Biarpun berbangsa Cina namun Datin Sri Jessie Wong Siaw Puie atau lebih mesra disapa sebagai Datin Sri Jessie fasih berbahasa Melayu. Ini kerana Datin Sri Jessie memiliki ramai kenalan berbangsa Melayu di samping aktif dengan aktiviti-aktiviti sosial kemasyarakatan.
Lebih membanggakan dalam usia 36 tahun Datin Sri Jessie selesa di platformnya sebagai usahawan sukses. Melihat kepada biografi yang dikongsi ternyata Datin Sri Jessie bukan calang-calang wanita. Mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak usianya 24 tahun Datin Sri Jessie menerima berbagai pengiktirafan serta anugerah.
Bidang perniagaan terkini yang dikendalikan oleh Datin Sri Jessie antaranya ialah berkaitan dengan perancangan kewangan dan pelaburan hartanah. Kini Datin Sri Jessie menyandang beberapa jawatan besar antaranya Pengarah Urusan di World Trade Regal Trading Sdn Bhd, dan All Stars Arena Sdn Bhd (Influencers Online Education & Agency Platform
).Selain itu, Datin Sri Jessie juga merupakan perancang kewangan di syarikat JWC Agency, dan Centre Director di CID Realtor (hartanah). Antara pencapaian dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh Datin Sri Jessie ialah beliau pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita 2019 dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu) di seminar “Gift of Love” – Women Empowerment 2019 anjuran Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur Selangor (KLSCWO).
Selain cemerlang dalam lapangan kerjaya, Datin Sri Jessie turut aktif dalam aktiviti sosial antaranya dilantik sebagai Presiden Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA), Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR) Jabatan Sukarelawan Malaysia, Presiden Malaysia Influencers Online Association
(MIOA), dan Naib Presiden Persatuan Penasihat kebajikan China Malaysia.“Saya seorang yang sangat komited dengan apa jua tugas yang dilakukan. Tambahan pula saya sukakan cabaran. Maka sebab itulah saya sentiasa bersedia untuk memberikan seratus peratus komitmen terhadap skop kerjaya saya. Dalam setiap tugasan yang diamanahkan memerlukan tindakan yang pantas. Saya berpegang kepada prinsip sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh walau apa pun halangannya.
Restu dan sokongan suami sangat penting untuk menjadikan saya seorang wanita sukses. Saya bertuah kerana suami juga seorang usahawan berjaya. Beliau lebih lama dalam bidang ini serta sudah betah tentang selok belok perniagaan.
Seiring trend sosial media masa kini, Datin Sri Jessie turut tidak ketinggalan memanfaatkan medium tersebut agar terus relevan dalam dunia perniagaan. Menerusi projek Malaysia Influencers Online Association (MIOA), Datin Sri Jessie menyediakan platform khas bagi mengumpul seluruh social influencers. Tujuannya ialah untuk membantu golongan ini berjaya dalam perniagaan online menggunakan media sosial.
This website uses cookies.