Rezeki Farhatul Fairuzah! Muda-muda lagi dah berjaya memperoleh tauliah untuk mengajar Agama Islam dan berceramah. Bersandarkan kejayaan Farhatul yang merupakan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019, tidak hairanlah dia diberi kepercayaan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Berkongsi berita gembira itu di media sosial, Farhatul atau nama sebenarnya Nor Farhatul Fairuzah Panut melahirkan rasa syukur kerana memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang Al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
Ujarnya, “Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih para penceramah-penceramah yang hebat. Dan juga Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran Agama Islam tu dapat dipantau dan diiktiraf.
Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah-pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu Agama Islam. Sama-sama kita belajar dan menyampaikan walaupun satu ayat.”
Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan Farhatul. Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, dia juga dikurniakan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor iaitu Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember 2022.
Rezeki Farhatul Fairuzah, meniti usia 24 tahun dia mewakili suara anak muda berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
“Gara-Gara Nikahi Suami Orang, Akhirnya Si Perampas Tersedar Suami Tiada Apa-Apa” Peguam Fahmi Ramli
Secebis kisah dari Mahkamah Syariah, kes yang diceritakan semula oleh Tuan Fahmi Ramli, Peguam Syarie dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates ini memang memberi banyak pengajaran.
Kalau cerita bab ni, saya percaya ramai wanita akan cakap padan muka. Tapi, ingat, ketika cerita ini dikongsi, niatnya adalah untuk beri peringatan baik kepada wanita-wanita yang ada niat untuk menjadi isteri kepada seseorang lelaki yang telah berkahwin.
Ada satu kisah dimana seorang isteri ini datang mengadu kepada saya untuk membuat permohonan fasakh iaitu membubarkan perkahwinannya dengan suami.
Wanita ini masih muda. Bawah 25, elok rupanya. Bila ditanya, berapa lama telah kahwin, katanya dalam setahun lebih. Rupanya berkahwin secara senyap di Sempadan Thailand sebab suaminya adalah ‘Suami Orang’.
Saya cakap, “Puan kena buat Pengesahan Nikah Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah dulu, baru boleh buat fasakh sebab sijil nikah siam puan tak terpakai di Mahkamah Malaysia ini”.
Saya tanya, kenapa pilih untuk kahwin di Siam?
Jawapannya, “Suami saya tak mahu isteri pertama tahu. Lagi pula, mereka dah berhubungan sulit selama beberapa tahun.”
Wanita tersebut pada awalnya percaya bahawa lelaki tersebut adalah seorang yang berharta. Ada kereta besar. Kiranya sebelum ini, pernah senyap-senyap keluar date dengan kereta tersebut. Pernah dibelikan hadiah iPhone 11.
Dia pula ketika itu seorang pelajar universiti sahaja. Tak ada pendapatan. Bila dia dapat lelaki yang kononnya kaya itu, dia rasakan ada orang yang boleh tanggung dirinya.
Bila dah berkahwin ni baru tahu, rupanya lelaki tersebut tidak ada pekerjaan tetap, sebaliknya isterinya yang memiliki harta-harta termasuk kereta mewah sebelum ini.
Isteri pertama pun dah dapat tahu tentang perbuatan curang suaminya serta tahu tentang pernikahan ini. Dan isteri tersebut telah memfailkan perceraian.
Patutlah bila lepas kahwin, dia tak mahu sahkan di Mahkamah, rupanya baru tahu, suaminya itu tidak mampu. Nafkah untuk dirinya pun terabai. Sampaikan dia terpaksa pula kini, menanggung kandungan anak yang bakal dilahirkan tanpa nafkah yang cukup.
Rumah pun hanya duduk di rumah ibu bapa sendiri sahaja. Baru tahu juga, rupanya suaminya seorang panas baran. Tak cukup dengan itu, dari sehari ke sehari, datang saman baru kepada suaminya dimana bekas isteri menuntut Nafkah Anak, Nafkah Eddah, Nafkah Tertunggak dan Mutaah.
Dia akhirnya tak tahan. Rupanya, kemewahan tersebut hanya wayang dan tumpangan milik orang lain. Bukan pula harta sepencarian, sebab bekas isteri yang telah beli segalanya.
Akhirnya, wanita ini menyesal dan minta kisah ini disampaikan kepada wanita-wanita lain agar menjadi pedoman kepada mereka. Jangan kahwin semata-mata janji manis dan muka hensem sahaja. Selidik betul-betul latar belakang bakal pasangan. Kalau sanggup bermadu sekalipun, buat cara yang betul.
Ramai lagi lelaki single yang ok kat luar tu.
Kredit: Fahmi Ramli
Lontaran Kata Dari Arwah Datuk Dr Maznah Hamid, Secebis Ingatan Buat Pembaca Majalah Nona
Sudah tiga tahun berlalu sejak pemergian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid. Wanita Inspirasi Nona ini, atau lebih dikenali sebagai Iron Lady telah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2017, selepas mengalami komplikasi jantung.
Kami berkongsi kembali coretan yang pernah ditulis oleh arwah kepada semua pembaca Majalah Nona…
============================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… dia boleh jadikan dirinya!
Saya tidak mahu wanita mudah yang mudah tertindas, merana ikut emosi sehingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan. Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan ‘Never say die attitude’ akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3k – kejayaan, kekayaan dan kesenangan. Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, ‘Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya-raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini, … saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan.
Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan. Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini…. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu…
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya.
Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis. Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurang sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan saya seorang suami terbaik, Life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami dan menghormati keistimewaan serta keunikan seperti saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenekanda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama.
DATUK DR. MAZNAH HAMID
Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah (dibaca) buat wanita besi ini….
11 Tahun Besarkan 5 ANAK Walau Bukan Dari Darah Dagingnya, Murni Sungguh Hati Wanita Ini!
Masuk tahun ini, sudah sebelas tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 11 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 10 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 9 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 4 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami… Sharifah Aminah teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Namun, tanggal 25 Disember dua tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis… kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja… tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi. Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat, kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua. Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini sedang hamil zuriat sulungnya sendiri hasil perkahwinan bersama suami tercinta.