Percaturan Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi meneroka bidang perniagaan sejak usia belasan tahun lagi nyata membuka peluang besar buat dirinya. Siapa sangka, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Universiti Sains Malaysia (USM) ini bergelar usahawan dan menjadi teraju empayar niaga miliknya sendiri iaitu ESW Beauty.
Terpilih sebagai penerima Nona Superhero Award 2020 bagi kategori Best Supplement Award, Iddin berjaya membuktikan golongan lelaki juga boleh berjaya dan mempelopori dunia kecantikan yang kebiasaannya sinonim dengan kaum wanita.
Lebih mengagumkan, meskipun tidak memiliki pengetahuan luas dalam bidang keusahawanan waktu itu dan tiada ahli keluarga menceburi dunia perniagaan namun minat Iddin untuk berniaga mula bercambah sejak di bangku sekolah lagi.
Niat yang pada awalnya mahu berdikari mencari wang saku lama-kelamaan memberi idea dan kerjaya serius buat anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini.
Apatah lagi dia bukan berasal dari keluarga senang dan nekad mengubah nasib keluarga. Bersandarkan minat dan desakan hidup, Iddin melangkah berani mengeluarkan produk
niaga sendiri saat dia masih bergelar penuntut universiti.
Sehingga kini, produk Extra Skin White atau lebih dikenali sebagai ESW sudah pun menembusi pasaran negara hampir sedekad.
Hujung April lepas, Iddin mendedahkan jualan ESW yang mencecah lima angka dalam masa sehari. “Sales cecah hampir RM50k dan parcel cecah 1,000 parcels dalam masa 1 hari selepas kejatuhan yang sangat teruk.
Tahun 2022 banyak mengajar aku erti kesabaran. Terima kasih Ya Allah atas pengajaran yang engkau bagi dekat aku tahun 2022 untuk belajar erti mengenal ‘Hati Manusia’.
Manusia hanya akan datang apabila kita memberi, dan akan pergi ketika kita susah. Apa pun juga, kita tetap kena teruskan kehidupan kita.”
Mengimbas perjalanan awal menceburi bisnes, dia berkata, “Semuanya tercetus lepas saya habis belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Faktor yang mendorong saya pilih produk suplemen ini sebab waktu di kolej dulu saya nampak kebanyakan kawan-kawan lelaki mengalami masalah kulit.
Memandangkan saya memang suka bab penjagaan kulit, imej dan penampilan, jadi saya rasa terpanggil untuk membantu golongan lelaki di luar sana memiliki kulit sihat sekaligus menjaga penampilan mereka.
Produk suplemen ini adalah penyelesaian kepada masalah kulit mereka secara keseluruhan, bukan hanya luaran tetapi juga dalaman termasuk seluruh badan.
Jujurnya saya berniaga semasa belajar di matrikulasi dan USM lagi. Tahun akhir di USM saya tercalon dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi.
Sebelum produk ESW dihasilkan, waktu saya berumur 20 tahun, saya terlebih dahulu menjual produk orang lain. Hasil berniaga produk orang tadi saya berjaya kumpul
RM60,000. Itulah modal saya untuk memulakan bisnes ESW Beauty.”
Iddin Syah juga menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai sumber inspirasi dalam bisnes.
“Selepas dua tahun menjual ESW Beauty saya meraih pulangan mencecah RM300,000 iaitu lima kali ganda daripada modal permulaan. Sepanjang lapan tahun bergelar usahawan,
saya sudah mampu ada wisma sendiri, 50 pekerja dengan 18,000 agent ESW di seluruh negara.”
Tambah Iddin, kejayaannya hari ini adalah berkat usaha kakitangan dan ejen ESW Global yang bersungguh-sungguh mahu mengubah nasib mereka.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/anak-tukang-kebun-kini-jutawan-kosmetik-dato-alha-suka-kongsi-rezeki-serba-boleh/
This website uses cookies.