Rezeki Bisnes Fazura Melimpah-Ruah, Makin Tenang & Bahagia Sejak Diberi Hidayah!

Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang.

Sembunyikan amal ibadahmu, sebagaimana engkau menyembunyikan aib-aibmu.

Penghijrahan Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.

Tidak mendadak, akhirnya transformasi Fazura secara rasmi berlaku pada penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita berusia 39 tahun itu.

Perancangan manusia itu usaha dan perancangan Allah itu takdir. Sudah ditentukan penampilan Fazura sebagai penghias cover digital Majalah Nona sempena Ramadan ini akhirnya membuka banyak kisah yang menjadi tanda tanya.

Faz dan nenda kesayangan

 

“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!”

Ketika ditanya soal penghijrahan, jawapan Fazura ini menerangkan perasaannya.

“Saya pun risau masa mula-mula nak berhijrah dulu. Tapi niat saya hanya untuk Allah Taala. Bukan untuk riak.

Semua ibadah yang saya buat, biarlah itu di antara diri saya dan Allah SWT. Bukan untuk media sosial. Bukan untuk tatapan umum.

Kalau ‘ditayangkan’ saya sedang bersolat atau mengaji, terasa macam riak pula dan itu amatlah sia-sia.” Fazura

Majalah Nona edisi April 2022

 

Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura yang sangat menyenangi bacaan Yasin dan surah Al-Waqiah tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah.

“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik.

Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.”

 

 

 

Fazura juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Itu baginya ibarat kerja si penunggang agama!

Husnuzon dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali. Sebagai wanita yang pernah menjadi ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?

“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.

Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail berbeza.” Fazura

 

Galak Fazura bercerita usikan teman hijab stylist, rasa insecure tentang ‘pipi tembam’ bagai tak boleh dipisahkan.

“Mereka selalu melenting bila saya minta ‘depankan’ tudung. Saya suka minta stail yang buat pipi nampak runcing dan tirus. Padahal pipi tak tembam pun. Kita je selalu rasa macam tu pada diri kita.”

 

RAMADAN

Sambutan Ramadan tahun ini tentu sekali lebih meriah selepas dua tahun menyambutnya dalam suasana pandemik. Bermula 1 April 2022, Malaysia secara rasmi memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, sekaligus membenarkan semula pembukaan bazar Ramadan, berterawih di masjid serta pulang ke kampung halaman.

Walau bagaimanapun, ibadah puasa pastinya tidak akan sama seperti dulu selepas bapa Fazura kembali ke rahmatullah dua dekad lalu.

“Yang paling Faz rindukan adalah berpuasa dengan arwah ayah. Teringat momen-momen bangun sahur, terawih dan bersolat bersama. Dan of course dengan keadaan Faz hari tu, bermacam-macam rezeki yang Allah bagi, I wish he’s here.

Alhamdulillah tahun ini merupakan tahun kedua bersama Fatima. Faz sangat-sangat gembira untuk bersama dengan dia, mungkin this time dia akan ikut bangun bersahur, berterawih dan dapat beraya dengan saudara-mara. Faz juga look forward untuk mengadakan open house nanti, insya-Allah.

Sebenarnya tiada apa-apa persiapan yang khusus, sekadar beli groceries untuk masak sahur dan berbuka. Untuk sahur biasanya Faz suka makan sup-sup, singgang, kurma dan susu. Selain tu amalkan TruFitz dan TruShakes untuk jaga kesihatan.”

 

 

 

Tentang persiapan raya?

“Untuk raya ni Faz dah buat tempahan baju dengan pereka baru pilihan Faz. Tapi yang paling ditunggu-tunggu tentulah juadah raya kesukaan kami iaitu lemang, ketupat, rendang daging dan kuah kacang. Fattah pun suka lemang, tapi dia paling suka sate dan apa-apa saja yang pedas.

Raya norma baharu bagi Faz adalah apabila kita menjaga diri kita, keluarga kita dan orang sekeliling kita. Make sure bila balik sebelum jumpa anak, mandi dulu.

Macam Fatima, Faz dah tak bawa dia keluar. Tradisi berkunjung dari rumah ke rumah pun belum masanya lagi, demi keselamatan. Malah kalau saya adakan open house, mungkin Fatima cuma muncul seketika.” Fazura

 

PERNIAGAAN

Menyifatkan kejayaan Tudung Fazura sebagai rezeki luar biasa daripada Maha Pemurah, wanita berusia 39 tahun itu terus berpegang pada nawaitu ingin membantu lebih ramai usahawan wanita.

Sambil bergiat aktif dalam dunia seni, Fazura juga bergelar usahawan dalam masa yang sama. Pembukaan butik House of Doll di Bangsar merupakan percaturan awal beliau dalam dunia perniagaan.

Kini, ibu kepada Nur Fatima Aisya ini telah berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama iaitu Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly dan sebagainya.

 

 

Ketika sesi temu bual ini dijalankan, sempat juga penulis menyaksikan satu lagi sejarah baru dalam hidup selebriti jelita itu. Impian Fazura untuk menjual telekung akhirnya tertunai dengan kolaborasi Muhayya Magical, milik pakar motivasi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

Apa yang jelas selepas penghijrahan ini, empayar bisnes Fazura terus berkembang pesat dan menguntungkan tanpa gimik merapu atau strategi murahan,

Tudung Fazura antara jenama hijab masa kini yang mencipta fenomena, sekaligus meletakkan nama beliau sebaris dengan usahawan selebriti Muslimah paling disegani. Satu persatu kejayaan direkodkan, antaranya koleksi Ramadan dan Syawal yang terjual ratusan ribu helai dalam tempoh yang singkat!

 

KERJAYA

Fazura terlebih dahulu menceburi bidang pengacaraan sebelum terjebak dalam dunia lakonan. Menjadi hos rancangan RTM, Teens World (TV2) disusuli dengan beberapa tawaran berlakon yang datang mencurah.

Beliau berjaya meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM17 menerusi filem sulungnya, Bicara Hati ketika usia baru menginjak 21 tahun.

Bakat Fazura telah dikesan oleh pelakon veteran terkenal, Datin Rosnani Jamil. Fazura terus mencipta nama apabila membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2010 melalui filem Pisau Cukur.

Di FFM27, sekali lagi telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Manisnya Cinta di Cappadoccia.

Masih ingat lagi, Fazura pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti sendiri? Facing Up To Fazura yang bersiaran di saluran E! Asia umpama ruang keemasan untuknya bergelar selebriti antarabangsa.

Tidak sekadar cemerlang di layar perak, Fazura terus mengukir nama dalam bidang nyanyian. Penyanyi jelita ini pernah tampil dengan beberapa single antaranya Sayangi Dirimu, Hancur Aku, Cinderella dan Bisa Apa.

Share
Published by
Norzalina