHAN-BAHAN:
200gm pasta fussili | rebus lembut
10 biji cendawan | hiris 4
10 biji tomato ceri | dibelah 2
3 ulas bawang putih | hiris
1/2 biji bawang besar | cincang
50gm isi ayam | potong dadu
1/2 tin sos pasta tomato
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT: Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga keperangan. Kemudian masukkan isi ayam. Masak hingga air ayam kering. Masukkan cendawan dan juga tomato. Tumis sehingga tomato dan cendawan masak sepenuhnya. Tuang sos pasta dan gaul rata. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam secukupnya. Akhir sekali, masukkan pasta fussili dan gaul hingga sebati. Sedia untuk dinikmati.
PASTA BOW TIE BERKRIM TELUR PUYUH & ASPARAGUS
BAHAN-BAHAN:
300gm pasta bow tie / farfalle
6-7 batang asparagus | dipotong 1 inci & dicelur
1 cawan heavy cream
2 biji lemon | ambil parutan kulitnya
1/2 cawan keju parmesan parut
6-7 biji telur puyuh | direbus
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
CARA MEMBUAT: Panaskan heavy cream hingga mendidih dan sedikit pekat. Kemudian masukkan parutan kulit lemon dan keju parmesan. Kacau hingga sebati dan keju larut sepenuhnya. Perasakan dengan garam serta serbuk lada hitam dengan secukup rasa. Seterusnya masukkan pasta, telur puyuh dan asparagus. Gaul hingga bersalut sepenuhnya. Rasa dan jika perlu, tambahkan parutan keju atau garam. Sedia untuk dinikmati.
SPAGETI TOMATO BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
400gm spageti | direbus hingga lembut. Toskan
500gm bebola daging sejukbeku
1 biji bawang besar | cincang halus
2 ulas bawang putih | dadu kecil
2 biji tomato | buang biji & cincang
250gm tomato puri
250gm sos tomato
1 kiub pati daging
1 sudu makan oregano kering
2 helai daun bay
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT: Panaskan kuali dan masak bebola daging hingga keperangan. Jika masak guna kuali biasa, masukkan sedikit minyak supaya tidak melekat. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Kemudian masukkan buah tomato cincang, tomato puri, dan sos timato. Masak seketika. Bila sos sebati, masukkan kiub pati daging, oregano, daun bay, lada sulah dan garam secukup rasa. Masak hingga kuah mendidih. Masukkan bebola daging. Gaul rata. Jika kuah terlalu pekat, tambah sedikit air. Angkat dan hidangkan dengan spageti.
MAKARONI & KEJU
BAHAN-BAHAN:
2 cawan makaroni
100gm isi ayam rebus | dadu kecil
2 sudu makan mentega
2 sudu makan tepung gandum
2 1/2 cawan susu penuh krim
4-5 keping keju cheddar
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh oregano kering
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT: Didihkan air, masukkan sedikit garam dan rebus makaroni hingga lembut. Toskan air dan ketepikan. Cairkan mentega dan masukkan tepung agndum. Kacau rata dengan cepat hingga tepung dan mentega jadi sebati. Masukkan susu. Kacau rata sehingga kuah tidak berketul. Tambahkan serbuk lada hitam serta garam secukupnya. Masukkan kepingan keju dan kacau lagi hingga keju cair dan semua bahan sebati. Jika terlalu pekat, tambah sedikit susu. Akhir sekali, masukkan makaroni dan isi ayam. Gaul hingga sekata. Sedia untuk dinikmati.
Oh, Patutlah Azwan Kombos Selalu ‘Cair’ Dengan Ezzaty Abdullah. Ada Resipi PENGIKAT SUAMI Rupa-Rupanya!
Sekali imbas, wanita bertubuh genit ini iras selebriti Indonesia, Acha Septriasa. Realitinya, Ezzaty Abdullah yang juga artis yang kian dikenali ramai ini bukan sekadar hebat di layar perak. Malah cukup ligat apabila memasak di dapur.
Selain pernah membintangi drama Delina, Hello Mr. Perfect serta filem Anak Mami Nasi Kandaq, anak jati kelahiran Bentong, Pahang ini juga merupakan pengasas produk kecantikan Vermillon. Pada 16 Julai tahun lalu, Ezzaty sah bergelar isteri kepada pelakon Azwan Kombos.
Khabarnya, selain tertawan dengan kecantikan dan bakat dimiliki Ezzaty, suaminya juga terpikat dengan air tangan wanita berusia 27 tahun tersebut. Bertuah sungguh Azwan. Lebih menggembirakan, kedua-duanya kini sedang menanti kehadiran cahaya mata sulung mereka. Tahniah!
Berikut dua menu Pahang yang mahir disediakan Ezzaty dan boleh anda cuba untuk menambat hati suami anda juga.
ASAM REBUS IKAN BAUNG
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan baung
- ½ biji bawang besar
- 1 ulas bawang putih
- 1 tangkai cili merah
- 1 inci halia
- 2 @ 3 inci kunyit hidup
- 2 keping asam keping
- Air
- Garam
Cara membuat:
Bersihkan ikan dan potong kepada bahagian 3 ke 4 bahagian. Seterusnya, tumbuk kasar bawang besar, bawang putih, halia, kulit dan cili merah. Ambil bahan yang telah ditumbuk tadi dan masukkan ke dalam periuk bersama ikan dan asam keping.
Tuangkan air secukupnya dan kacau perlahan. Apabila sudah mendidih, perasakan dengan garam. Biarkan seketika sehingga ikan benar-benar masak. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih.
PUCUK UBI MASAK LEMAK TEMPOYAK PETAI
Bahan-bahan:
- 1 ikat pucuk ubi
- 10 helai daun pucuk kaduk
- 10 helai pucuk labu
- 3 helai daun kunyit
- 4 batang serai
- 20 tangkai cili padi
- 1 ½ inci kunyit hidup
- 1 genggam ikan bilis
- 6 sudu besar tempoyak
- 1 ½ cawan santan pekat
- 3 papan petai
- 1 keping asam keping
- Garam
- Air
Cara membuat:
Rebus pucuk ubi yang telah dihiris kasar. Tos dan asingkan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga lumat. Kemudian, masukkan pula ikan bilis dan serai yang dihiris halus. Tumbuk kasar kedua-dua bahan tersebut dan kaup untuk dimasukkan ke dalam periuk.
Seterusnya, tuangkan santan diikuti tempoyak, asam keping, petai, pucuk ubi, pucuk kaduk dan pucuk labu. Pastikan pucuk kaduk dan pucuk labu telah dihiris kasar. Gaul sekata. Apabila sudah mendidih, bubuh garam. Kacau sekali lagi. Siap untuk dihidang. Suziana Abu Daud