Aktres cantik kesayangan ramai, Fasha Sandha dan suaminya, Aidil Aziz berkongsi hantaran di akaun Instagram momen berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.
Jelas terpancar keterujaan di wajah Fasha dan Aidil apabila buat pertama kalinya mereka berpeluang menunaikan umrah bersama.
Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz menjelaskan momen kali ini sangat bermakna selepas dia bergelar seorang suami. Menurut Aidil, keberangkatannya kali ini mencetuskan perasaan yang sangat berbeza.
Sebagai yang sudah ada pengalaman ke tanah suci sebelum ini, semestinya Aidil teruja kerana dapat membawa dan ‘guide’ isteri tercintanya itu sepanjang berada di sana.
Memetik perkongsian Aidil kepada Media Hiburan, sebelum ini dia pergi bersama keluarga. Sementara Fasha, ini adalah pengalaman pertamanya. Maka, bagi Aidil momen ini adalah cukup bermakna dan terindah.
DAH LAMA RANCANG
Menurut Aidil lagi, perancangan menunaikan ibadah umrah bersama Fasha sudah lama dirancang. Namun, disebabkan pandemik COVID-19 hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
“Sekarang saya rasa masa yang terbaik, kebetulan anak-anak pun dah besar dan mudah diuruskan. Kami anggap ini rezeki, ini semua perancangan Allah SWT.
“Fasha pun sangat teruja, saya boleh nampak perasaannya itu. Kalau individu yang pertama kali berpeluang buat umrah pastinya seronok. Begitu juga dengan dia,”
ungkap Aidil.Menerusi perkongsian Fasha di Instagram peribadinya pula, dia memohon ampun atas segala kesalahan dan kekurangan agar dipermudahkan urusan ibadahnya di sana.
“Assalamualaikum, salam Jumaat yang barakah, penghulu segala hari.
“Dengan rasa rendah diri, saya Nur Fasha Sandha dan Mohd Aidil Abdul Aziz ingin memohon jutaan kemaafan di atas segala kesalahan.
“Mohon halalkan makan minum kami. Terima kasih keluarga tersayang yang sanggup minta cuti menghantar kami ke sini,” tulis Fasha.
Untuk info, Aidil dan Fasha berkahwin pada 30 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aisha Amaira yang kini berusia dua tahun.
Terdahulu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 27 April 2012 namun bercerai pada 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.
Semoga perjalanan dan segala urusan Fasha dan Aidil di tanah suci dipermudahkan. Semoga dikurniakan umrah yang mabrur.
Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha, Aidil
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.