Tahniah Nona ucapkan buat Siti Nursairah Tarudin yang kini sedang berbadan dua. Khabarnya, adik kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini menyedari dirinya hamil sewaktu bersaing dalam sebuah program nyanyian di sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini.
Siti Sairah yang berusia 39 tahun sebelum ini turut dilaporkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Namun kini dikurniakan rezeki untuk hamil sekali lagi yang juga merupakan kehamilan anak kelima.
Pun begitu, Sairah belum mengetahui usia sebenar kehamilan dan memohon doa orang ramai agar proses kehamilannya kali ini dipermudah serta berjalan lancar.
Memetik kenyataan Sairah kepada media, “Sebenarnya saya masih belum jumpa doktor untuk pemeriksaan dan usia kehamilan pun masih belum diketahui. Dapat tahu saya mengandung pada minggu lalu (pertengahan Disember) selepas membuat ujian menerusi alat pengesan kehamilan.
Saya sudah dapat rasakan saya hamil dan kongsikan kepada suami dan kakak, Siti Saida. Saya anggap kehamilan ketika bersaing di Famili Duo sebagai rezeki.
Saya mohon doa yang baik-baik kerana sebelum kehamilan ini, saya dah dua kali mengalami keguguran. Semoga dipermudah sehingga bersalin.”
Kata Sairah lagi, kali terakhir dia disahkan hamil dan gugur ialah pada awal tahun 2022. Malah doktor turut berpesan jika hamil sekali lagi, dia perlu menjaga kandungan dengan lebih baik kerana sudah mengalami keguguran dua kali.
“Bila dapat tahu saya mengandung, saya gembira tapi saya agak risau memandangkan usia kehamilan masih baru.”
Siti Sairah berkahwin dengan Mohd Sharidan Johari dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Siti Nurkhalishah Alisha. Menerusi perkahwinan terdahulu, penyanyi ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Ummi Umairah, Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy.
This website uses cookies.